Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, January 16, 2014

Malaysia vs. The World

Malaysia merupakan sebuah negara dari Asia Tenggara yang belum pernah lagi mara ke pusingan akhir Piala Dunia (di sepanjang sejarah bolasepaknya setakat ini). Dahulunya dikenali sebagai Malaya iaitu nama lama sebelum pembentukan negara baru pada 16 September 1963, Malaysia hanya pernah bermain di pusingan kelayakan Piala Dunia sahaja. Sehingga penghujung tahun 2013, pencapaian terbaik Malaysia di peringkat antarabangsa ialah menjadi juara Asia Tenggara pada tahun 2010. Pencapaian tersebut adalah satu-satunya kejohanan bolasepak yang pernah dimenangi selain daripada memenangi beberapa pingat dalam kejohanan-kejohanan sukan utama yang lain (2 pingat gangsa dalam Sukan Asia, 6 pingat emas dalam Sukan SEA). Kemenangan di peringkat antarabangsa (atau lebih tepat lagi, peringkat rantau Asia Tenggara) hanya ditambah apabila skuad Malaysia menjadi juara Asia Tenggara pada tahun 2013 di peringkat umur bawah 16 tahun pula.

Mampukah Malaysia tidak lagi sekadar menjadi 'jaguh kampung'
dan menjadi 'juara dunia' pula suatu hari nanti?

Pencapaian-pencapaian lain yang turut dibanggakan oleh rakyat Malaysia antaranya adalah mempertahankan kejuaraan pertandingan yang diadakan di halaman sendiri iaitu Pesta Bola Merdeka, di samping layak bermain dalam Piala Asia (1976, 1980, 2007) serta sudah tentunya Sukan Olimpik (1972, 1980). Pencapaian-pencapaian tersebut amat patut dipuji dan diingati agar memori indah seperti itu terus tersimpan dengan baik dalam lipatan sejarah bolasepak negara. Tidak seharusnya pencapaian tersebut dipandang remeh apatah lagi dilupakan terus oleh warganegaranya. Jangan sekali-kali biarkan mana-mana sejarah pun terpadam kerana sejarahlah yang akan menentukan identiti dan jatidiri setiap individu dalam sesebuah negara. Justeru itu, timbul beberapa persoalan yang menarik untuk difikirkan. Persoalan-persoalan yang penting buat negara bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi masa hadapan.

Salah satu persoalan yang perlu ditanya adalah tentang tindakan memboikot Sukan Olimpik pada tahun 1980 di Moscow, Rusia (sebagai tanda bantahan Kerajaan Malaysia terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan, yang mana bantahan tersebut didalangi oleh Amerika Syarikat). Benar, lazimnya tiada siapa pun yang boleh berpatah balik untuk mengubah sejarah. Sejarah memang sudah tidak boleh diubah lagi tetapi masa yang akan datang masih mampu diubah kesudahannya. Sayang sekali apabila gandingan James Wong dan Hassan Sani terlepas peluang untuk beraksi dalam kejohanan yang besar seperti Sukan Olimpik ketika mereka berada dalam tahap prestasi yang terbaik. Sekiranya Malaysia menghadapi situasi yang sama pada masa hadapan, adakah tindakan yang sama akan diambil (iaitu menarik diri setelah berjaya melayakkan diri), atau membuat keputusan untuk menyertai dan (cuba sehabis baik untuk) memenangi setiap perlawanan sebagai penghargaan kepada yang tertindas tanpa menindas mana-mana pihak yang lain? Terpulanglah.

James Wong (kanan) berjaya mendapatkan gol kemenangan
ke atas Korea Selatan tiga minit sebelum wisel penamat dengan
jaringan 2-1 dalam perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 1980.

Satu lagi persoalan yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai rekod pertembungan Malaysia dengan rejim Zionis (yang dipanggil Israel). Kerajaan Malaysia tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan mereka namun pernah juga bertemu dua kali dalam perlawanan antarabangsa yang rasmi (tewas 0-3 dalam kelayakan Piala Dunia 1974 pada 19 Mei 1973 di Seoul, Korea Selatan dan tewas 3-8 dalam Sukan Asia di Tehran, Iran pada 3 September 1974). Malaysia bukanlah negara yang mengamalkan anti-semitisme kerana terdapat pemain-pemain lawan seperti Itzhak Visoker (penjaga gawang), Tzvi Rozen, Itzhak Shum, dan Mordechay Spiegler yang pernah berkongsi padang dengan para pemain negara. Malaysia tidak mengiktiraf mereka sebagai negara yang sah bukan kerana politik kebencian mahupun perkauman tetapi lebih kepada rasa simpati juga kasihan kepada Palestin dan penduduknya yang ditindas serta tidak diberi pengiktirafan yang sewajarnya sebagai manusia yang turut mahu hidup dalam keadaan aman. Andai kata Malaysia bertemu lagi dengan mereka dalam suatu perlawanan antarabangsa yang rasmi pada masa hadapan, apakah tindakan yang akan diambil oleh Malaysia? Malaysia sebenarnya boleh pilih samada untuk menarik diri daripada perlawanan dan tidak bertanding, ataupun bersiap sedia sahaja untuk menang dengan bersungguh-sungguh walau apapun yang terjadi.

Yossi Benayoun yang dibenarkan bermain di Malaysia atas dasar kemanusiaan.
[Malaysia XI lwn. Chelsea, 21 Julai 2011]

Corak permainan ketua pasukan (kapten) pasukan kebangsaan Malaysia sekarang iaitu Safiq Rahim dikatakan mirip corak permainan pemain kebangsaan Sepanyol dan pemain kelab Barcelona, Xavi Hernandez. Penyerang muda berbakat dari Sabah iaitu Rozaimi Abd Rahman pula dikatakan hampir sama dengan gaya Neymar, pemain antarabangsa Brazil dari segi kelincahan malah gaya rambut juga. Bekas pemain kelab Portugal, Beira-Mar iaitu Nazmi Faiz Mansor pula seakan-akan Cesc Fabregas apabila membuat gerakan pantas serta hantaran pendek yang tepat. Mahali Jasuli apabila berkepala botak kelihatan dekat-dekat sama dengan Dani Alves yang juga kerap membotakkan kepala. Walaupun Shakir Shaari tidaklah terlalu serupa dengan Sergio Busquets tetapi kepentingan beliau sebagai pemain tengah yang berfungsi sebagai perisai bahagian pertahanan seolah-olah menjadikan mereka macam serupa pula. Semangat juang yang selalu ditunjukkan oleh Aidil Zafuan sering mengingatkan sesetengah pihak kepada Carles Puyol, bahkan posisi mereka lebih kurang sama sahaja kalau diikutkan. Sayangnya, hanya ada satu Leo Messi sahaja pada ketika ini. Jauh sekali untuk mana-mana pemain Malaysia, malahan di mana-mana pun di dunia ini untuk meniru gaya permainan Messi yang amat menakjubkan dan sukar untuk ditandingi (mungkin Cristiano Ronaldo dari kelab Real Madrid sahaja yang boleh mencabarnya, itupun belum tentu dapat menyainginya dalam Piala Dunia 2014 nanti).

Xavi (kiri sekali) dan Safiq Rahim (dua dari kanan).
[Malaysia XI lwn. Barcelona, 10 Ogos 2013]

Baiklah, para pemain Malaysia tidaklah sebagus pemain-pemain bintang Barcelona dan itulah hakikatnya. Walaupun kemiripan itu tidak seratus peratus sama tetapi ini tidak bermakna pemain-pemain Malaysia tidak boleh berjaya. Kejayaan yang sebenarnya terletak pada kesedaran tentang dua perkara. Pertama, maruah. Kedua, harga diri. Kedua-duanya tidak boleh dijual beli memandangkan hanya yang benar-benar bermaruah dan mempunyai harga diri sahaja yang dapat memperolehinya. Orang yang bermaruah dan mempunyai harga diri juga adalah orang yang menghormati maruah dan harga diri orang lain. Oleh itu, pemain-pemain yang terpilih untuk menyarung jersi negara serta mewakili tanahair tercinta Malaysia, melangkahlah ke dalam padang dengan keyakinan yang jitu dan penuh bersedia untuk berjuang habis-habisan setiap kali menghadapi perlawanan. Maka, dengan cara ini sahaja Malaysia dapat mengembalikan era kegemilangan zaman dahulu dan dengan cara ini jugalah Malaysia mampu pergi lebih jauh lagi, dengan izin-Nya.

No comments: