Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, December 7, 2017

Keunikan bolasepak Malaysia

Bolasepak Malaysia adalah unik. Walaupun undang-undang permainannya secara asasnya mengikut piawai yang sama dengan undang-undang antarabangsa namun budaya bolasepaknya adalah berbeza. Mungkin sebab itulah bekas penyerang yang pernah menyarung jersi England sebanyak 7 kali iaitu Tony Cottee pun tidak mampu bertahan lama (khidmat kurang daripada setahun) meskipun beraksi bersama pasukan yang terkuat serta paling dicemburui dalam Liga-M pada masa itu (sekitar tahun 1997) yakni pasukan The Red Giants, Selangor FA.

Kejayaan sulung dalam
kerjaya peribadi Cottee adalah
Piala FA di Malaysia dan
bukannya FA Cup di England

Yang terbaharu, pada hari Rabu, 6 Disember 2017, jurulatih berkaliber yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan untuk Zamalek SC di Mesir dan juga FC Seoul di Republik Korea malahan sebelum itu Nelo Vingada turut membawa negara Arab Saudi menjuarai Piala Asia tahun 1996 pula telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai jurulatih pasukan negara, skuad Harimau Malaya hanya selepas 7 perlawanan (seri sekali dan kalah 6 kali). Sudah sememangnya bukan satu tugas yang mudah untuk mencipta kejayaan dalam sukan bolasepak di Malaysia, samada di peringkat lokal mahupun nasional, apatah lagi jika ke tahap antarabangsa. Dalam sejarah, hanya segelintir sahaja yang pernah merasai betapa manisnya apabila dapat melakar sesebuah kejayaan.

Itu pun, di sebalik beberapa cebis kejayaan yang pernah dirangkul sebelum ini, masih terlalu banyak yang boleh dan harus dicapai bagi pihak seluruh rakyat Malaysia. Jika sebelum ini para peminat serta penyokong bolasepak Malaysia hanya berbangga apabila negara muncul sebagai johan dalam pertandingan bolasepak Sukan SEA, Pesta Bola Merdeka, dan Kejohanan Bolasepak (Bawah-18) Sekolah-sekolah Asia sahaja, mulai dekad kedua dalam alaf baru yakni pada tahun 2010 barulah rakyat Malaysia mengenali fasa lain dalam kejayaan apabila meraih kejuaraan Piala AFF yang pertama dan satu-satunya buat masa ini. Kemudian, sedikit demi sedikit kejayaan baru mula ditempa apabila Malaysia muncul juara Kejohanan Bawah-15 AFF pada tahun 2013 di samping Kejohanan Bolasepak Pantai AFF tahun 2014 serta Bolasepak 5 Sebelah Sukan Para ASEAN tahun 2015.

Faiz Subri diiktiraf sehingga dianugerahkan FIFA Puskás Award 2016
namun pencapaian yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana
pemain Malaysia itu belum membolehkannya mewakili negara
(gambar: thesundaily.my)

Sekadar mengingatkan, walaupun Malaysia pernah bermain dalam Sukan Olimpik tahun 1972 (menang sekali dan tewas 2 kali), tetapi peluang tersebut masih tidak menghasilkan sebarang pingat. Tentang Sukan Olimpik tahun 1980, lagi malaslah hendak cerita panjang. Cuba fikir, adakah selepas ini Malaysia hanya akan berpuas hati sekadar layak sekali lagi ke Sukan Olimpik dan tidak pandang pun pada pingat? Sebab itulah, selain daripada memastikan Piala AFF terus menjadi sandaran, Piala Asia AFC juga sudah tidak cukup setakat layak sahaja malah perlu mara lebih jauh lagi daripada pencapaian yang dicapai pada 1976, 1980, dan 2007. Apabila tidak layak ke Piala Asia yang sudah dikembangkan kepada 24 pasukan daripada dahulu hanya 16 pasukan maka itu bukannya tidak bernasib baik tetapi merupakan kegagalan akibat kelemahan yang belum diperbaiki.

Sejarah telah pun membuktikan bahawa nama Malaysia (atau wakilnya) sebenarnya tidaklah terlalu asing, yang mana ia sekurang-kurangnya ada tercatat dalam rekod bolasepak benua Asia. Setelah pasukan Selangor menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Kelab Asia (kini adalah Liga Juara-juara AFC) tahun 1967, kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim pula menjadi pasukan Asia Tenggara yang pertama memenangi Piala AFC pada tahun 2015. Maka, adakah selepas ini negara Malaysia yang lebih kecil saiznya daripada China namun pada masa yang sama lebih besar daripada Singapura mampu ke Piala Dunia FIFA suatu hari nanti? Secara realistik, memang sukar tetapi secara logik, memang tidak mustahil. Sekiranya mahu belajar bersungguh-sungguh dan rajin bekerja, dengan bekerjasama antara satu sama lain maka apa sahaja yang susah akan menjadi mudah. Oh, satu lagi jangan lupa, kepada Tuhan juga kita semua berserah.

Selepas Carlo Ancelotti menolak tawaran Itali kerana belum
mahu mengurus sebuah pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe
dilihat calon yang lebih sesuai pada ketika ini untuk
menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Nelo Vingada
(gambar: thestar.com.my)


No comments: