Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, February 22, 2018

Penjaga gol lagenda Asia - Chow Chee Keong

Di kalangan peminat bolasepak sendiri, ada yang langsung tidak mengenalinya, ada yang pernah dengar tentangnya, ada yang tahu serba sedikit mengenainya, dan terdapat bermacam-macam lagi keadaan. Walau apa pun situasinya, nama bintang ini sudah lama tersemat rapi dalam lipatan sejarah. Beliau merupakan bekas penjaga gawang pasukan kebangsaan Harimau Malaya, juga seorang lagenda bolasepak Asia.

Asian Stainless Steel Gate
a.k.a. Crazy Sword

(kredit: footnostalgie.com)

Kehidupan manusia biasanya diingati ketika berlakunya tiga kejadian utama, iaitu masa lahirnya, masa kahwinnya, dan masa matinya. Bagi kebanyakan orang, apa yang berlaku di antara kejadian yang pertama dan yang ketiga itu mungkin hanya dirinya, keluarganya, dan kawan-kawannya sahaja yang ingat. Namun begitu, bagi individu yang suka merendah diri bernama Chow Chee Keong, perjalanan hidupnya membuatkan lebih ramai yang ingat malah menghargai sumbangannya.

Chow Chee Keong dipinjamkan dari South China AA kepada
Caroline Hill FC untuk menentang pasukan Pele iaitu Santos FC
dalam perlawanan persahabatan di Hong Kong pada 1972.
(kredit: sports247.my)

Pernah menjuarai Piala Malaya bersama Selangor FA pada tahun 1966 yakni setahun sebelum pertandingan tersebut diberi nama baru Piala Malaysia, Chow Chee Keong yang sangat berbakat sejak usia muda mengambil keputusan untuk berhijrah supaya dapat menimba ilmu serta pengalaman di luar negara. Bermula dengan Bedford Town FC di England, beliau kemudiannya berkelana ke Hong Kong dan menyertai beberapa kelab sepanjang beberapa tahun berada di sana. Beliau juga amat bertuah, di samping mendapat peluang bermain bolasepak secara profesional, beliau juga sempat berkongsi padang dengan dua tokoh besar bolasepak dunia iaitu Pele dari Brazil dan Eusebio dari Portugal.

Mewakili pasukan Overseas XI, Chow Chee Keong berentap dengan
Eusebio dari SL Benfica di Stadium Hong Kong pada 1973.
(gambar: scmp.com)

Sekiranya dunia pernah menyaksikan ketangkasan para penjaga gawang yang hebat-hebat seperti Lev Yashin, Amadeo Carrizo, Ricardo Zamora, Gianpiero Combi, Frantisek Planicka, Gordon Banks, Dino Zoff, Sepp Maier, Rene Higuita, Jose Luis Chilavert, Jorge Campos, Peter Schmeichel, Andreas Koepke, Andoni Zubizarreta, Mohamed Al-Deayea, Oliver Kahn, Fabien Barthez, Edwin van der Sar, Gianluigi Buffon, Iker Casillas, Petr Cech, Ali Al-Habsi, Manuel Neuer, Hugo Lloris, Fernando Muslera, David De Gea, Marc-Andre ter Stegen, Thibaut Courtois, Gianluigi Donnarumma, dan sebagainya, negara Malaysia yang tercinta juga boleh berbangga dengan nama pemain yang tidak kurang hebatnya seperti Chow Chee Keong yang bertaraf antarabangsa. Mana tidaknya, Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) pun mengiktirafnya sebagai penjaga gol terbaik benua Asia sebanyak lima kali berturut-turut dari tahun 1966 hingga 1970.

Chow Chee Keong
(26 November 1948 - 21 February 2018)
[gambar: thestar.com.my]

Justeru, warga dunia bolasepak ingin menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mendiang dan turut bersedih dengan pemergian lagenda bolasepak yang tiada tolok bandingnya ini. Jasa dan pengorbanannya untuk negara tetap akan dikenang, bukan sahaja oleh generasi dahulu dan kini tetapi juga dari generasi ke generasi.


No comments: