Sunday, April 20, 2014

MALAYSIA: Penjaga gawang

MALAYSIAN GOALKEEPERS
Dalam permainan bolasepak, tangan hanya boleh digunakan apabila membuat lontaran ke dalam selepas bola keluar daripada garisan. Namun begitu, satu-satunya pemain yang boleh menggunakan tangan atau lengannya sepanjang masa di dalam kawasan kotak penalti (kecuali ketika menerima hantaran rakan sepasukannya menurut undang-undang moden) ialah penjaga gol. Penjaga gol menjadi pemain yang mula-mula sekali disenaraikan dalam kesebelasan utama dengan #1 di belakang jersinya. Walaupun begitu, kadang kala penjaga gawang juga didapati diberikan nombor duabelas (#12) atau ke atas.

Berikut disenaraikan dalam duniabolasepak.blogspot.com beberapa penjaga gawang yang pernah berjasa kepada negara.

1. Sexton Lourdes Doss (Malaya)

Penjaga gol hebat yang sezaman dengan Abdul Ghani Minhat ini merupakan antara perintis awal yang telah membuka jalan bagi mencorak generasi masa hadapan penjaga gol tanah air. Di samping menjadi penjaga gawang utama skuad kebangsaan, beliau juga banyak menghabiskan karier bolasepaknya dengan bermain untuk pasukan Selangor FA dalam kancah bolasepak tempatan.

2. Chow Chee Keong
Asian Stainless Steel Gate

Dikenali sebagai Crazy Sword, penjaga gol ini telah bermain untuk negara pada usia yang sangat muda. Beliau mula mewakili negara di peringkat umur bawah-20 pada 1963 ketika berumur 13 tahun dan terus dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan hanya dua tahun kemudian. Diiktiraf sebagai penjaga gawang terbaik oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebanyak 5 kali berturut-turut dari 1966 hingga 1970, beliau pernah menyarung jersi beberapa kelab Hong Kong iaitu Hong Kong Rangers FC, Jardines (Jardine SA), South China AA, dan Tung Sing FC.

3. Wong Kam Fook

Beliau merupakan penjaga gol kebangsaan yang beraksi dalam Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972. Pernah memenangi Piala Malaysia dengan pasukan Perak FA pada tahun 1970, beliau mengakhiri kerjaya bolasepaknya di Hong Kong setelah beraksi bersama beberapa kelab Hong Kong seperti Seiko SA, Hong Kong Rangers FC, South China AA, dan Caroline Hill FC.

4. Lim Fung Kee

Bekas penjaga gawang Selangor FA ini turut berada dalam skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Dalam temasya sukan tersebut, beliau menjadi pemain gantian kepada Wong Kam Fook dalam satu perlawanan menentang Maghribi. Beliau juga pernah beraksi bersama sebuah kelab dari Hong Kong iaitu Seiko SA.

5. R. Arumugam
kredit: chedinsphere.blogspot.com

Penjaga gol yang amat disegani ini adalah pemain kebangsaan seangkatan dengan pemain lagenda negara, Mokhtar Dahari. Popular dengan nama jolokannya iaitu Spiderman, beliau telah memperoleh 196 kaps bersama Malaysia dan merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974. Bermain bersama Selangor FA di sepanjang kariernya, beliau turut membantu skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow walaupun Malaysia kemudiannya menarik diri bagi memboikot tuan rumah Kesatuan Soviet (Rusia).

6. Abdul Rashid Hassan

Selepas bersara daripada bermain bolasepak, penjaga gawang ini juga hebat sebagai jurulatih penjaga gol. Berasal dari Alor Gajah (Melaka), beliau mula mengembangkan bakat semulajadinya sebagai penjaga gol semenjak zaman persekolahan di Singapura. Antara pencapaian yang diperolehinya semasa mewakili skuad kebangsaan ialah kemenangan pingat emas di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada tahun 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur.

7. Ong Yu Tiang

Penjaga gawang ini pernah berkhidmat untuk beberapa pasukan, antaranya Terengganu FA, Selangor FA, PDRM FA, dan Pahang FA. Mula dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada tahun 1980, beliau juga pernah menganggotai pasukan bolasepak pantai kebangsaan dalam sebuah kejohanan bolasepak pantai pada tahun 1998 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

8. Khairul Azman Mohamed

Memulakan kerjaya bolasepak di tempat kelahirannya iaitu Pahang FA, penjaga gol yang amat handal ini menamatkan karier di Sabah FA dengan penuh gilang-gemilang. Pernah dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Asia Tenggara pada tahun 1995, beliau juga merupakan penjaga gawang utama skuad kebangsaan yang menjadi naib juara dalam Kejohanan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) tahun 1996 di Singapura selain turut mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia Futsal FIFA 1996 di Sepanyol. Amat malang sekali buat negara apabila beliau tidak lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas Malaysia tewas mengejut 1-0 di tangan pasukan kerdil Laos dan seterusnya gagal mara melepasi peringkat kumpulan dalam Sukan SEA 1997 yang diadakan di Jakarta, Indonesia.

9. Azmin Azram Abdul Aziz

Setelah sekian lama berada di bawah bayang-bayang sebagai penjaga gol kedua negara, pemain yang memulakan karier di Kuala Lumpur FA ini akhirnya berkesempatan untuk menjadi penjaga gawang utama skuad kebangsaan apabila mengisi tempat yang ditinggalkan oleh mentornya iaitu Khairul Azman Mohamed. Berpeluang berlatih di bawah kendalian dua jurulatih penjaga gol yang hebat yakni Abdul Rashid Hassan dan Lim Chuan Chin, telah membolehkannya beraksi dengan baik bersama pasukan-pasukan yang pernah diwakilinya.

10. Syamsuri Mustaffa

Penjaga gawang yang cukup berbakat ini pernah mencatat sejarah yang agak mengkagumkan apabila menjadi penjaga gol pertama negara yang menjaringkan gol di peringkat antarabangsa semasa perlawanan menentang pasukan tuan rumah Vietnam dalam Sukan SEA 2003. Walaupun tewas 4-3 dalam perlawanan tersebut, beliau tetap dikenang dan pernah dianugerahkan sebagai Penjaga Gol Pilihan dan juga Pemain Popular dalam Anugerah Bolasepak Malaysia Coca-Cola FAM 2005/2006.

11. Syed Adney Syed Hussein

Penjaga gol kelahiran Liverpool, England ini merupakan adik lelaki kepada seorang pelakon wanita iaitu Sharifah Sofea. Membesar di Subang Jaya (Selangor), pemain ini berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan tetapi sayangnya tidak banyak beraksi dalam saingan liga tempatan. Namun begitu, antara pencapaiannya yang membanggakan adalah sewaktu membantu Malaysia menjadi juara Pestabola Merdeka pada tahun 2007.

12. Farizal Marlias

Pemain kelahiran Jengka, Pahang ini semakin dikenali apabila beraksi baik bersama skuad negara bawah-23 dan semenjak itu telah menjadi salah seorang pemain yang penting buat pasukan senior kebangsaan. Mula dicungkil bakat daripada skuad Piala Presiden (kejohanan bolasepak Malaysia peringkat belia) Pahang, penjaga gawang ini pernah menabur bakti di Shahzan Muda FC, Perlis FA, Negeri Sembilan FA, Perak FA, dan Selangor FA.

13. Sharbinee Allawee Ramli

Nama penjaga gol ini muncul apabila beliau menggantikan tempat penjaga gawang utama negara, Farizal Marlias yang tercedera sebelum berlangsungnya Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos. Tanpa disangka-sangka, beliau menggalas tanggungjawab tersebut dengan sangat baik apabila memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pingat emas pertama buat skuad negara selepas kali terakhir memenanginya adalah pada 20 tahun yang lalu (Sukan SEA Kuala Lumpur 1989).

14. Khairul Fahmi Che Mat

Penjaga gawang yang pernah bermain dalam 2007 Champions Youth Cup dan dipanggil sebagai 'Apek' ini menjadi bintang besar apabila meraih kejayaan dalam dua kejohanan besar iaitu Piala Suzuki AFF 2010 (juara) dan Sukan SEA 2011 (pingat emas). Sebagai penjaga gol nombor satu negara, beliau turut menjadi wira bagi pasukan negeri kelahirannya Kelantan FA dengan memenangi pelbagai kejuaraan seperti Piala Malaysia, Piala Sumbangsih, Liga Super Malaysia, dan Piala FA. Selain daripada dianugerahkan sebagai Pemain Muda Terbaik tahun 2010, beliau juga merupakan Penjaga Gol Terbaik empat tahun berturut-turut (2010, 2011, 2012, dan 2013) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

15. Farizal Harun

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini merupakan penjaga gol yang boleh diharap serta pernah dipanggil menjadi anggota skuad kebangsaan beberapa kali. Walaupun tidak dapat mengetepikan Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias sebagai dua penjaga gawang utama negara, beliau sekurang-kurangnya dapat menyerlah di arena tempatan apabila membantu pasukan ATM FA menjuarai Liga Perdana Malaysia (2012) dan Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah (2013) di samping muncul naib juara kepada Kelantan dalam Piala Malaysia 2012.

16. Norazlan Razali

Dilahirkan di Tangkak (Johor), pemain ini mula menempa nama apabila beraksi dengan cemerlang bersama pasukan Selangor FA. Kecemerlangan beliau turut mendapat perhatian bekas ketua jurulatih negara K. Rajagobal dan beliau pernah beberapa kali disenaraikan dalam skuad kebangsaan. Selain daripada Selangor FA, penjaga gol ini juga pernah bermain untuk Johor FA, Kuala Lumpur FA, dan kini beliau bersama Johor Darul Takzim FC.

17. Khairul Azhan Khalid

Selepas kemenangan Piala Malaysia pada tahun 2013, anak jati Kuantan yang dikenali dengan nama 'Yan' di kalangan rakan-rakannya ini menjadi bintang baru bersinar buat pasukan Pahang FA. Persembahannya yang konsisten dalam saingan liga tempatan telah membantu diri beliau turut terpilih menganggotai skuad kebangsaan pada tahun 2014 oleh ketua jurulatih sementara pasukan negara, Ong Kim Swee.

18. Zamir Selamat

Penjaga gol yang berasal dari Kuala Lumpur ini diasah bakatnya semasa bersama dengan pasukan belia negara iaitu skuad Harimau Muda (Harimau Muda A). Disebabkan pemain ini kurang diberikan peluang yang secukupnya di Johor Darul Takzim FC selepas berpindah dari pasukan Harimau Muda, beliau dianggap tidak begitu menyerlah. Namun, penjaga gawang ini mendapat nafas baru selepas berhijrah ke PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) FC untuk menyerlahkan potensi sebenar dirinya.

19. Izham Tarmizi Roslan

Dilahirkan di Terengganu, penjaga gol berbakat besar ini juga menggilap bakatnya bersama pasukan Harimau Muda (Harimau Muda A dan Harimau Muda B). Beliau berjaya mencuri tumpuan orang ramai apabila membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka tahun 2013 selepas menundukkan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir. Selepas berpindah ke JDT I (Johor Darul Takzim FC), pemain ini turut diberi tanggungjawab penting sebagai penjaga gawang utama bagi pasukan kelab berbelanja besar tersebut.

20. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed

Seorang lagi pemain daripada pasukan Harimau Muda (Harimau Muda C), penjaga gawang muda ini sudah pun beraksi bersama pemain-pemain senior kebangsaan dalam Charity International Match menentang Palestin di Stadium Darul Makmur (Kuantan, Pahang) pada 26 Mac 2013. Walaupun Malaysia tewas 2-0 di tangan Palestin, pemain ini terus diingati apabila telah menyelamatkan satu tendangan penalti sebaik sahaja menggantikan tempat Farizal Marlias di posisi penjaga gol.


Memandangkan posisi bagi penjaga gol adalah amat terhad untuk disenaraikan dalam sesebuah pasukan apatah lagi dalam kesebelasan utama, maka tidak ramai yang berpeluang untuk mewakili negara walaupun mempunyai kredibiliti yang hebat. Sekiranya berpeluang pun, tidak ramai yang mampu untuk terus mengekalkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dalam tempoh jangka masa yang lama melainkan beberapa orang pemain sahaja. Berikut adalah beberapa nama penjaga gawang lain yang boleh disebutkan di sini:
  • Yusoff Abu Bakar
  • Peter Rajah
  • Awang Essa
  • Lim Chuan Chin
  • Ahmad Sobri Ismail
  • Azmi Mahmud
  • V. Murugan
  • Tay Sin Kiat
  • Halim Napi
  • Yap Kam Choon
  • Chong Kim Boon (Nazreen Chong)
  • Mohd Ali Jinnah
  • Raimi Jamil
  • Amran Omar
  • Azlisham Ibrahim
  • Mazlan Abdul Wahid
  • Zubir Ibrahim
  • S. Ragesh
  • Hasbullah Fatah
  • Tan Chong Aik
  • Mudzar Mohamad
  • Zuraimi Hassan
  • Yazid Yassin
  • Othman Katmon
  • Omar Salim
  • Hassan Miskam
  • Kamarulzaman Hassan
  • Jamsari Sabian
  • Sany Fahmi
  • Megat Amir Faisal Al Khalidi Ibrahim
  • Sani Anuar Kamsani
  • Badrulzaman Abdul Halim
  • Azizon Abdul Kadir
  • Mohd Suffian Abdul Rahman
  • Hamsani Ahmad
  • Helmi Eliza Elias
  • Al-Hafiz Hamzah
  • Faizal Abdul Rashid
  • Nasril Nourdin
  • Iqbal Suhaimi
  • Abdul Hadi Abdul Hamid
  • Mohd Farhan Abu Bakar


4 comments:

koko said...

dulu ada keeper perak..mohd ali jinnah

Dunia Bolasepak said...

Terima kasih koko. Namanya akan kami update.

idz said...

Mohamad Afandi bin Halim

bekas goalkeeper Perak dan MalaysiaB

Unknown said...

Ade gambar ali jinah tak...nak tengok leh tak