Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, March 19, 2018

Apabila Wawasan 2020 gagal dicapai

Rakyat menjadi semakin rabun terhadap masa hadapan negara.

Pada tahun 1991, suatu pemikiran dan juga rangka kerja iaitu Wawasan 2020 telah diperkenalkan dengan objektif untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 dengan acuan sendiri. Namun, apa yang terjadi setakat tahun 2018 adalah negara belum menjadi maju sepenuhnya malah sudah tidak sempat untuk mengecapinya dalam masa singkat yang berbaki ini apatah lagi sehingga sekarang pun masih tercari-cari acuan sendiri. Meskipun tidak dinyatakan secara jelas mengenai sasaran yang ingin dicapai dalam bidang sukan, Malaysia nampaknya semacam terpaksa melangkah ke belakang untuk mengekalkan status sebagai sebuah negara yang agak mundur serta lambat membangun paling tidak pun dalam sukan bolasepak.

Walaupun Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11, dari 2016 hingga 2020) merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020, Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia dan Piala Asia AFC 2019 di Emiriah Arab Bersatu adalah dua kejohanan terbesar yang bakal berlangsung tanpa penyertaan Malaysia. Padahal, ia sepatutnya menjadi antara cabaran terakhir dalam tempoh berkenaan untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara kuasa besar bolasepak. Sayangnya, kini apa yang tinggal hanyalah ibarat angan-angan Mat Jenin sahaja. Apa sahaja yang dicapai selepas ini bukan lagi menepati misi yang asal, dan peluang yang telah disia-siakan tersebut sudah pun terlepas tanpa boleh berundur kembali.

Bangga dengan apa yang dicapai

Tidak dinafikan memang terdapat beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan (Piala AFF 2010, Piala AFC 2015, Anugerah Puskas FIFA 2016) namun tidak dinafikan juga bahawa masih terlalu banyak kerja penting yang perlu disiapkan dengan segera mengikut keutamaan. Realitinya, dan kita juga perlu sedar, Malaysia merupakan salah satu negara yang kerdil dalam dunia bolasepak. Jadi, apalah yang hendak dibanggakan sangat jika ada beberapa kejayaan di sana sini tetapi boleh pula tidak sedar diri, mudah sombong serta berlagak, seolah-olah mempunyai pengaruh seperti gergasi yang sukar untuk ditumbangkan. Kalau betullah kita benar-benar maju, mengapa tidak membida sahaja untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia?

Katakanlah boleh menang pembidaan tersebut dan layak secara automatik, adakah kita sudah bersedia untuk menampung pelbagai kemudahan asas seperti pengangkutan dan penginapan, mahupun pengurusan tiket dengan sebaiknya? Ini bukan lagi pertandingan Piala Malaysia tetapi kejohanan besar bertaraf antarabangsa, mampukah Malaysia melakukannya? Apa yang lebih menakutkan atau mengerikan adalah, mampukah skuad kebangsaan melepasi peringkat kumpulan apabila mendapat peluang menjadi penganjur Piala Dunia, atau mungkin akan kecundang dengan aibnya seperti mana kecundangnya pasukan Harimau Malaya sewaktu berperanan sebagai salah satu tuan rumah dalam Piala Asia AFC pada tahun 2007 yang lalu?

Kedudukan 20 ter­atas di dunia

Beralih kepada TN50 (Transformasi Nasional 2050), cita-cita baru bagi bolasepak Malaysia adalah untuk berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia. Memang tidak mustahil, cuma aspirasi yang diidamkan tersebut adalah tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali kerana ianya tidak bersandarkan kepada realiti semasa. Di atas kertas, perancangan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang boleh sahaja ditulis atau ditaip sesuka hati tetapi di atas padang jugalah nanti yang akan menampakkan hasil keputusannya pada akhirnya. Selagi mana masalah-masalah pokok seperti kelewatan pembayaran gaji, rasuah dalam mengatur perlawanan (pertaruhan atau menjual permainan), penyalahgunaan dadah, pembangunan akar umbi yang lemah, pengabaian kebajikan bekas pemain, dan lain-lain tidak ditangani dengan berkesan maka selagi itulah setiap impian akan terkubur begitu sahaja.

Seseorang warganegara Malaysia yang ambil peduli tentang sukan bolasepak tanahair sewajarnya merasa bimbang dan risau, bukan kerana ranking ke-178 dunia baru-baru ini merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah negara tetapi gusar kerana Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Tunku Mahkota Johor (TMJ) yakni Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail berhasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disandangnya sejak Mac 2017 di kala belum pun tamat penggal lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 2021. Walau bagaimanapun, apa jua kehendak dan pilihan individu yang buat masa ini adalah pemimpin yang paling layak menerajui FAM mestilah dihormati oleh semua pihak yang berkaitan. Cuma, adalah menjadi harapan besar agar sokongan serta dokongan terhadap pembangunan bolasepak harus diteruskan dan dilanjutkan supaya suatu hari nanti rakyat dapat juga memahami erti kemajuan yang sebenar.


[30 Jamadilakhir 1439 Hijriah]

No comments: