Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, April 25, 2016

Yang mana satu, Ramadan 1437 atau Euro 2016?

Demam bola bakal melanda, akan tiba tidak lama lagi. Adakah kita
sudah bersedia untuk menangkis godaan dunia dan hawa nafsu?
(kredit: Khazim/kamalmustafa.com)

Kejar bola. Main bola. Tengok bola. Pakai, baju bola. Makan, dengan bola. Mandi, dengan bola. Tidur, pun dengan bola. Minum? Tak tau la. Memang gila bola. Asal bola je, gila. Asal gila je, bola. Bola, bola, bola, tak bosan ke.. Takkan itu je matlamat hidup? Peminat biasa-biasa boleh tahan la lagi, tapi peminat kipas-susah-mati serta fanatik bila melampau itu la yang selalu menjadi masalah. Bukan kat sini la, tapi kat tempat lain. Alahai.. aduhai, aduyai! 'Poning kapalo den'.

Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan.
(gambar: ramadanquotes.com)

InshaaAllah, bulan Ramadan bagi tahun 1437 Hijriah dijangka bermula pada 6 atau 7 Jun 2016 tahun Masihi. Tanggal 1 Ramadan yang akan datang ini, seperti tahun-tahun yang sebelumnya, orang-orang Muslim (yang memenuhi syarat-syarat wajib puasa) di seluruh pelosok dunia akan berniat terlebih dahulu dan seterusnya menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar shadiq sehingga terbenamnya matahari, setiap hari selama sebulan. Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa selain makan dan minum? Anda selidikilah sendiri. Sesungguhnya menimba ilmu adalah satu tuntutan, fardu ain bagi tiap-tiap individu samada yang lelaki mahupun perempuan.

Untuk seorang pemain bolasepak yang mengambilnya sebagai satu pekerjaan sepenuh masa (atau dalam kata yang lain, pemain profesional) dan bukannya penonton atau pemain permainan video, sudah tentulah berpuasa memberikan cabaran yang besar terutamanya apabila berlatih dan menghadapi perlawanan. Walau bagaimanapun, salah satu ibadat yang termasuk dalam Rukun Islam yang lima ini tidaklah dianggap suatu kesusahan buat para pemain yang tetap teguh pegangan agamanya. Ini terbukti apabila beberapa pemain ternama di England, di Eropah, mahupun di peringkat dunia serba sedikit telah mengubah budaya bolasepak di sana. Meskipun sukan bolasepak pada tahap tertinggi global didominasi oleh warga bukan Islam (kerana mereka yang mempopularkannya), pihak atasan yakni golongan pentadbir bolasepak menyedari bahawa sebahagian besar penyokong bolasepak yang terdiri daripada berbilang bangsa adalah yang dilahirkan Muslim! Pelik, bukan? Betapa mudahnya orang mendekati bolasepak. Nak, tak nak, terpaksalah mereka mengalah sedikit walaupun secara umumnya masih lagi terdapat rintangan untuk penganut Islam mengamalkan agamanya di tempat orang.

Betul ke buat macam ni? Macam ada yang tak kena je.
(gambar: skysports.com)

Di atas kertas, persatuan bolasepak England iaitu The Football Association atau ringkasnya The FA ada menyatakan bahawa undang-undangnya mengamati dan menghormati semua agama. Di dalam FA RULE B5 Football & Religious Observance menyebutkan bahawa:
(a) A Participant cannot be compelled to play football on bona fide occasions where religious observance preludes such activity, save where the Participant: (i) has consented to do so on such occasions; or (ii) is registered as a player under written contract, which shall be taken as consent to play on such occasions unless otherwise provided for in the contract.
(b) Annually, when planning programmes, Competitions shall define and notify agreed dates of such occasions.
[sumber: www.thefa.com]

Yang faham, faham. Yang tak faham, sudah. Alah, Google Translate kan ada. Pada dasarnya, tiada siapa yang dipaksa untuk meninggalkan agamanya dan tiada siapa juga yang dihalang mengikuti agamanya melainkan dengan persetujuannya sendiri. Oleh itu, apa-apa yang terjadi, apa-apa yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab kita sendiri, bukannya orang lain. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika di England, negara Kristian pun ramai yang tahu kewajipan seorang Muslim, mengapa pula ada negara yang berpenduduk majoriti Muslim boleh buat-buat tak tahu? Jangan ingat boleh lupa insiden tahun lepas apabila saingan Liga-M (M-League) tahun 2015 terus berlangsung walaupun dalam bulan Ramadan. Kalau dapat diuruskan dengan elok mungkin boleh dimaafkan lagi, tetapi huru-hara dan kucar-kacir sahaja jadinya. Apa kata lain kali utamakan dahulu apa yang utama, susah sangatkah?

Sekiranya agama dikatakan sebagai sejenis "dadah" maka
agama adalah dadah yang membantu pesakit manakala
hedonisme adalah dadah yang membawa penyakit.
(kredit: worldsoccertalk.com)

Menjelang Euro 2016 (atau nama panjangnya, The 2016 UEFA European Championship) yang bakal berlangsung di Perancis mulai 10 Jun hingga 10 Julai nanti sudah pastilah membuatkan banyak syarikat multinasional (dan bukan multinasional) hanya menunggu masa sahaja untuk menyumbat sebanyak-banyaknya iklan mereka ke dalam minda separa sedar atau di bawah sedar seberapa ramai yang boleh. Inilah bahananya apabila terlalu banyak masa dihabiskan terpaku menonton kotak ajaib bermata satu yang dinamakan televisyen (atau monitor dan juga skrin).

Apa yang lebih menarik dan mungkin menggelikan hati, seolah-olah kebetulan pula Copa América Centenario (atau 2016 Centennial Copa America dalam bahasa Inggeris) akan turut berlangsung sedikit awal daripada Euro 2016 iaitu dari 3 hingga 26 Jun. Pertandingan yang sudah menjangkau umur 100 tahun, buat pertama kalinya dalam sejarah akan diadakan di Amerika Syarikat dan di luar benua Amerika Selatan. Sungguh mengagumkan bukan! Mujurlah Rio 2016 Olympics (5-21 Ogos) dan Paralympics (7-18 September) yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, juga pada tahun ini, tidak diadakan serentak dengan Euro 2016 dan Copa América Centenario. Kalau tidak, orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan nanti bukan sahaja tidak makan dan tidak minum, tetapi juga tidak tidur langsung (puasa 'yang yok' ke apa ni??). Di depan tv hanya tercegat, tiada rehat, letih dan penat, maka kurang jugalah beribadat.

The stage is set. The world's best in the U.S. Fuyooo..
(gambar: notimerica.com)

Wahai saudara-saudari sekalian, kita semua adalah makhluk ciptaan Allah. Kita semua juga adalah anak-anak keturunan Nabi Adam alaihis salam. Generasi pada masa ini semuanya adalah kaum atau umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam. Yang membezakan antara sesama kita hanyalah apa kemahuan kita. Adakah kita mahu berfikir atau tidak? Beriman atau tidak mahu percaya? Masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab, yakni kepada diri sendiri, keluarga, dan juga masyarakat. Walau apa pun, kita ingatlah satu perkara. Dengan kehendak Allah jua dan bukan kehendak kita, sesiapa sahaja boleh diberikan kebaikan samada di dunia, di akhirat, mahupun kedua-duanya. Maka, marilah, ayuh, jom kita kembali kepada jalan yang benar dan bertaubat selagi sempat atas apa-apa kesalahan yang pernah dibuat. Semoga Allah subhanahu wa taala mengampunkan dosa-dosa kita yang tidak terkira banyaknya. Allahu akbar! Allah Maha Besar.

#RamadanKareem   #extremismisnottheanswer


No comments: