Pages

Monday, December 30, 2019

Bolasepak tidak penting...

Bolasepak tidak penting? Kenapa kata begitu? Bukan, jangan salah faham. Bolasepak menjadi penting jika kita yang membuatnya penting. Jika tidak, bolasepak tidaklah menjadi penting. Penting atau tidaknya bolasepak itu terpulang kepada masing-masing. Tiada paksaan dan tiada juga halangan. Terserahlah. Kalau rasa penting, maka pentinglah. Kalau rasa tidak penting, maka tidak pentinglah. Cuma, satu soalan harus ditanya. Adakah bolasepak itu yang paling penting, iaitu yang terpenting di antara segala yang penting-penting? Hah, pening tak? Jangan pening-peningkan diri anda. Rileks sudah.

Baiklah, mudahnya begini. Bolasepak itu untuk apa? Bagi kebanyakan orang, bolasepak itu sejenis sukan atau aktiviti riadah. Namun, ada yang menganggapnya seperti suatu hiburan, keseronokan yang sementara samada turun bermain mahupun sekadar menonton perlawanan. Ada pula yang menjadikannya sebagai kerjaya, yakni sumber mata pencarian dan periuk nasi buat keluarga. Malah, ada juga yang tidak ambil pot pun tentang bolasepak. Kepentingan terhadap bolasepak adalah berbeza-beza mengikut kepelbagaian yang ada. Walau bagaimanapun, sekalipun bolasepak dijadikan sebagai pekerjaan sepenuh masa, bolasepak tidaklah terlalu penting untuk dijadikan perkara yang paling utama. Apatah lagi sudah menjadi lumrah dalam dunia bolasepak, 'habis madu sepah dibuang' adalah penyudahannya.

Senyum, tak perlu kata apa-apa.

Apa yang lebih penting daripada bolasepak? Amat bagus sekali jika soalan ini mahu ditanya. Bahkan, adalah lebih elok lagi jikalau mahu berfikir tentang jawapannya. Sebarang jawapan yang diberi oleh orang lain kemungkinan ianya salah, tetapi boleh jadi juga betul. Jadi, mungkin mencari jawapan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada orang lain adalah lebih baik. Tak usahlah risau. Kalau kita salah, kita boleh belajar untuk memperbetulkannya dan kalau kita betul, pun boleh terus belajar lagi dan lagi. Pelajari pula sesuatu yang baru, tidak ada ruginya. Yang rugi adalah tidak mahu belajar. Tidak mahu belajar apa yang betul, tidak mahu belajar daripada kesilapan.

Sekali lagi ingin bertanya, apa yang lebih penting atau lebih utama daripada bolasepak? Banyak benda, antaranya ialah amanah. Sebagai contoh, sesebuah pasukan bolasepak boleh sahaja menandatangani mana-mana pemain yang dikehendaki, malahan turut menawarkan gaji yang setinggi boleh, tetapi apa gunanya bolasepak jika amanah seperti membayar gaji menurut persetujuan dalam kontrak tidak ditunaikan? Begitu juga dengan seseorang pemain, mainlah sebanyak mana pun perlawanan, jaringlah sebanyak mana pun gol, apa gunanya bolasepak kalau amanah dikhianati dengan mengambil rasuah? Jika bukan rasuah, apa perlunya mengambil bahan-bahan yang terlarang seperti arak dan dadah?

Hebatnya kamu, yakinnya kamu.

Mengkhianati amanah tidak berakhir di situ. Kalau setakat tidak dapat bermain bolasepak tidak apa lagi, yang lebih teruk adalah merosakkan diri sendiri. Rosak reputasi, rosak kesihatan diri. Apabila kesihatan mulai terjejas, tidak kiralah mental, fizikal, mahupun emosi, tanggungjawab terhadap keluarga juga mulai terganggu. Andainya merosakkan diri dan keluarga sendiri pun sudah dikira sangat dahsyat, inikan pula merosakkan orang lain. Tolonglah sedar dan takut, amanah bukannya sesuatu yang boleh dibuat main-main. Walaupun dalam permainan bolasepak itu bola disepak-sepak dan ditendang-tendang, amanah bukannya sebiji bola!

Amanah pula dibahagi kepada beberapa bahagian. Selain amanah kepada diri sendiri, ada amanah kepada Tuhan, amanah kepada ibubapa, amanah kepada rumahtangga, sampailah amanah kepada masyarakat. Bagi pemain-pemain bolasepak Muslim yang lelaki mahupun wanita umpamanya, menjaga aurat adalah amanah. Kalau aurat pun sukar untuk dijaga, bagaimana pula hendak menjaga amanah-amanah lain yang lebih besar? Amanah yang sekecil mana sekalipun, jangan sesekali dipandang remeh kerana amanah tetap amanah. Tidak amanah bermakna khianat. Sama-samalah kita menjaga setiap amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Negaraku. Negaraku, kuberikan semua.

Itu baru amanah. Banyak lagi benda yang lebih penting dan lebih utama daripada bolasepak. Semuanya boleh difikirkan sendiri. Contohnya apa lagi? Kesihatan tubuh badan, masa bersama keluarga, persediaan untuk persaraan, dan lain-lain yang kalau hendak dihuraikan di sini maka panjang berjelalah penerangannya. Cukuplah sekadar untuk cuba memahamkan bahawa sukan bolasepak yang diminati boleh jadi penting untuk tahap yang tertentu tetapi tidaklah sampai menjadi lebih penting dan lebih utama daripada hidup dan mati itu sendiri. Sekiranya ada yang berpendapat sedemikian, tiada apa yang lebih penting serta utama melainkan, lantaklah.


Friday, December 27, 2019

Kenapa Malaysia belum maju?

Kalau hendak diikutkan, menjelang 1 Januari 2020 bersamaan 5 Jamadilawal 1441, Malaysia sepatutnya sudah maju. Wawasan 2020 atau Vision 2020 nampaknya hanya tinggal wawasan, wawasan yang gagal dicapai. Transformasi Nasional 2050 kemungkinan besar telah pun dilupakan manakala wawasan baru iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pula belum diketahui apakah nasibnya nanti. Samada tahun 2020, 2030, 2050, 2057, atau mana-mana tahun sekalipun, Malaysia hanya akan menjadi maju sekiranya rakyatnya yang berbilang bangsa tidak lagi mempunyai mentaliti kelas ketiga walaupun adanya infrastruktur-infrastruktur yang bertaraf dunia.

Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium ke-9
terbesar di dunia dan ke-21 mengikut kapasiti penonton.

Malaysia sebagai sebuah negara, tidaklah terlalu teruk atau mundur. Di sebalik kekurangan-kekurangan ketara yang diketahui umum, Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan masih lagi membangun. Persoalannya di sini, apa kaitan kemajuan sesebuah negara dengan sukan bola sepak? Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang termaju dalam pelbagai bidang, namun liga bolasepaknya yang utama yakni Major League Soccer (MLS) sedihnya hanya menjadi pilihan para pemain antarabangsa yang hampir-hampir pencen sahaja. Malah, negara Uncle Sam yang begitu hebat itu belum pernah menjulang Piala Dunia. Pasukan wanitanya sudah, lelakinya belum. Begitu juga dengan Jepun, meskipun menjadi anggota G7 (Group of Seven) dan dianggap pula sebagai salah satu kuasa besar bolasepak Asia, skuad senior lelaki negara matahari terbit tersebut belum lagi tersenarai sebagai salah satu juara dunia.

Namun begitu, empat negara maju dari Eropah sudah pun memenangi Piala Dunia sekurang-kurangnya sekali. Jika pelopor bolasepak moden iaitu England (sebahagian daripada United Kingdom) pernah memenanginya cuma sekali pada tahun 1966, Itali, Jerman, dan Perancis pula sudah beberapa kali menjadi nombor satu di kalangan negara-negara seluruh dunia. Cuma, sehebat-hebat empat negara Eropah terbabit, Brazil lebih hebat. Walaupun Brazil terletak di benua Amerika Selatan yang tidaklah semaju benua Eropah, negara yang cukup terkenal dengan tarian dan muzik samba itu adalah satu-satunya negara yang layak ke semua Piala Dunia sebelum ini di samping berjaya merekodkan kejuaraan dunia yang paling banyak setakat ini.

Maka, seandainya Malaysia sempat menjuarai Piala Dunia sebelum Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Rusia, Belanda, Norway, mahupun China, adakah Malaysia sudah boleh dianggap maju? Kalaulah Malaysia boleh muncul johan peringkat dunia yang kesembilan selepas Brazil, Itali, Jerman, Uruguay, Argentina, Perancis, England, dan Sepanyol, akan maju sungguhkah negara yang berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara ini? Atau mungkin, tanahair yang tercinta ini sudah boleh dikira sebagai maju jikalau terdapat seorang atau lebih pemain kebangsaannya yang diangkat sebagai pemain terbaik dunia sebaris dengan nama-nama seperti Kaka, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, dan Luka Modric? Jika betullah pengiktirafan-pengiktirafan sedemikian menjadi tanda aras kemajuan sesebuah negara, maka punahlah manusia. Patutlah banyak orang miskin di sana sini. Jenayah pula semakin menjadi-jadi.

Bill Gates & Jeff Bezos masing-masing bernilai
$110 billion dan $108.7 billion, manakala
Cristiano Ronaldo & Leo Messi masing-masing
cuma bernilai $460 juta dan $400 juta sahaja.

Kalau bolasepak bukan penentu samada sesebuah negara sudah maju atau tidak, jadi apakah penentunya? Duitkah? Memanglah wang ringgit tidak boleh beli segala-galanya tetapi zaman sekarang, hampir segala-galanya perlu dibeli dengan wang. Ada orang kata, "anda kaya, anda berjaya". Kaya harta atau kaya jiwa? Bukankah kena kaya dua-dua, baru berjaya? Mengapa mahu berjaya di dunia tetapi tidak di akhirat? Mengapa mahu berjaya di akhirat tetapi tidak di dunia? Bermacam-macam soalan yang boleh ditanya. Hanya tinggal jawapannya sahaja yang harus dicari. Bagi setiap masalah, mesti ada penyelesaiannya. Peribahasa Melayu juga ada menyebut, "malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut".


Sunday, December 15, 2019

Liga-M musim 2020

Liga Malaysia kini semakin kurang dikenali sebagai Liga-M atau M-League memandangkan badan penganjur liga kebangsaan yakni Malaysia Football League (MFL/LBM) bagi pihak badan pentadbir bolasepak tanahair iaitu Football Association of Malaysia (FAM/PBM) lebih selesa mempromosi jenama Liga Super Malaysia atau Malaysia Super League sebagai divisyen tertinggi, di samping Liga Premier Malaysia atau Malaysia Premier League sebagai divisyen kedua. Piala FAM yang telah bermula sejak tahun 1951, dan sebelum ini juga pernah ditukar namanya kepada Liga FAM, pun sudah diubahsuai menjadi Liga M3 selain adanya Liga M4 di bawah seliaan Amateur Football League (AFL/LBA). Liga M5 pula akan diselaraskan semula pada 2021.


Proses modenisasi liga bolasepak tempatan kebanggaan negara ini nampaknya masih lagi berjalan walaupun tahun 1994 dikatakan sebagai permulaan era profesional manakala era penswastaan semenjak tahun 2004 yang cuba diketengahkan pula belum benar-benar membuahkan hasil yang diinginkan. Maka, tahun 2020 akan menyajikan pertandingan bolasepak yang mempunyai beberapa peningkatan yang ketara namun secara keseluruhannya belum mampu mencapai tahap yang memuaskan terutamanya dari aspek pengurusan kewangan, sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat. Iklim ekonomi dunia semasa (Perang Dagang Amerika Syarikat-China) mungkin sahaja boleh dipersalahkan, tetapi bahang suasana yang meriah dijangka masih dapat dirasai seperti mana tiap-tiap tahun apabila menjelangnya ketibaan kejohanan paling berprestij, Piala Malaysia.

Banyak lagi usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi meyakinkan para peminat untuk terus menyokong Liga Malaysia yang sudah pasti jika berjaya hanya boleh menguntungkan bukan sahaja pasukan-pasukan dalam liga, malah yang lebih penting lagi adalah pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia. Cukup sekadar dengan pengenalan yang telah diberikan, berikut merupakan serba sedikit maklumat awal bagi persiapan untuk menyaksikan Liga-M musim 2020 yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.


Tarikh tutup Program Kawalan Ekonomi (ECP):
15 Disember 2019

Pengesahan Program Kawalan Ekonomi (ECP):
15 Januari 2020

Jendela perpindahan pertama MFL:
16 Januari - 15 Mac 2020

Jendela perpindahan kedua MFL:
15 Jun - 12 Julai 2020

Jendela pendaftaran pertama AFL:
20 Januari 2020

Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK20 Virtual):
30 Disember 2020


Piala Sumbangsih 2020
- JDT FC lwn. FC Kedah, 28 Februari, Stadium Sultan Ibrahim Larkin (Gelang Patah, Johor)


Liga Super 2020
  1. JDT FC
  2. Pahang FA (Sri Pahang FC)
  3. Selangor FA (Selangor FC)
  4. FC Kedah (Darulaman FC)
  5. Perak FA (Bos Gaurus FC)
  6. Melaka United SA (Melaka City FC)
  7. Terengganu FC
  8. Petaling Jaya City FC
  9. FELDA United FC (Rakyat United FC)
  10. Sabah FA (Sabah FC)
  11. PDRM FA (Royal Police FC)
  12. UiTM FC


Liga Premier 2020
  1. PKNS FC (Selangor 2)
  2. PKNP FC (Perak II)
  3. Kuala Lumpur FA (Kuala Lumpur United FC)
  4. Johor Darul Ta'zim II
  5. TFC II
  6. Negeri Sembilan FA (Negeri Sembilan FC)
  7. Pulau Pinang FA (Penang FC)
  8. UKM FC
  9. Selangor United FC (Sarawak United FC)
  10. Kelantan FA (TRW Kelantan FC)
  11. Kelantan United FC
  12. Kuching FA (Kuching City FC)


Liga M3 2020
  1. Sarawak FA (Sarawak United B)
  2. Perlis FA* NLFC-MAHSA (Northern Lions FC)
  3. Armed Forces FC
  4. Puchong Fuerza FC (Manjung City FC)
  5. Ultimate FC
  6. Protap FC
  7. Banggol Tokku FC (Kuala Terengganu Rovers FC)
  8. Dak-dak Melawati FC (Melawati FC)
  9. SAMB FC Melaka II (Melaka United FC)
  10. Batu Dua FC (Harini Kuala Selangor FC)
  11. Johor Bahru FA Imigresen FC
  12. Glory United FC (Langkawi City FC)
  13. KSR SAINS FC
  14. IKRAM Muda FC
  15. Thai Selangor FC
  16. Semarak FC
  17. Persada Integriti Bersatu FC
  18. Klasiko FC
  19. Kuala Lumpur II (KL Rovers FC)
  20. KSK Tambun Tulang FC (Perlis United FC)


Liga M4 2020
  1. Kluang FA
  2. SSFC FT
  3. SA United FC
  4. ISMA FC
  5. STAROBA FC
  6. Kuala Perlis FC
  7. Red Spade FC
  8. Kuatagh FC
  9. Kerteh FC
  10. Gamestop FC
  11. Delima Warriors FC
  12. Nossa Bukit Jelutong FC
  13. Pandan United FC
  14. Imigresen FC
  15. Kickers FC
  16. Tun Razak FC (Tun Razak City FC)
  17. Southern FC
  18. Nor Farhan FC
  19. Spirito FC
  20. Andersonian FC
  21. Real Chukai FC
  22. Markless ST


Monday, December 2, 2019

Bolasepak Malaysia sedang mendaki

Tajuk yang hendak diberikan untuk rencana ini asalnya ialah 'Bolasepak Malaysia masih mencari hala tuju' ataupun 'Bolasepak Malaysia tercari-cari petunjuk', namun ia seolah-olah kelihatan agak gelap atau mungkin juga cenderung ke arah negatif. Maka, tajuk yang menggunakan bahasa berlapik telah dipilih dengan harapan dapat menonjolkan sisi yang lebih positif di sebalik apa jua keadaan yang sebenar. Satu lagi, jangan pula salah sangka, daki yang di sini maksudnya panjat, bukannya kotoran.


Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan atas segala usaha baik yang dilakukan oleh badan induk bolasepak negara bersama-sama badan pengelola liga kebangsaan bagi menaikkan lagi mutu bolasepak tanahair. Tahniah juga kepada mereka yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu negara mencapai sekelumit kejayaan serta kejuaraan yang tetap amat bermakna buat seluruh rakyat amnya, dan juga para pencinta bolasepak khasnya.

Baiklah, sesudah semua itu telah dijelaskan maka eloklah beralih pula kepada situasi semasa. Menjelang tahun 2020 yang bakal menjelma, sukan bolasepak Malaysia nampaknya seiring benar dengan tahap pembangunan negara di pelbagai bidang yang lain. Matlamat "Wawasan 2020" yang mengidamkan status negara maju sudah pun diubahsuai dan ditangguh beberapa tahun ke hadapan, sebagaimana skuad bawah-23 kebangsaan terpaksa menunda impian ke Sukan Olimpik buat kali kedua sejak 1972 apabila terlepas tiket ke Tokyo 2020.


Selepas hanya sekadar mampu menonton Piala Dunia B-20 tahun 2019 dari jauh tanpa penyertaan wakil negara, tahun 2021 akan menghadirkan peluang baru buat pasukan belia negara untuk sekali lagi tampil selepas pernah menjadi tuan rumah kejohanan pada 1997 yang lalu. Jika tidak pada 2021, maka dua tahun lagi atau tiap-tiap dua tahun yang berikutnya. Kalau tidak pun, Piala Dunia B-17 juga ada. Sekiranya sesebuah generasi gagal menyambut peluang yang tiba, maka percubaan untuk meraih kejayaan akan disambung pula oleh generasi-generasi pengganti dan begitulah yang seterusnya.

Dari sudut yang lain, tahun 2019 secara keseluruhannya banyak juga menghadiahkan memori indah di sebalik pengalaman pahit manis. Tanpa boleh berselindung lagi, harapan yang dahulunya kian malap kini kembali cerah bersinar selepas skuad senior Malaysia mempersembahkan corak permainan yang menarik di samping memperoleh keputusan-keputusan yang begitu mengujakan. Meskipun bermula dengan langkah kiri apabila kecundang dalam Piala Airmarine, sebuah kejohanan komersial yang langsung tiada aura seperti mana Pesta Bola Merdeka, Harimau Malaya perlahan-lahan bangkit semula dalam perjalanannya di kelayakan Piala Dunia 2022 yang turut bertindak sebagai pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2023.


Jika tiada aral melintang, pasukan bolasepak kebangsaan berupaya untuk sekurang-kurangnya layak lagi ke Piala Asia setelah layak secara automatik sebelum ini pada tahun 2007 sebagai tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain yakni Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Andainya momentum dapat diteruskan ke dekad yang baru bermula tahun 2020, cita-cita ke Piala Dunia juga semakin hampir namun biarlah prestasi sahaja yang meningkat dan bukannya harapan yang menggunung terlalu tinggi. Lihat sahajalah kepada rekod Sukan SEA, selepas kecewa di halaman sendiri pada tahun 2017, skuad bawah-22 negara nampaknya seperti tergugup-gugup untuk merampas balik pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2011.

Jadi, bagaimana pula boleh dikatakan bolasepak Malaysia sedang mendaki? Sekadar tafsiran peribadi, tempoh zaman gelap yang sangat meletihkan bahkan amat mendukacitakan boleh dikatakan telah pun berakhir. Apabila pingat emas Sukan SEA dimenangi pada tahun 1989 di Kuala Lumpur, ia memakan masa yang sungguh lama untuk memenanginya semula. Hampir sahaja putus asa, pingat emas akhirnya dimenangi pada tahun 2009, kira-kira 20 tahun kemudian. Malah, Malaysia menang lagi pada 2011, dua edisi berturut-turut Malaysia menjadi juara. Lebih membanggakan, di tengah-tengah kemenangan berganda tersebut, Malaysia turut dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara buat kali pertama apabila berjaya berjulang trofi pertandingan Piala AFF tahun 2010.


Semenjak itu, berbagai-bagai kejuaraan dan rekod baharu yang dicipta. Kejohanan AFF B-15 tahun 2013, Kejohanan Bolasepak Pantai AFF tahun 2014, pingat emas bolasepak 5-sebelah Sukan Para ASEAN tahun 2015, JDT FC johan Piala AFC tahun 2015, Mohd Faiz Subri diberi Anugerah Puskas FIFA tahun 2016, Kejohanan AFF B-18 tahun 2018, dan terbaru ialah Kejohanan AFF B-15 tahun 2019. Banyak berita baik di peringkat antarabangsa namun pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan seperti Piala Malaysia dan Liga-M pula sayangnya belum benar-benar diolah untuk menjadi pentas terunggul bagi membentuk para pemain tempatan yang betul-betul boleh mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya.

Tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia masih lagi mendaki. Ianya bukan mudah tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk tidak terjatuh. Jikalau tergelincir, cepat-cepatlah berpaut agar boleh kembali mendaki. Kemuncaknya mungkin Piala Dunia, mungkin juga yang didaki itu mempunyai beberapa puncak. Apabila sampai di mana-mana puncak pada suatu hari nanti, mahu tidak mahu perlu turun juga. Turun tidak bermakna jatuh walaupun sewaktu turun boleh juga terjatuh. Turun yang dimaksudkan adalah merendahkan hati dan tidak menyombongkan diri. Kalah atau menang, lulus atau gagal, itu semua biar Tuhan yang tentukan. Manusia hanya mampu mencuba dan terus mencuba melakukan yang terbaik dengan sebaik mungkin. Dengan itu, mudah-mudahan kebaikan yang diterima menjadi bertambah baik.