Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, January 9, 2017

MALAYSIA: Ketua jurulatih

MALAYSIAN COACHES
Wira yang tak didendang, siapa lagi kalau bukan para jurulatih. Biasanya, setiap seorang pemain kesebelasan utama mempunyai salah satu nombor antara 1 hingga 11 yang jelas tertera di belakang jersi mereka malahan pemain-pemain simpanan juga masing-masing diberikan suatu nombor. Bukan itu sahaja, para penyokong pun turut mendapat nombor apabila disebut sebagai "pemain ke-12". Jurulatih? Tiada nombor yang diletakkan kepada seorang jurulatih setakat yang diketahui umum. Mungkin, dan boleh jadi #0 sahaja yang masih ada memandangkan nombor tersebut memang tidak digunapakai oleh mana-mana pemain pun.

Namun begitu, kurang sesuai pula nombor kosong diberikan kepada seorang jurulatih, apatah lagi jurulatihlah yang paling bertanggungjawab ke atas seluruh pasukan. Tanpa jurulatih, tiadalah pemilihan pemain barisan kesebelasan utama, tiada taktikal, dan tiada strategi. Tanpa semua itu, bagaimana hendak bersaing dalam sukan bolasepak moden yang bertaraf antarabangsa. Lainlah kalau bermain bersama rakan-rakan di waktu kecil. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang peranan dan sumbangan individu-individu yang bergelar jurulatih, duniabolasepak.blogspot.my (DBS) menyenaraikan tanpa mengikut turutan sebahagian daripada nama-nama besar dalam bidang kejurulatihan bolasepak negara.

1. Abdul Ghani Minhat
(foto: 1lycos.blogspot.my)

Lebih dikenali sebagai pemain lagenda negara, anak kelahiran Kampung Solok, Rantau, Negeri Sembilan ini menjadi yang pertama menjuarai Piala Malaysia sebagai pemain dan kemudiannya sebagai jurulatih. Diangkat sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada tahun 1969, rekod kejuaraan Piala Malaysia 8 kali sebagai pemain turut ditambah dengan 3 kali sebagai jurulatih, kesemuanya bersama Selangor FA.

2. Jalil Che Din
(foto: kelabjersikita.blogspot.my)

Bekas pemain kebangsaan yang berasal dari Pulau Pinang ini beralih ke arah bidang kejurulatihan selepas kecederaan telah memendekkan kerjayanya sebagai seorang pemain. Diberi tugas sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan, beliau mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada tahun 1972 dan turut membawa pasukan negara ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Pekerjaan utamanya adalah di Jabatan Penjara Malaysia, namun beliau sempat menjadi jurulatih kebangsaan dua kali lagi pada tahun 1974 dan 1981.

3. Kuppan Muniandy
(foto: thestar.com.my)

Mendapat pendidikan di Bukit Mertajam High School (atau Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam), beliau pernah bermain mewakili pasukan Penang FA dan juga pasukan kebangsaan. Sebagai jurulatih, beliau telah memberikan kejuaraan Piala Malaysia yang keempat buat Penang FA pada tahun 1974 serta diberi kepercayaan untuk melatih pasukan kebangsaan antara tahun 1973 hinggalah 1977.

4. Chow Kwai Lam
(foto: utusan.com.my)

Pernah mewakili pasukan kebangsaan sebagai pemain, beliau mencipta nama sebagai seorang jurulatih apabila menjadi jurulatih kebangsaan pada tahun 1978 selain turut membimbing pasukan Kuala Lumpur FA memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dari tahun 1987 hingga 1989. Sejarah cemerlangnya sedikit terpalit di sekitar penghujungnya apabila dituduh dan didapati bersalah cuba menawarkan rasuah semasa bersama pasukan Paya Lebar-Punggol FC (kini Hougang United FC) di Singapura.

5. M. Chandran
(foto: forzameyya.blogspot.my)

Dahulu merupakan seorang pemain pertahanan yang cukup ternama, kewibawaan beliau terbukti apabila bukan sahaja dilantik sebagai kapten bagi Selangor FA tetapi juga sebagai ketua pasukan untuk skuad negara. Sifat kepimpinan tersebut turut dibawa bersamanya semasa menjadi jurulatih, terutamanya untuk pasukan kesayangannya Selangor FA, serta sewaktu mengemudi pasukan kebangsaan dari tahun 1982 hingga 1983 dan sekali lagi pada 1988.

6. Mohamad Bakar
(foto: says.com)

Mempunyai pengalaman unik dengan skuad kebangsaan apabila berpeluang untuk bermain bersama dan selepas itu menjadi jurulatih pula kepada pemain lagenda Mokhtar Dahari. Selepas berkhidmat sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan, beliau dilantik menjadi ketua jurulatih negara pada tahun 1985 hingga 1986.

7. Abdul Rahman Ibrahim
(foto: ww1.utusan.com.my)

Mula terlibat dengan pasukan kebangsaan di sekitar tahun 1976 dan beberapa kali lagi selepas itu sebagai penolong jurulatih, beliau kemudiannya menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan buat pertama kali pada tahun 1987. Dari tahun 1998 hingga 2000, beliau sekali lagi dipilih menjadi jurulatih kebangsaan dan pada tahun 2008 pula, beliau berkesempatan untuk ke luar negara apabila melatih pasukan Delta Putra Sidoarjo (Deltras FC) di Indonesia.

8. Wan Jamak Wan Hassan
(foto: suarasukan1mas.blogspot.my)

Membimbing pasukan kebangsaan sebagai ketua jurulatih dari tahun 1996 hingga 1997, beliau juga merupakan bekas pemain pertahanan kebangsaan. Pernah memenangi Piala Malaysia sebagai jurulatih Negeri Sembilan FA pada tahun 2009, anak jati Johor ini dikenang sebagai jurulatih yang membantu skuad negara bergelar naib juara edisi sulung Piala Tiger (kini Piala Suzuki AFF) pada tahun 1996 sebelum skuad senior kebangsaan dibubarkan secara terburu-buru oleh badan induk bolasepak negara pada tahun yang berikutnya.

9. Norizan Bakar
(foto: budingea.wordpress.com)

Salah satu pencapaiannya adalah memenangi Piala Malaysia pada tahun 2004 sebagai jurulatih Perlis FA. Beliau merupakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan bermula dari tahun 2005 hingga 2007, di samping turut mengendali skuad bawah-23 negara antara tempoh tersebut. Bekas guru sekolah yang lebih mesra disapa sebagai "Cikgu Jan" ini sayangnya terpaksa mengalami pengalaman yang perit apabila Malaysia sebagai salah satu tuan rumah bagi kejohanan Piala Asia tahun 2007 tidak berjaya mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.

10. B. Sathianathan
(foto: mazram-iv.blogspot.my)

Mungkin ramai yang tidak sedar, beliaulah yang bertanggungjawab mengembalikan status juara buat Malaysia selepas kali terakhir negara memenangi apa-apa pertandingan adalah pada tahun 1993 dalam Pesta Bola Merdeka. Skuad bawah-23 negara bimbingannya muncul johan Pesta Bola Merdeka tahun 2007 dengan penuh bergaya, selaras dengan pengalaman beliau sebagai penolong jurulatih bagi skuad persediaan Sukan Olimpik beberapa tahun sebelum itu. Kredibiliti beliau terus meningkat apabila ditugaskan sebagai ketua jurulatih negara mulai tahun 2007 hingga 2009 serta memenangi Piala Malaysia tahun 2010 bersama Kelantan FA.

11. Rajagopal Krishnasamy
(foto: thestar.com.my)

Semenjak 1989, selama 20 tahun negara tidak dikalungkan emas Sukan SEA sehinggalah anak buah K. Rajagopal menggenggam kembali pingat yang ditunggu-tunggu pada 2009. Kejayaan skuad bawah-23 negara tersebut bertambah manis apabila K. Rajagopal turut melakar sejarah membawa skuad senior kebangsaan muncul juara Piala Suzuki AFF buat pertama kalinya pada 2010. Pelantikannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan dari 2009 hingga 2013 benar-benar membuahkan hasil setelah melatih skuad negara pelbagai peringkat umur sejak tahun 2004 lagi.

12. Dollah Salleh
(foto: bharian.com.my)

Sebagai seorang pemain penyerang terkemuka pada zaman kegemilangannya, beliau telah membantu negara merangkul pingat emas Sukan SEA tahun 1989 dan juga kejuaraan Pesta Bola Merdeka tahun 1993. Sebagai jurulatih pula, beliau berjaya mencatat rekod luar biasa apabila Selangor MPPJ FC yang dibimbingnya tampil pada tahun 2003 sebagai kelab yakni bukan pasukan negeri yang pertama menjulang Piala Malaysia. Kejayaan demi kejayaan terus dicapainya dan dari tahun 2014 hingga 2015, beliau berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

13. Ong Kim Swee
(foto: alchetron.com)

Pada tahun 2014, beliau menjadi jurulatih sementara yang kedua dalam sejarah buat pasukan kebangsaan selepas K. Rajagopal melakukannya pada tahun 2004. Hanya setahun selepas itu yakni pada 2015, barulah beliau mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan sepenuh masa. Pernah mewakili negara sebagai pemain, beliau sedikit sebanyak dapat juga menyambung legasi para jurulatih kebangsaan terdahulu apabila skuad bawah-23 negara di bawah kelolaannya menjuarai Sukan SEA tahun 2011 dan Pesta Bola Merdeka tahun 2013.

14. Mohd Azraai Khor Abdullah
(foto: alchetron.com)

Merupakan bekas pemain kebangsaan dan juga Kedah FA, rekod pencapaiannya sebagai seorang jurulatih pula hingga setakat ini agak sukar ditandingi. Selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008, pasukan Kedah FA yang dilatihnya memenangi ketiga-tiga piala utama yakni Piala Malaysia, Liga Super, dan Piala FA. Kejayaan "Double Treble" tersebut sememangnya menakjubkan apatah lagi pada tahun sebelumnya Kedah FA baru sahaja memenangi Liga Premier dan dinaikkan ke Liga Super. Walaupun belum berpeluang melatih skuad senior kebangsaan, beliau telah melatih pasukan pelapis negara Harimau Muda 'A' pada tahun 2010.

15. K. Devan
(foto: kelateredwarrior.blogspot.my)

Seorang bekas pemain Negeri Sembilan FA yang pernah mewakili pasukan kebangsaan, kerjayanya sebagai jurulatih telah memberikan Negeri Sembilan FA dan Selangor FA kejuaraan Liga Super masing-masing pada tahun 2006 dan 2009 selain kejuaraan Liga Premier buat pasukan berstatus kelab iaitu Kuala Muda Naza FC pada tahun 2008. Kehebatan beliau sebagai seorang jurulatih memang tidak diragui cuma nampaknya belum mempunyai peluang untuk melatih skuad negara buat masa ini.

16. Irfan Bakti Abu Salim
(foto: bhplus.com.my)

Dipilih untuk menyertai pasukan kebangsaan dalam kariernya sebagai seorang pemain, beliau kemudiannya muncul sebagai seorang jurulatih yang sangat berkaliber. Selepas memimpin pasukan Penang FA memenangi liga utama Liga Perdana 1 pada tahun 2001, beliau juga telah menempa nama di luar negara apabila kelab Persipura Jayapura pada tahun 2007 mara sehingga ke perlawanan separuh akhir Divisi Utama Liga Indonesia. Tidak lupa juga, Pasukan Bolasepak Pekak Malaysia (dengan Rosly Hussin sebagai penyerang utama) yang dilatihnya mengutip pingat perak dalam Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-5 pada tahun 1996 di Kuala Lumpur.

17. M. Karathu
(foto: level-field.blogspot.my)

Jurulatih yang amat berpengalaman luas, beliau dahulu merupakan salah seorang pemain kebangsaan. Selain setakat ini sudah empat kali beliau melatih pasukan lamanya Perak FA, beliau juga telah melatih Kelantan FA sebanyak dua kali dan membawa pasukan negeri pantai timur tersebut memenangi Liga Super pada tahun 2011. Negeri Sembilan FA, Woodlands Wellington FC di Singapura (2002-2003), malah pasukan kebangsaan Sri Lanka (1999-2000) juga pernah menggunakan khidmat beliau, tetapi sayang sekali belum lagi terpilih menjadi ketua jurulatih negara walaupun pernah melatih skuad bawah-21 negara dari tahun 1991 hingga 1992.

18. Zainal Abidin Hassan
(foto: bharian.com.my)

Dikenali sebagai salah satu ikon bolasepak negara, kehebatan beliau bermain samada sebagai pemain penyerang mahupun pemain pertahanan pada zaman kemuncaknya memang tidak disangkal lagi. Selepas bersara pada tahun 1999, beliau memasuki bidang kejurulatihan pula apabila dilantik sebagai jurulatih skuad bawah-17 negara. Kemudian, gandingannya semasa bermain dahulu iaitu Dollah Salleh nampaknya begitu serasi apabila mereka bergandingan beberapa kali lagi dalam konteks pengurusan dan kejurulatihan pula. Selepas daripada itu, beliau sendiri sebagai ketua jurulatih telah memberikan kejuaraan Piala Malaysia kepada Pahang FA pada tahun 2014.

19. Mohd Zan Mat Aris
(foto: bharian.com.my)

Salah seorang pemain Kuala Lumpur FA yang memenangi Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut (1987-1989) di bawah kendalian jurulatih Chow Kwai Lam, bekas pemain kebangsaan ini telah mengikut jejak langkah jurulatihnya itu apabila turut sama berkecimpung dalam dunia kejurulatihan. Selain menerajui pasukan Terengganu FA untuk menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001, beliau juga pernah menjadi ketua jurulatih Pasukan Bolasepak Pekak Malaysia ke Deaflympics tahun 2001 di Rom, Itali manakala dari tahun 2013 hingga 2014 sebagai penolong jurulatih bagi skuad bawah-21 negara iaitu Harimau Muda 'B'.

20. Tan Cheng Hoe
(foto: bharian.com.my)

Beliau menjadi sensasi terbaharu dalam kalangan para jurulatih tempatan selepas membantu pasukan negeri jelapang padi Kedah FA menggondol gelaran juara Piala Malaysia pada tahun 2016 dengan menewaskan juara bertahan, Selangor FA. Dari tahun 2009 hingga 2013, beliau merupakan pembantu jurulatih bagi K. Rajagopal yang menghadiahkan kejayaan berganda buat negara iaitu pingat emas Sukan SEA tahun 2009 dan menjadi johan Piala AFF tahun 2010.


Di luar negara, pangkat sebagai seorang pengurus biasanya turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih. Yakni, pengurus merupakan bos merangkap ketua jurulatih. Di Malaysia pula, keadaannya adalah berbeza apabila jawatan pengurus sering diasingkan daripada jawatan ketua jurulatih. Seorang pengurus bolasepak di Malaysia boleh sahaja tidak tahu-menahu tentang bolasepak asalkan boleh menjaga hal ehwal pentadbiran, kewangan, dan komunikasi, sedangkan ketua jurulatihnya cuma dibolehkan mengawal selia hal-hal lain yang berkaitan dengan isu taktikal serta teknikal bolasepak sahaja.

Memanglah boleh dilakukan secara begitu tetapi kelihatan agak kelakar seperti mana kelakarnya tendangan dari gawang (goal kick) yang diambil oleh pemain yang bukannya seorang penjaga gol. Rakyat Malaysia ingin melihat skuad kebangsaan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan negara-negara lain? Berangan sahajalah, perkara yang asas pun badan induk bolasepak negara (dan ahli-ahli gabungannya) masih tidak faham-faham lagi. Entah bila hendak berubah. Lantaklah, apa-apa pun kita hargai sahaja sumbangan serta jasa para jurulatih termasuk beberapa nama lagi seperti:
  • Peter Velappan
  • Ahmad Shafie
  • Rahim Abdullah
  • Yunus Alif
  • Abdul Jalil Rambli
  • Moey Yok Ham
  • Razip Ismail
  • Nasir Yusof
  • Ahmad Yusof
  • Kelly Tham
  • Khaidir Buyong
  • Elavarasan Elangowan
  • Veloo Sinnathamby
  • Tajuddin Noor
  • Mohamed Zaki Sheikh Ahmad
  • Abu Bakar Fadzim
  • Azman Adnan
  • Mohd Nidzam Jamil
  • Ramlan Rashid
  • Maniam Pachaiappan
  • K. Gunalan
  • Khan Hung Meng
  • Wahid Uji
  • G. Selvamohan
  • Che Ku Marzuki
  • Ahmad Shaharuddin Rosdi
  • Mohd Fauzi Pilus
  • Syamsul Saad
  • Khalid Shahdan
  • Azmi Mohamad
  • Manzoor Azwira Abdul Wahid
  • Zahasmi Ismail
  • Sulaiman Hussin
  • Saravanan Vellu
  • S. Balachandran
  • Azmin Azram Abdul Aziz*
  • Hassan Sazali Mohd Waras*
  • Yong Wai Hwang*
  • Mohd Faozi Mukhlas*
  • Lim Chuan Chin*
  • Ismail Ibrahim*
  • Zulkefli Shamsudin*
  • Zainuddin Yusof*
  • Mohd Haris Lajid*
  • Mazlan Wahid*
  • Aminuddin Hussin*
  • M. Paramasivam*
  • Richard Scully*
  • Lim Teong Kim*
  • Khairul Azman Mohamed*
  • Hashim Mustapha*
  • Wan Rohaimi Wan Ismail*
  • Radhi Mat Din*
  • Ahmad Sabri Ismail*
  • Azlan Johar*
  • P. Balakrishan*


No comments: