Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, April 22, 2015

MALAYSIA: Pemain tengah

MALAYSIAN MIDFIELDERS
Sekiranya penyerang dan pemain sayap banyak melibatkan diri dalam serangan, penjaga gol dan pemain pertahanan lebih kepada bertahan, pemain tengah pula merupakan penghubung bagi kedua-dua bahagian tersebut. Sebagai jentera yang menggerakkan sesebuah pasukan, pemain tengah juga menjadi nadi utama dalam menentukan kemenangan seandainya mereka berjaya memastikan gol-gol yang dijaringkan adalah lebih daripada yang dibolosi. Pemain tengah bukan sahaja perlu membantu di bahagian pertahanan, mereka juga perlu membantu bahagian serangan dengan membuat sebanyak mungkin hantaran serta membuka peluang kepada rakan-rakan lain untuk menjaringkan gol. Malah, mereka juga sama-sama bertanggungjawab untuk menjaringkan gol di samping perlu mengawal permainan dengan baik agar rakan-rakan sepasukan berupaya mendapat kelebihan ke atas pasukan lawan.

Duniabolasepak.blogspot.com akan menyenaraikan beberapa pemain tengah yang menjadi tunjang bagi skuad kebangsaan dari dahulu dan juga sekarang.

1. Ali Bakar

Merupakan abang kepada bekas penyerang kebangsaan iaitu Isa Bakar, pemain tengah yang juga bekas pemain kebangsaan ini telah menjulang nama Pulau Pinang bersama-sama dengan adiknya ketika zaman kegemilangan Penang FA pada suatu ketika dahulu (tahun 1970-an). Antara kejayaan yang dikecapinya adalah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik tahun 1972 di Munich, Jerman dan meraih tempat ketiga dalam Sukan Asia yang berlangsung di Tehran, Iran tahun 1974.

2. Wong Choon Wah

Ramai peminat tegar bolasepak tempatan menganggap pemain lagenda ini, hingga setakat ini, sebagai perancang tengah terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia. Mempunyai gaya dan teknik permainan yang semulajadi, beliau adalah sebahagian daripada pasukan negara yang bertanding dalam Sukan Olimpik 1972 dan pernah menyumbang jasa untuk Selangor FA dan juga sebuah kelab dari Hong Kong iaitu South China Athletic Association.

3. Shukor Salleh
Mr. Cool

Anak jati Pulau Pinang kelahiran Tanjung Bungah ini merupakan bekas pemain tengah bertahan yang penting bukan sahaja bagi Penang FA bahkan juga untuk skuad negara. Memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1977 yang sebelum itu dimenangi oleh Mokhtar Dahari pada tahun 1976, beliau mempunyai 215 kap bersama pasukan kebangsaan dan memperoleh pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974.

4. Reduan Abdullah

Bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Dollah Salleh yang merupakan ketua jurulatih kebangsaan pada waktu ini, beliau adalah salah seorang pemain ternama dalam era yang seangkatan dengan Mokhtar Dahari. Bermain untuk Selangor FA di sepanjang kariernya, dahulu beliau juga bermain untuk negara secara regular serta bergandingan mantap dengan Shukor Salleh di bahagian tengah pasukan Malaysia.

5. Nasir Yusof
kredit: dproflegends.wix.com

Pernah mengharumkan nama Johor FA, bekas pemain kebangsaan ini memang bijak mengatur gerakan yang berkualiti dari bahagian tengah sehingga diberi nama jolokan 'The Professor'. Beliau juga pernah terlibat dalam pengurusan skuad kebangsaan apabila menjadi pembantu jurulatih yang turut membimbing pasukan negara mencapai kedudukan ketiga dalam kejohanan Piala AFF pada tahun 2004.

6. Bakri Ibni

Seorang wira bagi Perlis FA dan juga bagi pasukan kebangsaan, beliau merupakan bekas pemain tengah yang telah pun mewakili negara sejak usia muda apabila mengetuai skuad bawah 15 tahun dalam kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN pertama pada 1969. Sekiranya ramai yang mengingati jaringan gol kemenangan James Wong ke atas Korea Selatan yang sepatutnya membawa Malaysia ke Olimpik 1980 di Moscow, pemain inilah yang menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan tersebut apabila keputusan 2-1 memihak kepada Malaysia.

7. Khalid Shahdan
Zico of Malaysia

Pemenang pingat perak (hanya dikalahkan oleh pasukan tuan rumah) dalam Sukan SEA yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada tahun 1987 ini pernah berkhidmat dengan begitu cemerlang sekali dengan Johor FA (kini JDT II) dan juga Johor FC (kini JDT I). Walaupun bertubuh agak kecil, bekas pemain tengah kebangsaan ini mempunyai corak permainan yang lincah semasa bermain dahulu dan kini sedang menceburi bidang kejurulatihan pula bagi menggilap bakat serta menyerlahkan potensi anak-anak muda tempatan.

8. Mat Zan Mat Aris

Generasi muda peminat bolasepak Malaysia sudah pasti lebih mengenali beliau sebagai seorang jurulatih berkaliber yang berjaya mencungkil bakat-bakat baru daripada tidak terkenal hingga menjadi pemain-pemain yang terkemuka, antaranya Mohd Nizaruddin Yusof, Mohd Farid Dewan, V. Saravanan, dan lain-lain lagi. Yang sebenarnya, beliau sendiri juga merupakan bekas pemain tengah kebangsaan yang berwibawa dan perlu dikenang jasanya.

9. Azizol Abu Haniffah

Selepas Wong Choon Wah, satu-satunya perancang tengah yang dianggap paling kreatif pasukan kebangsaan pernah miliki adalah pemain yang lahir di Teluk Intan ini. Bahkan beliau pernah dinamakan oleh AFC dalam Asian Team of the Year First XI pada tahun 1991. Namun, sungguh malang buat diri beliau dan negara terutamanya apabila episod hitam skandal rasuah (mengatur keputusan perlawanan atau menjual permainan) melanda bolasepak domestik pada tahun 1994 hingga tiadanya lagi kesempatan untuk melihat kawalan bola yang rapat dan hantaran yang tepat seperti acap kali yang dilakukan oleh beliau.

10. Radhi Mat Din
Kedah's Captain Marvel

Salah seorang pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur, bekas pemain tengah kebangsaan ini menghabiskan seluruh kerjaya bolasepaknya dengan Kedah FA. Beliau juga merupakan ketua pasukan Kedah FA yang paling lama dalam sejarah yang bermula dari tahun 1991 hinggalah tahun 2000 yang sudah tentu akan menyebabkannya sentiasa diingati dalam lipatan sejarah bolasepak negara.

11. Sanbagamaran Kalasigaram
Super Sanba

Bekas anak murid SMK Tinggi Kajang ini lebih kerap menggunakan kaki kanannya namun tetap versatil apabila mampu bermain bukan sahaja di posisi pemain tengah bertahan tetapi juga di bahagian bek samada di sebelah kanan mahupun kiri. Pernah diiktiraf sebagai Pemain Tengah Terbaik Malaysia pada tahun 1995, pemain yang membantu skuad kebangsaan menduduki tempat kedua di Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF) ini banyak menabur bakti di Selangor FA selain turut bermain untuk Sabah FA dan juga PKNS FC sebelum bersara.

12. Yap Wai Loon
kredit: golpluksut.com

Satu nama yang tidak asing lagi kepada peminat-peminat bolasepak tanahair, pemain tengah yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur FA dan Sabah FA ini dahulunya merupakan aset penting bagi pasukan negara. Dikenali sebagai seorang pemain yang cekap membuat hantaran-hantaran yang membuka ruang dan peluang, kekurangan ketinggian fizikal tidak menjadi masalah besar bagi beliau untuk bersaing dengan mana-mana pemain pada zamannya.

13. Ahmad Shahrul Azhar Sofian

Apabila skuad negara tumpas secara mengejut kepada pasukan kerdil Laos dalam temasya Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia, zaman suram pasukan kebangsaan seolah-olah tiada berpenghujung sampailah hadirnya pemain ini mewakili Malaysia beberapa tahun kemudian. Bekas pemain tengah yang kerjaya bolasepaknya meliputi pasukan-pasukan seperti Perak FA, Negeri Sembilan FA, dan Proton FC ini bingkas bangkit menyelamatkan maruah negara terutama sekali sebagai ketua pasukan yang tetap bersemangat dalam apa jua keadaan.

14. Tengku Hazman Raja Hassan

Menjadi sebahagian daripada projek skuad Olimpik 2000, pemain tengah ini serta rakan-rakannya yang lain seperti Khalid Jamlus, Nafuzi Zain, dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh telah diletakkan harapan yang terlalu tinggi menggunung apabila terpaksa mengambil alih tugas mewakili negara bagi menggantikan peranan skuad senior yang dibubarkan sebelum itu. Amat merugikan apabila banyak bakat besar kecundang kepada tekanan yang berlebihan akibat eksperimen tersebut namun mujurlah bekas kapten ini masih dapat menyumbangkan sesuatu pada waktu itu.

15. Hardi Jaafar
gambar: utusan.com.my

Buat sementara waktu, pemain ini pernah menjadi tonggak di bahagian tengah pasukan kebangsaan dan paling diingati apabila menjaringkan satu gol yang sangat menarik semasa berdepan dengan pasukan Singapura dalam separuh akhir pertama Piala AFF pada tahun 2007. Berasal dari Ipoh, pasukan-pasukan yang telah diwakilinya adalah Melaka Telekom FC, Selangor FA, Perak FA, dan Felda United FC.

16. Shukor Adan

Pemain tengah ini telah pun mengumumkan persaraannya daripada mewakili negara selepas membawa Malaysia menjadi naib juara (setelah tewas kepada Thailand) dalam Piala Suzuki AFF 2014. Walaupun begitu, pemain hebat yang pernah menjadi mentor kepada pengganti mudanya iaitu Safiq Rahim ini terus berada dalam kancah arena bolasepak tempatan apabila masih lagi bermain dengan mewakili sebuah pasukan kelab yakni Felda United FC.

17. Safiq Rahim

Memiliki semangat juang yang tinggi, pemain tengah kebangsaan ini kerap kali muncul wira bagi setiap pasukan yang diwakilinya. Di samping penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak, dan penyerang Norshahrul Idlan Talaha, mereka berempat sudah menjadi tulang belakang bagi skuad negara semenjak bekas jurulatih kebangsaan K. Rajagobal berada di tampuk pengurusan sehinggalah pemain ini kini menjadi terkenal sebagai pakar sepakan percuma.

18. Shakir Shaari

Antara pemain tengah bertahan yang cukup kemas permainannya, pemain kelahiran Kota Bharu yang berhijrah dari Kelantan FA ini merupakan salah seorang anggota Johor Darul Ta'zim FC (JDT I) yang terdiri daripada ramai pemain bintang. Keampuhan serta ketenangannya mengemudi bahagian tengah padang sering menjadi perisai kebal yang membenteng rakan-rakannya di bahagian pertahanan.

19. Irfan Fazail

Dilahirkan di Pontian, pemain tengah Johor Darul Ta'zim FC ini pernah menyertai skuad Harimau Muda melalui Sekolah Sukan Bukit Jalil. Mesra disapa sebagai 'Ipan' oleh teman-teman rapat, beliau sempat membuat dua kemunculan dengan FC ViOn Zlaté Moravce semasa beliau dipinjamkan ke kelab Slovakia tersebut selama 3 bulan bermula pada September 2011.

20. Nazmi Faiz Mansor

Selepas membantu pasukan negara (di bawah kendalian Ong Kim Swee) mempertahankan pingat emas buat kali kedua berturut-turut di Sukan SEA pada tahun 2011 di Indonesia, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang dikenali dengan nama timangan 'Nami' ini kemudiannya mendapat peluang menimba pengalaman di luar negara. Walaupun tidak lama bersama dengan S.C. Beira-Mar di Portugal, perancang tengah yang berbakat luar biasa ini tidak pulang hampa apabila membawa kejayaan menjuarai Pesta Bola Merdeka 2013 dan di samping itu beraksi pula dengan pasukan Semut Merah (PKNS FC) dan kini di Selangor FA.


Pemain tengah boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan umum yakni pemain tengah bertahan, pemain tengah, dan pemain tengah menyerang (perancang tengah). Kesemuanya saling memerlukan dan berkait antara satu sama lain memandangkan kunci bagi keharmonian dalam sesebuah pasukan sememangnya terletak pada keseimbangan fungsi pemain-pemain tengah. Sekiranya bahagian tengah gagal berfungsi dengan baik maka tunggu dan lihat sahajalah kemerosotan prestasi seluruh pasukan. Oleh yang demikian, tidak dinafikan lagi bahawa bahagian tengah adalah sama penting malah kadang kala lebih utama daripada bahagian pertahanan mahupun bahagian serangan. Berikut adalah beberapa nama pemain tengah lain yang sempat dinyatakan di sini:

  • Abdah Aliff
  • Hamzah Hussein
  • Khalid Ali
  • Ahmad Yusof
  • N. Thanabalan*
  • Lim Teong Kim*
  • Abdullah Ali*
  • Zulkifli Norbit*
  • Mubin Mokhtar
  • Ibrahim Mantali
  • Idris Abdul Karim
  • Rezal Zambery Yahya
  • Moey Kok Hong
  • Ong Kim Swee
  • Shahrin Majid
  • Yusri Che Lah
  • Mohd Ivan Yusoff
  • Shahrulnizam Mustapa
  • Azi Shahril Azmi
  • Ahmad Fauzi Saari
  • Zairo Anuar Zalani
  • Mohd Badhri Radzi
  • Amar Rohidan
  • K. Gurusamy
  • Gary Steven Robbat

Ahmad Yusof
Yusri Che Lah

Lihat juga pautan-pautan ini





No comments: