Merzagua Abderrazak (kiri), awang import yang menjadi ayam tambatan pasukan Pulau Pinang tahun 90-an. |
Semasa zaman kegemilangan Liga Malaysia (Liga-M atau M-League) iaitu pada era 1990-an, prestasi skuad kebangsaan pula berada dalam zaman kejatuhan. Pada ketika itu, Liga-M agak mewah dan amat popular apabila mempunyai syarikat rokok Dunhill sebagai penaja utama sehinggakan timbul tuduhan daripada beberapa pihak yang mendakwa para pemain tempatan lebih mengutamakan pasukan negeri masing-masing daripada mewakili pasukan kebangsaan. Ini adalah kerana bayaran yang diterima oleh mereka lebih tinggi dengan hanya bermain dalam liga berbanding beraksi bersama skuad negara.
Malangnya, zaman kegemilangan Liga-M tersebut juga turut diselubungi dengan kemelut-kemelut yang amat mendukacitakan. Antaranya seperti kes rasuah tahun 1994 yang melibatkan ramai pemain dan juga para pegawai, dan tiga tahun kemudian, skuad kebangsaan senior dibubarkan (skuad remaja 'Olimpik 2000' mengambil alih peranan skuad senior) secara terburu-buru oleh FAM setelah kekalahan yang mengejutkan apabila tewas 0-1 kepada pasukan kerdil Laos semasa Sukan SEA Jakarta 1997. Masalah disiplin para pemain yang tak kunjung sudah dan pelbagai kontroversi yang lain pula terus berlarutan sehinggalah ke masa kini.
Pasukan kebangsaan menentang Arsenal dalam perlawanan pertunjukan. (sumber gambar: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html) |
Skuad kebangsaan pada waktu itu memang sedang berada dalam zaman kejatuhan memandangkan kali terakhir skuad kebangsaan memenangi sebarang kejuaraan antarabangsa adalah pada tahun 1989 iaitu semasa kejohanan Sukan SEA di Kuala Lumpur. Pertandingan Pesta Bola Merdeka (yang merupakan salah satu pertandingan paling tua di Asia) pula tidak diberi perhatian yang serius secara berterusan, berbeza dengan tujuan asal pertandingan tersebut diadakan. Namun begitu, di sebalik zaman kejatuhan itu skuad kebangsaan masih berupaya mara ke final Piala Tiger (kini Piala AFF) pada tahun 1996 walaupun tumpas di tangan pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand.
Liga-M pada era 90-an boleh dikatakan sebagai zaman kegemilangan kerana beberapa sebab. Salah satu sebab adalah kerana pada waktu itu lebih ramai rakyat Malaysia yang menonton perlawanan Liga-M samada di stadium ataupun melalui peti televisyen berbanding perlawanan liga-liga luar negara. Pada waktu itu, pendedahan liga-liga luar negara tidaklah seluas sekarang ini sehinggalah kemunculan Internet dan terutamanya tv satelit yang dipelopori Astro yang mengakibatkan liga-liga luar seperti English Premier League (England), Serie A (Itali), Bundesliga (Jerman), Ligue 1 (Perancis), Brasileirao (Brazil), Primera Division (Argentina), Eredivisie (Belanda), dan La Liga (Sepanyol) kian mendapat sambutan. Selain itu, Liga-M semasa zaman kegemilangannya itu juga adalah lebih disukai malah lebih glamor di kalangan pemain-pemain import di kala liga-liga seperti J.League (Jepun), K-League (Korea Selatan), Chinese Super League (China), dan A-League (Australia) pun kelihatan terkebelakang. Begitulah hebatnya Liga-M pada suatu ketika dahulu sehinggakan turut dimasukkan ke dalam permainan video komputer FIFA: Road to World Cup 98 ciptaan EA Sports.
Pasukan Malaysia dan Liga-M terdapat di dalam permainan video ini. |
Pemain-pemain tempatan yang hebat adalah seperti Azman Adnan, Rusdi Suparman, Khairul Azman Mohamed, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Zami Mohd Noor, K. Sanbagamaran, Yap Wai Loon, Nazri Yunus, Ibrahim Mantali, Rizal Sukiman, Azmil Azali, Idris Abdul Karim, B. Rajinikandh, Anuar Jusoh, Wan Rohaimi Wan Ismail, Azlisham Ibrahim, Azmin Azram Abdul Aziz, Ahmad Shahrudin Rosdi, Yusri Che Lah, Ahmad Shahrul Azahar Sofian, Moey Kok Hong, Ooi Hoe Guan, Ng Kok Heng, Syamsul Saad, Roslan Hamid, Sapian Abdul Wahid, Mazlan Abdul Wahid, Ramos Sari, Ramles Sari, Bobby Pian, Mohd Ali Sapiee, Bobby Chua, Harun Laban, Andrew Laban, Abdul Ghani Malek, Adrien Jurad Chamrong, Hashim Mustapha, Radhi Md Din, Rusdee Sulong, Suharmin Yusof, Che Zambil Ahmad, Azmi Mohammad, Shamsurin Abdul Rahman, Nidzam Adzha Yusof, Lim Chan Yew, Shahrulnizam Sahat, Jalaluddin Jaafar, Azizol Kamaluddin, Mudzar Mohamad, V. Murugan, Halim Napi, Khairul Anuar Baharom, A. Geneson, Faizal Zainal, Khairil Zainal, Rezal Zambery Yahya, Mohd Farid Dewan, Efendi Abdul Malek, V. Thinagaran, G. Shanmugam, R. Suresh Kumar, Fauzi Soh, Fauzzi Kassim, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Shahrin Abdul Majid, Annuar Abu Bakar, Nazzab Hidzan, Asmawi Bakiri, Shahril Arsat, Azrul Amri Burhan, Rosdi Talib, Julius Ating, Burhan Ajui, Madzalan Emoi, dan ramai lagi.
Mereka sama-sama berentap dengan pemain-pemain import yang tidak kurang hebatnya seperti Scott Ollerenshaw, Brian Bothwell, Stephen Keshi, Fandi Ahmad, Abbas Saad, Merzagua Abderrazak, Kiatisuk Senamuang, Worawoot Srimaka, Zsolt Bucs, Vyatcheslav Melnikov, Alexander Freeman, Seidu Issifu, Alistair Edwards, dan lain-lain. Kini, kenangannya hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Duniabolasepak.blogspot.com hanya setakat mengimbau kembali kenangan tersebut.
Azman Adnan semasa beraksi bersama Selangor. |
Pemain-pemain tersebut kebanyakannya sudah pun menggantungkan but mereka dan hanya segelintir sahaja yang terus berbakti kepada sukan bolasepak melalui kejurulatihan atau sebagai pengulas sukan pula. Itulah lumrah bolasepak, para pemain akan silih berganti. Berbeza dengan keadaan para jurulatih, yang mana masih ramai yang terus menyambung kerjaya mereka sehingga bertahun-tahun lamanya. Sebab itulah nama-nama terbilang seperti M. Karathu, Irfan Bakti Abu Salim, Abdul Rahman Ibrahim, Wan Jamak Wan Hassan, Mat Zan Md Aris, Norizan Bakar, Yunus Alif, Abdul Jalil Ramli, serta beberapa nama lain masih lagi kedengaran dalam arena bolasepak negara.
Memori pahit manis era 90-an sewajarnya menjadi contoh tauladan bagi pihak pentadbiran bolasepak peringkat kebangsaan masa kini agar peningkatan serta penambahbaikan boleh dilakukan dari masa ke semasa. Pengajaran yang berguna adalah dengan mengambil iktibar daripada kesilapan masa lampau dan segala yang positif harus diberi perhatian untuk diusahakan demi masa hadapan. Sebaik-baiknya seluruh warga bolasepak perlulah memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab supaya kegemilangan boleh dicapai kembali bukan sahaja untuk Liga-M, tetapi yang lebih penting lagi adalah untuk simbol perpaduan rakyat Malaysia iaitu pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia, skuad 'Harimau Malaya'.
No comments:
Post a Comment