Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, January 19, 2018

Kelab-kelab bolasepak Malaysia

Sejarah bolasepak Malaysia di peringkat domestik secara lazimnya didominasi oleh pasukan-pasukan persatuan negeri. Hanya ada beberapa kelab (bukan persatuan negeri) sahaja yang mampu mencatat nama dalam lembaran sejarah (antaranya Felda United FC, Kuala Muda Naza FC, PKNS FC, dan Sime Darby FC) manakala terlalu banyak sekali pasukan-pasukan kelab yang kian hilang dari pandangan, samada telah dibubarkan (seperti Public Bank FC) atau mungkin sekarang ini hanya sekadar beraksi dalam liga-liga peringkat negeri.

Pingat yang dimiliki oleh Chow Kwai Lam setelah
pasukan Selangor FA diangkat sebagai naib juara
dalam Kejohanan Kelab Asia tahun 1967.
(gambar: thestar.com.my)

Keadaan suram yang berpanjangan bagi pasukan-pasukan bukan negeri amnya terus-menerus berlaku sehinggalah munculnya kelab Johor Darul Ta'zim atau nama glamornya JDT (dahulu Johor FC) yang benar-benar berjaya merevolusikan Liga-M terutamanya setelah memenangi liga utama sebanyak 4 kali berturut-turut (setakat ini) di samping tampil sebagai kelab kedua (selepas Selangor MPPJ FC) yang menjuarai piala berprestij Piala Malaysia pada penghujung tahun 2017 yang lalu. Pencapaian tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, hanya dengan sistem pentadbiran yang cekap serta pengurusan kewangan yang mampan, barulah dokongan daripada para penyokong kelihatan semakin ketara. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dan sayangnya adalah apabila skuad induk yang asal iaitu Johor FA telah diturunkan taraf (menjadi pasukan penyuap atau pengumpan) serta kini hanya dikenali sebagai JDT II.

Meskipun mempunyai azam dan semangat yang membara, tidak bersungguh-sungguh dalam berusaha yakni ala kadar sahaja sudah pasti tidak memadai. Tanpa kerja keras serta pemikiran yang bijak, sememangnya amat sukar sekali untuk kelab-kelab lain mengikuti jejak langkah JDT. Oleh yang demikian, sebelum warga bolasepak tidak lagi ingat atau melupakan terus tentang keberadaan kelab-kelab bolasepak yang pernah cuba bersaing, mahupun yang sedang bergelut dalam arena bolasepak tempatan, maka DBS (duniabolasepak.blogspot.my) ingin menyenaraikan beberapa nama kelab pilihan bolasepak tanahair (tanpa mengikut turutan). Di sebalik bermacam-macam permasalahan yang timbul, kewujudan kelab-kelab bolasepak ini sebenarnya merupakan bahagian yang agak penting juga dalam liku-liku perjalanan untuk membangunkan bolasepak negara.


1.  PLUS FC
Highway Warriors

Kuala Lumpur Projek Lebuhraya Usahasama Berhad FC dibentuk pada tahun 2000 dan pencapaian terbaiknya adalah menjadi naib juara Liga Premier Malaysia tahun 2008. Pernah bertanding dalam Liga Super Malaysia dan juga Piala Malaysia, PLUS FC menarik diri dari liga utama pada tahun 2011.


2. Jenderata FC (UPB-MyTeam FC)
UPB FC
The Revolution

Bermula sebagai Jenderata FC pada tahun 1953, Perak United Plantations Berhad FC kemudiannya telah bergabung dengan pasukan daripada sebuah rancangan televisyen realiti 'MyTeam' untuk menjadi UPB-MyTeam FC pada tahun 2006, sebelum muncul naib juara Liga Premier tahun 2007 dan pembubarannya pada tahun 2009. Sebelum penggabungan tersebut, UPB FC turut menjadi naib juara Piala FAM pada tahun 2004.


3. Betaria FC
Young Deers

Ditubuhkan pada tahun 2003, Negeri Sembilan Betaria FC telah pun dibubarkan pada tahun 2014. Pencapaian mereka yang paling diingati adalah ketika skuad belia bawah-23 tahun NS Betaria FC tewas kepada skuad Perak untuk menduduki tempat kedua selepas perlawanan akhir Piala Presiden tahun 2012.


4. PBAPP FC
The Waterboys

Selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC ditubuhkan pada tahun 2012, PBAPP FC dibubarkan hanya beberapa tahun setelah itu yakni pada 2016 tetapi sempat juga menjadi naib juara Liga FAM pada tahun 2013.


5. SDM Kepala Batas FC
Skuad Maisara

Diwujudkan pada tahun 2007, Sinar Dimaja Mai Sara Navy Kepala Batas FC berjaya meraih tempat kedua dalam Liga FAM tahun 2010 sebelum dibubarkan pada tahun 2012.


6. AirAsia Allstars FC (Petaling Jaya Rangers FC)
Red Jets
PJ Rangers FC
Rangers

AirAsia Allstars FC bermula pada tahun 2011, kemudian dijenamakan semula sebagai Petaling Jaya Rangers FC pada tahun  2016. Penaungnya adalah Tan Sri Anthony Francis "Tony" Fernandes, yang juga merupakan pengerusi bersama sebuah kelab Inggeris iaitu Queens Park Rangers (QPR) FC.


7. Cebagoo FC
Cebagoo Star

Diasaskan pada tahun 1991 dengan namanya bersempena Kampung Kebagu, Sepanggar di Kota Kinabalu, Sabah. Membuat penampilan pertama dalam Liga FAM pada tahun 2013, Cebagoo FC menarik diri daripada liga tersebut selepas berakhirnya musim 2014 untuk menumpukan kepada pembangunan bolasepak belia dan juga akar umbi.


8. Pos FC (DRB-Hicom FC)
Posmen
The Great Bees
D'gReatBees

Diasaskan sebagai Kuala Lumpur Pos Malaysia FC pada tahun 2008 dan juara Liga FAM tahun 2009, namanya ditukar kepada Diversified Resources Berhad-The Heavy Industries Corporation of Malaysia Berhad FC mulai tahun 2014. Walau bagaimanapun, DRB-HICOM FC telah menarik diri daripada bertanding dalam Liga Premier pada tahun 2017. Gelanggang yang digunakan dahulu adalah Stadium PROTON, Proton City, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan dengan kapasiti penonton sebanyak 3,000 orang.


9. Felcra FC
The Consolidators

Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority FC ditubuhkan pada tahun 2012 manakala penampilan sulung mereka dalam Liga FAM adalah pada tahun 2015. Selepas pasukan Sime Darby mengumumkan penarikan diri dari Liga Perdana, FELCRA FC telah dijemput bagi menggantikan tempat tersebut bagi musim 2018.


10. TM FC
TM

Melaka Telekom Malaysia FC diasaskan pada tahun 1994, namun telah dibubarkan pada 22 September 2007 dengan alasan untuk meneruskan komitmen TM sebagai salah satu penaja besar Liga-M. Kelab ini pernah menjuarai Piala FAM sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1996 dan juga 1998.

11. MBJB FC
The Citizen

Majlis Bandaraya Johor Bahru FC ditubuhkan pada tahun 2007. Berjaya mendapat kedudukan naib juara sebanyak dua kali dalam Liga FAM iaitu pada tahun 2008 dan 2011, MBJB FC akan beraksi dalam liga negeri mulai tahun 2013 selepas berlakunya penstrukturan semula bolasepak negeri Johor.


12. Megah Murni FC
MMFC

Mula beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2015, Megah Murni FC merupakan sebuah kelab yang berpangkalan di Serdang, Selangor.


13. MOF FC
The Money

Pada tahun 2014, Ministry of Finance FC telah ditubuhkan dan pasukan ini diuruskan oleh kelab sukan dan rekreasi Kementerian Kewangan Malaysia, iaitu Kelab Khazanah Perbendaharaan.


14. Real Mulia FC
The Kings

Tahun penubuhan Real Mulia FC adalah pada 2014 dan kelab ini pernah beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2015. Presidennya ialah Yang Amat Mulia Tengku Abdul Fahd Mu'adzam Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in, yang turut bermain mewakili RMFC.


15. SPA FC
The Wild Cats

Mula dibentuk pada tahun 2005, Kuala Lumpur Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Putrajaya FC merupakan juara Liga FAM pada tahun 2012.


16. MP Muar FC
Skuad Maharani

Seperti mana MBJB FC, Majlis Perbandaran Muar FC yang ditubuhkan pada tahun 2008 turut menerima nasib yang sama. Diturunkan ke liga negeri apabila halatuju yang baru membawa kepada penstrukturan semula bolasepak Johor selepas berakhirnya musim 2012.


17. MPKB-BRI U-BeS FC (Kelantan United FC)
MPKB
Sang Kijang Hijau
Kijang Emas
"Segheii Kelate Segheii"

Walaupun dibentuk semula pada tahun 2016, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan FC sebenarnya telah pun mempunyai sejarah sejak tahun 1983 sebagai MPKB FC yang terhenti di pertengahan jalan. Dikenali sebagai Kelantan United FC sejak 2019, kini mengambil nama Kelantan Darul Naim FC mulai 2024.


18. Penjara FC
Prisons

Sudah terlibat dalam kancah bolasepak negara sejak tahun 1952 lagi, kelab yang mewakili Jabatan Penjara Malaysia ini pernah memenangi Piala FAM sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1970, 1971, dan 1973.


19. PKNP FC (Perak II)
PKNP

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC secara rasminya ditubuhkan pada tahun 2015, namun sejarah pasukan bolasepaknya telah pun bermula sejak 1978 lagi. Pernah muncul sebagai naib juara Piala FAM pada 1993 dan mengulangi pencapaian tersebut pada 2016. (Terkini: Perak II dibubarkan pada September 2021)


20. Rapid KL FC
The Transporters

Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur FC mula ditubuhkan pada tahun 2006, namun rapidKL FC mengundur diri daripada menyertai Liga FAM pada tahun 2012 akibat masalah kewangan.


21. SAMB FC
The Blue Warriors

Syarikat Air Melaka Berhad FC yang diasaskan pada tahun 2010 ini malangnya telah membuat pengumuman menyatakan hasrat untuk tidak menyertai Piala FAM bagi musim 2018.


22. Shahzan Muda SC
The Dolphins

Pahang Kuantan Port Shahzan Muda FC yang ditubuhkan pada tahun 2005 ini kemudiannya dikenali sebagai Shahzan Muda SC. Rekod terbaik yang pernah dicapai adalah menjadi naib juara Piala FAM (Liga FAM) pada tahun 2005 dan 2012.


23. T-Team FC (Terengganu FC II)
The Titans

Pemenang Liga FAM tahun 2008 dan naib johan Liga Premier tahun 2009 iaitu Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) T-Team atau ringkasnya T-Team FC mula dibentuk pada tahun 2006. Selepas pengakhiran musim 2017, sebagai langkah penyusunan semula yang hampir serupa (tetapi sedikit berbeza) dengan bolasepak negeri Johor, T-Team Titans kini digelar sebagai Terengganu FC II (TFC II) setelah diserap menjadi pasukan pengumpan bagi Terengganu FC I (dahulu Terengganu FA).


24. Sungai Ara FC
Jungle Cats

Kelab dari negeri Pulau Pinang ini mula menyertai Liga FAM pada tahun 2014, namun Sungai Ara FC telah menarik diri bagi musim 2017 berikutan tiada tajaan yang diterima. Yang menariknya, bekas pemain lagenda buat pasukan negeri Pulau Pinang yang berasal dari Maghribi iaitu Merzagua Abderrazak turut pernah membimbing SAFC sebagai jurulatih.


25. YBU FC
YBU

Perak Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan FC mula beraksi dalam Liga FAM pada tahun 2012. Sayangnya, selepas menduduki tempat terakhir dalam musim 2014, YBU FC menarik diri bagi musim 2015.


26. DYS FC
DYS

Musim pertama Diamond Your System FC dari Kota Kinabalu, Sabah dalam Liga FAM pada tahun 2016 juga menjadi musim terakhir bagi mereka apabila DYS FC mengundur diri sebelum musim 2017 bermula.


27. Melodi Jaya SC
Melodi Jaya

Telah diasaskan sejak tahun 2006, Melodi Jaya Sports Club turut termasuk dalam senarai panjang kelab yang menarik diri dari Liga FAM ekoran menghadapi masalah kewangan.


28. UiTM FC (UiTM United)
The Lion Troops

Selepas penubuhannya pada tahun 2008, Universiti Teknologi Majlis Amanah Rakyat (MARA) FC yang bermain di Stadium UiTM (berkapasiti 10,000 di Shah Alam, Selangor) sebagai gelanggang utama mula bertanding dalam Liga FAM pada tahun 2009. Dinaikkan ke Liga Premier semenjak tahun 2013, UiTM berjaya layak ke Piala Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 2017 selain menjuarai Liga Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Menteri Pengajian Tinggi edisi sulung pada tahun 2010.


29. UKM FC
The Varsity Boys

Universiti Kebangsaan Malaysia FC diasaskan pada tahun 2013 dan gelanggang utamanya adalah Stadium UKM (kapasitinya 500) di Bangi, Selangor. UKM FC merupakan pasukan yang ditewaskan oleh UiTM FC dalam edisi pertama Liga IPT (dengan jaringan 0-3 dalam perlawanan akhir). Mereka juga akan ke Liga Premier bagi musim 2018 selepas muncul naib johan Piala FAM pada tahun 2017.


30. USM FC
University Tigers

Kelab Bolasepak Staf Universiti Sains Malaysia (KBSUSM) atau dipanggil juga USM Staff FC mula bertapak pada tahun 2008 dengan Stadium Olahraga USM (kapasiti penonton sebanyak 800) di Gelugor, Pulau Pinang sebagai gelanggang utamanya. Selepas dinaikkan ke Liga Premier dari Liga FAM pada tahun 2010, USM FC akhirnya mengundur diri selepas tamat musim 2012 berikutan masalah kewangan.


No comments: