Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, September 10, 2015

Marah pada diri sendiri

Suar api, bom asap, dan mercun roket dilepaskan. Para pemain dan jurulatih mula meninggalkan padang. Berbaki beberapa minit sahaja lagi, perlawanan telah diberhentikan awal. Permainan ditamatkan walaupun masih belum tamat waktu permainan sebenar.

Buat seketika, walaupun sekejap, kegembiraan dapat dirasakan apabila ketua pasukan negara menjaringkan gol pendahuluan. Berpunca daripada gerakan lincah Mohd Amri Yahyah, hasil umpanan Wan Zack Haikal bijak disempurnakan oleh Safiq Rahim pada minit ke-70.

Sejurus selepas itu, keseronakan bertukar menjadi derita. Dua gol pantas dicetak oleh pasukan pelawat Arab Saudi hanya dalam masa 6 minit. Malaysia tiba-tiba sahaja ketinggalan dalam babak kedua biarpun telah berusaha keras mengekang pihak lawan dari awal permainan.

Meskipun keputusan seperti ini telah dijangka, bayangan kekalahan demi kekalahan benar-benar meranapkan harapan dan impian. Lantas, mimpi ngeri minggu lalu di Abu Dhabi kembali menghantui sanubari. Kemarahan kian meninggi.

Penyokong atau pengongkong?
(gambar: www.tribunnews.com)

Penonton berasa marah. Penjaga keselamatan berasa marah. Pengadil berasa marah. Pengulas sukan berasa marah. Wartawan berasa marah. Pembaca berita berasa marah. Hatta, menteri pun berasa marah. Masing-masing cuba menahan nafsu ammarah. Kalau ikut nafsu lesu, kalau ikut marah parah (teringat satu peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta).

Pada masa yang sama, negara-negara yang kini sedang bergolak seperti Syria dan Iraq pula mencatatkan keputusan yang memberangsangkan. Syria yang sedang mendahului kumpulan kelayakan yang turut termasuk Jepun, menang 6-0 ke atas Kemboja manakala juara Piala Asia 2007, Iraq dalam kumpulan lain masih belum kalah apabila seri 2-2 dengan Thailand.

Walaupun juara bertahan Asia Selatan iaitu Afghanistan dibelasah teruk dengan jaringan 6-0 oleh kuasa besar Jepun, Palestin pula berjaya mengikat pasukan yang menumbangkan Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-0 tanpa jaringan. Lebih bermakna buat negara Palestin yang sudah lama tertindas, perlawanan menentang UAE tersebut adalah yang pertama sejak 2011 bagi skuad senior Palestin menjadi tuan rumah di tempat sendiri.

Omar Abdulrahman beraksi di Stadium Faisal Al Husseini
di Al Ram, Tebing Barat, Palestin.
(gambar: www.the-afc.com)

Yang sebenarnya, ramai di antara kita terlupa. Mungkin juga buat-buat lupa bahawa Malaysia adalah tanah bertuah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Kalau pun tak mewah, hidup kita senang. Walaupun payah, hidup kita tak susah. Lihat sahajalah negara-negara yang disebutkan tadi. Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin, dan seumpamanya teringin benar kehidupan seperti di Malaysia. Maka, hargailah Malaysia dan bersyukurlah kita.

Perkara yang elok, jangan dirosakkan. Perkara yang rosak, hendaklah diperbetulkan. Oleh itu, pemimpin tidak berhak memarahi rakyat jikalau tanggungjawab diabaikan. Tunaikan tanggungjawab untuk menghilangkan kemarahan. Rakyat juga tidak perlu hilang sabar. Bila marah, hilanglah pertimbangan. Kalau hendak marah, marah pada diri sendiri kerana gagal mengawal perasaan marah.

No comments: