Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, July 31, 2012

Pemain eksport

Sekadar berkongsi pandangan. Dengan izin Allah jua, sejarah kerap kali dan sentiasa berulang apabila jalan yang sama diambil sehinggalah kita yang mengubah laluannya. Dalam sejarah pasukan kebangsaan, negara tidak pernah memenangi apa-apa apabila pasukan-pasukan dalam liga hanya berbangga dengan pemain import sahaja. Sejarah juga telah membuktikan bahawa para pemain negara mampu menjadi juara sekiranya mereka mempunyai peluang beraksi dalam setiap perlawanan dengan pasukan masing-masing dalam liga. Hanya dengan BERMAIN SECARA KERAP dan konsisten yang dapat membantu meningkatkan prestasi para pemain. Sebagai contoh, pemain-pemain kebangsaan seperti Aidil Zafuan, Safiq Rahim, Norshahrul, dan Khairul Fahmi mampu beraksi dengan baik dengan skuad negara hanya setelah dapat bermain secara regular dalam liga.

Memang diakui terdapat perbezaan pendapat mengenai kemasukan pemain import ini. Ingin ditegaskan di sini, "awang import" bukan masalahnya. Ini juga tak bermakna pemain import dialu-alukan dengan sewenang-wenangnya. Akan tetapi, sekiranya pemain import mahu dibenarkan maka SYARAT-SYARAT YANG KETAT mesti dikenakan agar isu-isu seperti bayaran gaji yang tinggi melampau, tahap profesionalisme yang rendah, dan sebagainya boleh dielakkan. Kemasukan mereka juga adalah wajar diterhadkan bagi setiap pasukan dalam liga supaya pembangunan bolasepak negara tidak terus terabai. 
Perkara yang paling penting dan menjadi keutamaan adalah para pemain negara harus diutamakan dan didahulukan dalam kesebelasan utama. Andai para pemain negara dipinggirkan atau tiada masa bermain yang secukupnya, sudah pastilah negara akan kembali terkebelakang. Oleh itu, satu petanda yang baik adalah apabila para pemain negara mampu beraksi dalam hampir setiap perlawanan liga manakala pemain import hanya sekadar berada di bangku simpanan ataupun di bangku penonton sahaja.

Akhir sekali, walaupun kemasukan pemain import mempunyai pelbagai impak yang tertentu tetapi pasukan-pasukan dalam liga malahan pihak pengurusan FAM sendiri sebenarnya mampu memberikan lebih banyak sumbangan besar, samada untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Isu pemain import ini sebenarnya agak kecil memandangkan isu yang lebih besar yang patut dibincangkan adalah bagaimana untuk menyediakan para pemain kita untuk beraksi dalam mana-mana liga antarabangsa yakni PEMAIN EKSPORT
Pemain-pemain dari benua Asia seperti Park-Ji Sung (Korea Selatan) & Keisuke Honda (Jepun) yang bermain di liga luar negara memang banyak membantu dalam meningkatkan tahap kemampuan pasukan kebangsaan mereka masing-masing. Secara langsung mahupun tidak langsung, Korea Selatan dan Jepun kini sudah berada di tahap yang agak tinggi sehingga dapat beraksi di pentas Piala Dunia. Sekiranya warga bolasepak Malaysia turut mempunyai keazaman dan kesungguhan untuk bersaing pada tahap yang tertinggi maka Liga Malaysia perlu menyediakan bintang-bintang serta pemain-pemain muda yang berpotensi tinggi untuk berhijrah dan seterusnya kembali dengan segala kekuatan yang ada untuk menggalas tanggungjawab bersama negara pula.


Rozaimi Abdul Rahman a.k.a. 'Neymar Malaysia' dari Sabah menarik minat beberapa kelab luar setelah beraksi dengan cemerlang dalam Kelayakan Piala Asia Bawah-22 2013 walaupun Malaysia gagal melayakkan diri.

~ Artikel ini baru sahaja diterbitkan tetapi telah ditulis sebelum Safee Sali bermain untuk Pelita Jaya FC di Indonesia dan Nazmi Faiz Mansor untuk S.C. Beira-Mar di Portugal. Adalah diharapkan agar lebih ramai pemain mengikuti jejak langkah dua pemain ini untuk menjadi pemain eksport dan mencapai lebih banyak kejayaan, insyaAllah.

No comments: