Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)
Showing posts with label Singapura. Show all posts
Showing posts with label Singapura. Show all posts

Thursday, October 13, 2022

Merakyatkan sukan bolasepak

Bolasepak moden di Malaysia samada di semenanjung Tanah Melayu mahupun wilayah-wilayah di pulau Borneo yakni Sabah dan Sarawak tidak bermula dengan Piala Malaya (1921), dan tidak juga bermula dengan Piala Borneo (1946). Permainan dengan undang-undang yang dipelopori oleh pihak Inggeris ini sudah mula diperkenalkan ke dalam negara secara meluas kira-kira sejak abad ke-19 lagi. Boleh rujuk buku yang bertajuk "Beyond Bicentennial: Perspectives On Malays" untuk bacaan yang lebih lanjut. Pada awal abad ke-20, komuniti Melayu Muslim serta yang lain kemudiannya telah didedahkan pula kepada pengurusan bolasepak terancang dengan pembentukan Malaya Football Association (MFA) pada tahun 1909. Malah, secara halus ia turut tersebar ke bidang pendidikan apabila penganjuran sukan bolasepak di kalangan pelajar lelaki antara sekolah-sekolah Melayu dimulakan pada tahun 1928.

HMS Malaya, kapal perang yang ditaja oleh negeri-negeri Melayu.

Permainan bola yang menggunakan kaki seakan-akan bolasepak telah pun wujud di serata dunia. Meskipun tidaklah betul-betul sama, pelbagai bangsa di Mesoamerika, China, Eropah, dan tidak ketinggalan Nusantara juga mempunyai permainannya yang tersendiri. Bagi orang Melayu, selain sepak raga jaring atau sepaktakraw, ada juga sepak raga tuju, sepak raga bulatan, malahan sepak bulu ayam pun ada. Orang Inggeris barangkali cuma mendakwa bahawa, merekalah yang membuat peraturan khusus agar permainan Eropah yang dibawa hampir ke seluruh dunia melalui penjajahan dimainkan dengan lebih teratur serta tersusun. Kononnya, cara merekalah yang paling bertamadun. Maka, sejak 26 Oktober 1863, setelah 11 wakil kelab-kelab bolasepak dari London bertemu di Freemason's Tavern di Holborn bagi membentuk Football Association (FA) untuk England, sejak itu jugalah warga dunia seolah-olahnya didesak menurut kata mereka sahaja.

Sewaktu era British Malaya yakni zaman penjajahan, Singapura menjadi pusat bercambahnya pasukan-pasukan bolasepak, antaranya seperti Straits Chinese National Football Association (1891), Tanjong Pagar Football Association (bukan Tanjong Pagar United Football Club), St. Joseph's Football Club, Darul Adab Club (1893), Darul Afiah, Darul Aman, Darul Bahar, Darul Ta'alam, Fathul Karib (1898), dan Straits National Football Association. Asalnya mungkin tiada siapa pun yang peduli tentang bolasepak yang dimainkan oleh orang Inggeris, tetapi lama-kelamaan warga tempatan semakin tertarik serta terpengaruh, boleh jadi dek penangan mata biru berambut perang kalau bukan gol-gol menarik. Jika di peringkat kebangsaan ada Piala Malaya, di peringkat negeri juga mempunyai pertandingannya masing-masing.

Perlawanan terawal di Borneo Utara (kini Sabah) adalah pada 1899 sewaktu pasukan Sandakan tewas 0-3 kepada pasukan HMS Rattler. Di Selangor, Watson Shield pernah dipertandingkan mulai tahun 1906 sebelum Liga Selangor diwujudkan. Sebelum wujudnya Liga Pulau Pinang, pertandingan paling awal juga pada tahun 1906. Negeri-negeri lain bermula lebih kurang lewat sedikit. Johor dan Negeri Sembilan pada 1922, Melaka pada 1929, Perak pada 1930, Sarawak pada 1931, Kelantan pada 1932, Pahang pada 1934, manakala Kedah pada 1937. Ini adalah sekadar perkongsian ringkas. Sekiranya mahu, boleh semak dengan persatuan-persatuan negeri yang berkenaan bagi mendapatkan maklumat sahih yang lebih tepat. Oh, alang-alang gesa juga pihak pentadbir Liga-M untuk memberikan sokongan moral kepada mangsa-mangsa kekejaman yang berlaku di Palestin terutamanya, sebagai contoh. Kalau yang di sana boleh perjuangkan isu-isu  LGBTQ+, BLM, Perang Ukraine, dan sebagainya, kenapa kita tak boleh?



Thursday, February 15, 2018

Hilangnya sebutir lagi permata - Majid Ariff

Setiap makhluk yang hidup, pasti akan mati. Begitulah kenyataan yang harus diterima walaupun dengan berat hati. Tanggal 4 Februari 2018, awal pagi Ahad, seorang lagenda bolasepak yang banyak berjasa kepada Singapura dan pernah juga berjasa kepada Malaysia iaitu saudara Majid Ariff (lahir 2 Jun 1937) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 80 tahun.

Perginya seorang lagenda, Majid Ariff.
(kredit: govsingapore)

Malaysia dan Singapura mempunyai terlalu banyak sejarah serta sentimen yang dikongsi bersama. Sekadar ingin disebutkan di sini, seniman agung negara kelahiran Pulau Pinang yang bernama Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih (lahir 1929) iaitu Allahyarham P. Ramlee telah menghasilkan banyak karya seni di Singapura di samping para pelakon terkenal Singapura antaranya Allahyarham Shariff Dol Asnawi (Sarip Dol, lahir 1926), Allahyarham Shamsuddin Dali (S. Shamsuddin, lahir 1929), Allahyarhamah Siti Mariam Ismail (Mariani, lahir 1933), Zaiton Abdullah (Zaiton Abdul Hamid, lahir 1937), Hashimah Yon (Hashimah Mohd Leon, lahir 1940), Allahyarhamah Roseyatimah (Rosnah Jasni, lahir 1943), serta beberapa lagi.

Bahkan isteri perkahwinan ketiga P. Ramlee, biduanita negara Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail (lahir 1934) atau Allahyarhamah Saloma yang merupakan seorang pelakon serta penyanyi tersohor juga adalah anak kelahiran Singapura. Selain itu, pada zaman kontemporari pula kita mengenal nama-nama seperti Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mohamad Nasir Mohamad (M. Nasir), Datuk Ramli Sarip (Papa Rock), Dato' Aaron Mustapha Aziz (Aaron Aziz), Dato' Mohamed Hadi Putera Halim (Ady Putra), Maizurah Hamzah, Atikah Suhaime, Hannah Adlina Blackburne Birch (Hannah Delisha), dan lain-lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Individu-individu ini secara langsung dan tidak langsung adalah penyambung yang mengekalkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura, Singapura dengan Malaysia.

Pemain tengah berkaliber
menjadi jurulatih yang disegani.
(gambar: beritaharian.sg)

Begitu jugalah hal keadaannya dengan dunia bolasepak, terdapat beberapa tokoh yang memainkan peranan mereka untuk memberikan pelbagai sumbangan tertentu dalam menjalankan tanggungjawab besar terhadap bangsa dan negara. Sebelum munculnya Raja Bola yang dikenali seluruh Malaysia iaitu Abdul Ghani Minhat, telah pun ada Raja Bola yang sebelumnya yakni siapa lagi kalau bukan Dol Fatah (turut dieja Dolfattah). Anak watan Singapura ini sezaman dengan dua pemain yang tidak kurang hebatnya iaitu John Chia Keng Hock, juga dari Singapura, dan A.L. Henry (bapa saudara Edwin Dutton) dari Selangor. Pengaruh Dol Fatah sekitar tahun 1930an mencapai populariti se-Malaya dan antara hasil yang paling berjaya dikecapinya adalah menjumpai serta membimbing seorang pemain berbakat besar yang kemudiannya mendapat jolokan "Harimau Malaya" yang pertama. Siapakah yang digelar Harimau Malaya tersebut? Tidak lain tidak bukan, Dollah Don ialah orangnya.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pertalian Malaysia dengan Singapura diteruskan lagi oleh Choo Seng Quee (Uncle Choo) yang merupakan jurulatih kebangsaan Malaya dan Malaysia antara tahun 1958 hingga 1964. Selain Majid Ariff, pemain-pemain yang pernah menyarung jersi belang kuning-hitam adalah Awang Bakar (penyerang, penampilan sulung 1950) dan Rahim Omar (sayap kiri, penampilan sulung 1957). Malah, Arthur Koh (penampilan sulung 1959) yang masyhur sebagai gandingan tiga serangkai bahagian serangan pasukan kebangsaan Harimau Malaya bersama-sama Abdul Ghani Minhat dan Robert Choe suatu ketika dahulu itu pun asalnya bermain dengan Singapura terlebih dahulu.

Majid mewakili Malaya dalam
Pesta Bola Merdeka pada 1961.
(kredit:
honouryourpast.blogspot.my)

Dalam mengenang kembali kehidupan seorang lagenda yang pernah dipanggil "The Stallion" sewaktu berada di Hong Kong, Majid Ariff sememangnya salah satu contoh bagi frasa satu dalam sejuta. Ternyata sukar untuk melihat lagi insan sepertinya. Walaupun setelah menggantung kasut butnya, beliau tetap mahu berkhidmat kepada masyarakat dengan melatih begitu ramai sekali anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam sukan bolasepak. Salah seorang anak didik yang digilapnya adalah Fandi Ahmad, satu lagi pemain lagenda bolasepak Singapura.

Peminat-peminat Liga Malaysia (Liga-M), terutamanya yang membabitkan pertandingan berprestij Piala Malaysia barangkali sedikit sebanyak sedang merindui kelibat pasukan dari Singapura yang sudah keluar masuk beberapa kali dan kali terakhir keluar (sebagai LionsXII) adalah selepas berakhirnya musim 2015. Mujurlah masih ada sebilangan kecil pemain antarabangsa Singapura yang beraksi dalam Liga-M sebagai pemain-pemain import, mungkin sebagai pengubat rindu selepas berlalunya era Dato' Mokhtar Dahari dan Fandi Ahmad yang menjadi simbol bagi negara masing-masing.

Kehalusan seni dalam bolasepak yang dipamerkan turut mendapat
tempiasnya kepada Fandi Ahmad, penyambung legasi beliau.
(gambar: beritaharian.sg)

Meskipun Malaysia dan Singapura telah bercerai secara politik semenjak tahun 1965 namun dari sudut geografi serta tali persaudaraan masih lagi dekat di hati. Jika tempoh singkat lebih kurang selama dua tahun Singapura menyertai Malaya (Tanah Melayu), Sabah (Borneo Utara), dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia masih kekal utuh dalam ingatan, apatah lagi memori bolasepak yang telah terjalin lebih awal daripada itu. Terima kasih kepada bintang kelahiran Singapura ini kerana sudi berkongsi anugerah Tuhan yakni bakatnya walaupun buat seketika ketika masih hidup dan pemergiannya membuatkan kami turut berkongsi kesedihan. Salam takziah khususnya buat keluarga serta rakan-rakannya yang terdekat dan semoga Allahyarham Majid Ariff dicucuri rahmatNya.


Friday, December 4, 2015

Selamat tinggal dan jumpa lagi, Singapura.

Malaysia dan Singapura, benci tapi cinta.

Inilah yang dikatakan ironi. Hampir 21 tahun yang lalu iaitu pada 17 Disember 1994, Singapura telah menumpaskan pasukan Pahang dengan jaringan 4-0 di Stadium Shah Alam untuk menjulang piala berprestij Piala Malaysia buat kali ke-24 dan juga yang terakhir. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi mereka lebih kurang 21 tahun kemudian apabila pasukan wakil Singapura yakni LionsXII kali ini tewas kepada juara bertahan Pahang 4-3 secara agregat walaupun menang 2 gol tanpa balas dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir di tempat sendiri, Stadium Jalan Besar pada 28 November 2015 yang lalu. Dengan tersingkirnya pasukan ini daripada Piala Malaysia edisi ke-89 tahun 2015, maka berakhir jugalah penyertaan Singapura dalam bolasepak Malaysia setelah perjanjian persefahaman antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) tidak lagi disambung bagi musim hadapan.

Dari sudut sejarah Piala Malaysia, Singapura merupakan salah satu pasukan yang terawal menyertai pertandingan yang mula diasaskan pada tahun 1921 ini. Apabila Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak bergabung membentuk gagasan Malaysia pada 16 September 1963, Singapura masih menyertai pertandingan tersebut walaupun menjadi sebuah negara yang asing dua tahun kemudian pada 9 Ogos 1965. Hanya beberapa kali Singapura tidak terlibat atas sebab-sebab tertentu yakni dari tahun 1968 hingga 1969, 1982 hingga 1984, dan 1995 hingga 2011. Adakah Singapura akan kembali lagi ke arena bolasepak Malaysia pada masa yang akan datang? Entahlah, nampaknya mungkin tidak lagi, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini.

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang jua.

Biar pun terdapat berbagai reaksi tentang perkembangan terbaru ini, ramai pihak terutamanya di Malaysia menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menyeberangi Tambak Johor untuk perjalanan yang perlu dibayar dengan harga yang sangat tinggi. Mereka menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang tanggungan kos yang semakin membebankan akibat kejatuhan mendadak nilai wang Ringgit Malaysia sejak kebelakangan ini. Selain itu, pemain-pemain dari Malaysia yang kurang gemar bermain di atas padang rumput tiruan juga nampaknya bertambah lega dan redha sedangkan pemain-pemain dari Singapura sebaliknya tidak merasakan yang serupa. Kalau diperhatikan, pasukan LionsXII dan juga para penyokongnya kelihatan amat teruja dapat mengimbau kembali kenangan lama apabila dapat berentap dengan pasukan-pasukan seteru lama mereka. Malah, mungkin ada di antara mereka yang sampai mengidamkan kejayaan yang boleh mengatasi rekod cemerlang pasukan Selangor sebagai juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali. Impian seperti ini sekiranya ada, tidaklah dianggap angan-angan Mat Jenin sebelum ini, lebih-lebih lagi Singapuralah satu-satunya pasukan terdekat yang mampu memberikan cabaran serius.

Walau bagaimanapun, di sebalik berita yang kurang enak di Malaysia mengenai pembubaran pasukan Harimau Muda, Singapura pula sudah mula memandang agak jauh ke hadapan. Sekiranya Liga Singapura (S.League) sebelum ini lebih banyak terdedah sebagai suatu bentuk pertaruhan berbanding permainan sukan, kini mereka sedang mengorak langkah untuk meningkatkan serta mengukuhkan jenamanya. Lebih dahsyat lagi, Singapura sudah pun bercita-cita untuk mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi. Liga Super ASEAN (AFF Super League) yang masih menantikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dijalankan pada tahun 2016 adalah pentas baru yang mana telah dicadangkan bahawa pemenangnya akan terus layak ke Liga Juara-juara AFC tanpa melalui Piala AFC. Jika Hariss Harun yang mewakili kelab Johor Darul Ta'zim FC menjadi pemain Singapura yang pertama memenangi pingat johan Piala AFC, maka tunggu sahajalah nanti kelibat pemain-pemain baru dari Singapura yang suatu hari kelak mampu menempa nama sebagai lagenda baru Singapura. Sudah pasti banyak yang dipelajari oleh Singapura daripada Malaysia, jadi terletak di tangan Malaysia pula untuk mempelajari sesuatu daripada Singapura.

Piala Malaysia pernah menjadi gelanggang terciptanya sejarah
bagi pemain lagenda Singapura, Fandi Ahmad.
(gambar: bazookapenaka.my)

Selamat tinggal Singapura. Semoga kita berjumpa lagi pada lain kali. Kalau bukan di Liga-M (M-League) atau Piala Malaysia, jumpa sahaja di pentas antarabangsa.

#PialaMalaysia #FandiAhmad #MajulahSingapura


Friday, July 19, 2013

Ke seberang Tambak Johor

Pasukan LionsXII menjulang piala juara Liga Super Malaysia 2013.
(sumber gambar: AsiaOne)

Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan LionsXII yang berjaya merangkul kejuaraan Malaysian Super League (MSL) bagi tahun 2013 yang baru sahaja melabuhkan tirainya baru-baru ini. Syabas kepada anak-anak buah V. Sundramoorthy terutama sekali apabila rata-rata pemainnya berumur 23 tahun ke bawah kecuali beberapa orang pemain sahaja. Pencapaian ini sudah tentu membanggakan warga Singapura apabila para pemain mereka pulang menyeberangi Selat Tebrau dengan satu lagi kejayaan. Rekod pasukan ini yang tidak pernah kalah (menang 10 dan seri 1) di kubu kuat mereka iaitu Stadium Jalan Besar dalam perjalanan untuk muncul juara juga boleh dikatakan sebagai mengkagumkan, lebih-lebih lagi apabila kejayaan skuad negara mereka meraih Piala AFF 2012 hujung tahun lalu masih lagi segar dalam ingatan. Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa padang sintetik (rumput tiruan) di Stadium Jalan Besar merupakan kelebihan besar buat LionsXII, tiada alasan bagi yang tewas. Yang menang tetap menang. Sekiranya pasukan-pasukan lain belum mengatur strategi dan taktik-taktik baru, maka sudah pasti juara baru Liga-M ini tidak teragak-agak untuk menambah lagi gelaran kejuaraan mereka dalam masa yang terdekat.

Jika dilihat dengan teliti, LionsXII sememangnya mempunyai pemain-pemain yang sangat bagus hampir di setiap posisi. Majoriti pemain di dalam pasukan ini adalah pemain kebangsaan Singapura. Lebih menarik lagi, pasukan bawah-23 Singapura yang dikenali sebagai Courts Young Lions (yang beraksi di dalam liga tempatan mereka iaitu S-League) turut menghasilkan pemain-pemain muda yang berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan LionsXII. Dengan adanya dua pasukan (LionsXII dan Courts Young Lions) dalam dua liga yang berbeza, ternyata lebih ramai pemain muda Singapura yang boleh diberikan peluang untuk mengasah bakat serta bermain dengan lebih kerap pada tahap yang tertinggi. Seterusnya, kualiti para pemain yang bakal dihasilkan secara keseluruhannya membantu pula untuk membentuk skuad negara yang mantap. Maka, tidak mustahil sekiranya pasukan yang namanya diberi sempena menghargai para penyokong mereka ini tidak hanya menetapkan sasaran setakat saingan Piala Malaysia sahaja malah mungkin sudah mula mengalihkan pandangan ke arah yang lebih jauh lagi.

LionsXII di Liga-M &
Courts Young Lions di S-League.

LionsXII juga dibentuk sebagai persediaan mereka untuk menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar pada Disember ini. Di samping dapat bermain bersama-sama para pemain senior yang berpengalaman serta boleh memberi tunjuk ajar, pemain-pemain muda mereka juga sering diberi kesempatan dan ruang yang agak luas hinggakan ilmu dan kemahiran mereka terus-menerus meningkat dengan baik. Barisan jurulatih mereka jarang memaksa pemain-pemain muda untuk mengambil tanggungjawab yang belum mampu dipikul, dan tidak pula diletakkan harapan yang terlalu tinggi supaya perkembangan pemain-pemain tidak terbantut separuh jalan. Hanya apabila masa yang sesuai telah tiba, barulah pemain muda yang bersedia akan dibawa ke hadapan. Beginilah caranya mereka melahirkan bintang-bintang bolasepak masa kini mereka dengan berkesan. Jika sebelum ini proses naturalisasi para pemain luar secara besar-besaran yang menjadi pilihan bagi kesan jangka masa pendek, kini mereka sudah pun menggunakan anak-anak muda tempatan untuk mendapatkan kejayaan bagi satu jangka masa yang lebih panjang. Selepas ini, tiada lagi kedengaran nama pemain-pemain naturalisasi yang berusia seperti Qiu Li (China), Shi Jiayi (China), Mustafic Fahrudin (Serbia), Aleksander Duric (Bosnia), Daniel Bennet (England), mahupun Agu Casmir (Nigeria) yang akan dijadikan sandaran utama Singapura untuk mendapatkan kejayaan.

Pada masa yang sama, Singapura tidak cepat mendabik dada dan sentiasa berfikiran realistik. Di sebalik keyakinan mereka terhadap pemain-pemain tempatan yang sedia ada dan masih lagi muda, dalam diam-diam mereka turut mempunyai pasukan pelapis yang amat berpotensi tinggi. Sebagai kesinambungan kepada pemain-pemain hebat yang terdahulu seperti Lee Kok Seng, Quah Kim Song, Robert Sim, R. Suriamurthi, Dollah Kassim, Malek Awab, Aide Iskandar, Indra Sahdan Daud, Noh Alam Shah, dan Lionel Lewis, tidaklah terlalu melampau untuk mengandaikan bahawa Singapura mampu melahirkan seorang lagi lagenda seperti Fandi Ahmad tidak lama lagi. Walaupun Shahril Ishak masih mengetuai pasukan kebangsaannya pada waktu ini, beliau sudah pun mempunyai seorang bakal pengganti muda yang dianggap cukup berkaliber. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi, tugas dan tanggungjawab yang sedang digalasnya itu akan diambil alih oleh pemain remaja sensasi Singapura, Adam Swandi. Adam Swandi yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama kelab Perancis, FC Metz pada awal tahun ini juga cukup bertuah kerana mempunyai rakan-rakan seperjuangan yang dijangka mampu membarisi kesebelasan utama pasukan kebangsaan Singapura pada masa hadapan.

Adam Swandi: Permata baru Singapura.
Irfan Fandi: Anak sulung lagenda bolasepak Singapura, Fandi Ahmad.

Selain daripada Adam Swandi, para peminat bolasepak di Malaysia dan juga negara-negara Asia Tenggara yang lain akan mula mengenali nama-nama seperti Shahfiq Ghani, Safirul Sulaiman, Anumanthan Mohan Kumar, Jonathan Tan, Faris Ramli, Dhukilan Jeevamani, Delwinder Singh, Shakir Hamzah, Al-Qaasimy Rahman, Fashah Rosedin Iskandar, Irfan Fandi, dan Ikhsan Fandi. Kemungkinan besar mereka akan menjadi harapan rakyat Singapura untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 yang bakal berlangsung di negara republik tersebut. Sungguh pun nama-nama ini boleh jadi tidak tersenarai dalam skuad negara mereka nanti, tentunya Singapura kurang gusar kerana konsep pembangunan akar umbi mereka tidak mementingkan generasi tertentu tetapi lebih kepada menggunakan sebanyak mana bakat yang ada tanpa mengira umur. Pembangunan yang lebih menyeluruh inilah menjadi kunci rahsia kejayaan negara Singapura yang hanya mempunyai lebih kurang 5 juta penduduk sahaja. Sebagai contoh, Singapura berjaya mencipta rekod sebagai negara pertama yang memenangi kejohanan bolasepak ASEAN sebanyak 4 kali dalam tempoh 16 tahun semenjak ia mula dipertandingkan. Sejarah telah membuktikan bahawa Singapura sebagai negara yang kecil juga mampu melakar kejayaan yang besar. Dengan izin Tuhan jua, tiada apa yang mustahil.

Pasukan Singapura tanpa pemain-pemain naturalisasi pun sudah cukup gah.

Menjelang Piala AFF 2014 (edisi ke-10) yang bakal tiba pada tahun hadapan, pemain-pemain tonggak dari Singapura seperti Shahril Ishak (perancang utama dan ketua pasukan), Hariss Harun (gelandang), Baihakki Khaizan (bek tengah), dan Izwan Mahbud (penjaga gawang) semestinya bersemangat mahu mempertahankan kejuaraan mereka. Begitu juga dengan rakan-rakan senegara mereka seperti Fazrul Nawaz (penyerang), Khairul Amri (penyerang), Isa Halim (pemain tengah), Safuwan Baharudin (pertahanan tengah), Shaiful Esah (bek kiri), Yasir Yanapi (sayap kanan), Juma'at Jantan (bek kanan), Gabriel Quak Jun Yi (sayap kiri), Madhu Mohana (bek kanan), Hassan Sunny (penjaga gol), Shahdan Sulaiman (perancang tengah), Muhammad Ridhuan (pemain versatil), Ruzaini Zainal* (pemain tengah), Hyrulnizam Juma'at (penjaga gol), Raihan Rahman (bek kanan/sayap kanan), Fazli Ayob (sayap kiri), Khairul Nizam (penyerang), Sufian Anuar (pemain tengah), Irwan Shah (bek kiri), Nazrul Nazari (pemain tengah), Hafiz Nor (sayap kanan), dan mungkin juga beberapa pemain yang lain, apatah lagi apabila Singapura akan menjadi tuan rumah (bersama Vietnam) dalam kejohanan tersebut. Mudah-mudahan dengan saingan hebat yang diberikan oleh Singapura mampu meningkatkan lagi tahap bolasepak di Asia dan Asia Tenggara khususnya. Sekiranya pasukan-pasukan lain (termasuklah Malaysia) sedia bersaing dengan lebih sihat, perkara ini hanya boleh menguntungkan semua pihak. Tidak ketinggalan juga, selamat maju jaya diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia selepas bulan puasa ini. Semoga pasukan yang terbaik menang.

Ramadan Mubarak. Ramadan Kareem.