Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, April 5, 2017

Harimau Malaya mengaum kembali

Harimau mempunyai beberapa spesis. Bagi orang-orang Melayu, mereka kadangkala turut menyebut nama binatang tersebut sebagai "ghimau" atau "pak belang". Haiwan liar yang biasanya berkeliaran di pedalaman semenanjung Tanah Melayu ini digelar sebagai Panthera tigris malayensis (Panthera tigris jacksoni) dalam istilah sains untuk sejenis subspesis harimau manakala dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil sebagai Malayan tiger. Malangnya, ia kini semakin terancam dengan ancaman kepupusan apabila hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 ekor dewasa sahaja mengikut kajian yang telah dibuat.

Ilustrasi oleh Maman Rosnan
(kredit: www.behance.net)

Panthera tigris tigris atau harimau Benggala merupakan subspesis harimau yang paling banyak didapati di dunia manakala subspesis yang lain-lain adalah seperti harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae), dan harimau Siberia (Panthera tigris altaica). Dahulu terdapat juga harimau Jawa dan harimau Bali, namun kedua-duanya telah pun pupus. Harimau Kaspia juga sudah tidak ada. Apa yang pelik, menurut persetujuan umum para pengkaji saintifik semasa, tidak pernah diketemui sebarang harimau di kepulauan Borneo (selain yang diambil oleh pihak zoo), tidak kiralah samada di Brunei, Kalimantan (Indonesia), Sarawak, Sabah, mahupun Labuan. Adakah ia telah pupus atau memang tidak pernah wujud di situ? Entahlah, sedangkan suku asli Dayak Ngaju di Kalimantan Tengah ada sahaja menyebut "haramaung" untuk nama harimau. Oleh itu, sesiapa yang menjumpai spesis harimau di Borneo sudah tentu akan mencipta sejarah yang tersendiri memandangkan belum ada lagi yang mampu menemuinya hingga setakat ini.

Peta kewujudan pelbagai spesis rimau
(sumber: news.mongabay.com)

Ramai yang tersalah anggap, bahawa nama gelaran pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia iaitu 'Harimau Malaya' adalah semata-mata berdasarkan haiwan yang dinamakan sebagai Panthera tigris jacksoni itu. Walaupun tidak dinafikan bahawa Panthera tigris jacksoni yang disebut juga Malayan tiger benar-benar wujud (harap-harapnya tidaklah nanti menjadi pupus), gelaran 'Harimau Malaya' tersebut sebenarnya adalah satu pengiktirafan sempena tokoh lagenda bolasepak tanahair yang tidak lain dan tidak bukan, Dollah Don. Jika dahulu dia hampir dilupakan begitu sahaja, kini dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat yang canggih telah mengangkat semula namanya ke tempat yang sepatutnya. Sekadar ingin disebutkan di sini, selain Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu iaitu Sir Gerald Templer pernah mengisytihar gelaran yang sama kepada pasukan 2 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) pada tahun 1952, Tani Yutaka dan Tomobumi Yamashita (kedua-duanya dari Jepun) adalah dua tokoh lain yang turut mendapat gelaran ini.

Berdasarkan cerita sejarah, Dollah Don asalnya diberi nama jolokan 'Harimau Malaya' oleh Bung Karno, Presiden pertama Indonesia. Kisahnya, dalam satu perlawanan di Jakarta pada tahun 1953, Dollah Don berjaya menjaringkan hat-trick untuk menghasilkan keputusan seri walaupun pasukannya ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Berikutan kejadian yang amat mengagumkan Presiden Sukarno itu, Dollah Don semenjak itu menjadi pemain yang mula-mula sekali dikenali sebagai 'Harimau Malaya'. Selepas daripada itulah, nama jolokan penyerang kelahiran Johor tersebut (yang bakatnya dicungkil oleh jurulatihnya Dol Fatah dari Singapura) turut dipinjamkan kepada setiap pemain yang menyarung jersi kebangsaan dan seterusnya terus diabadikan sebagai gelaran istimewa buat skuad kebangsaan.

Dollah Don berupaya mencatat
masa 10.60 saat dalam larian
100 meter pada masa mudanya.
(gambar: www.suara.tv)

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak mahupun negeri-negeri di semenanjung tidak perlu merasa risau, gusar, atau bimbang mengenai gelaran 'Harimau Malaya' ini. Skuad 'Harimau Malaya' masih lagi mewakili negara Malaysia, malahan sejak dahulu lagi seiring dengan perkembangan zaman. Maka, keputusan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM yang baharu untuk mengembalikan semula gelaran bersejarah tersebut amatlah dialu-alukan dan perlu disambut baik oleh kesemua warganegara Malaysia yang ambil peduli tentang peristiwa penting ini. Barangkali sebaik sahaja skuad Harimau Malaya sudah benar-benar gagah bukan sahaja di kandang sendiri tetapi juga di gelanggang antarabangsa, maka tanpa segan silu bolehlah gelaran "Harimau Asia" pula digunakan dengan lebih kerap selepas ini.

Sewaktu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah memulakan pembinaan Stadium Merdeka dahulu, beliau tidaklah mahu golongan majoriti Muslim hanya hadir ke stadium tetapi tidak ke masjid. Begitu juga dengan pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Akan tetapi, stadium hanyalah sebagai suatu peluang bagi rakyat yang berbilang kaum untuk mengetepikan perbezaan serta merapatkan jurang yang mungkin terbina dalam bidang politik, ekonomi, dan juga sosial. Sekiranya mahukan yang positif, sukan bolasepak seharusnya menjadi alat perpaduan rakyat dan bukannya penyebab kepada terjadinya sebarang perpecahan.

Semasa penjajahan Jepun sekalipun tidak menghalang
keghairahan Tunku Abdul Rahman terhadap sukan bolasepak.
(kredit: berun)

~ Bagi yang Muslim, sama-samalah kita menyedekahkan surah al-Fatihah buat semua telah pergi sebelum kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan mengampuni kita semua.


No comments: