Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Teori Bolasepak

Kebanyakan artikel mengenai bolasepak yang terdapat di dalam duniabolasepak.blogspot.com selalunya adalah rencana atau karangan berbentuk rumusan, pandangan, idea, pendapat, saranan, kupasan, dan yang seumpama dengannya. Walau bagaimanapun, jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut atau belajar dengan lebih mendalam tentang satu cabang ilmu yang dinamakan 'Teori Bolasepak', maka sertailah program khas yang telah kami sediakan melalui PROJEK: AKADEMI DUNIA BOLASEPAK.

Good manners are the main values.

Memang benar, sukan bolasepak adalah satu permainan yang perlu menggunakan fizikal tubuh badan yang sihat. Jadi, apa perlunya seseorang itu belajar tentang teori? Main sahajalah, buat apa susah-susah belajar. Bukan, lari benar kalau tanggapannya seperti itu. Teori adalah penting, bahkan amat mustahak bagi mana-mana individu yang mahu menceburkan diri dalam dunia bolasepak amatur mahupun profesional. Tidak kiralah, samada bermain seronok-seronok bersama kawan-kawan di taman permainan, ataupun mewakili sekolah dan seterusnya negeri, apatah lagi mewakili pasukan kebangsaan, setiap keadaan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya pemahaman asas tentang teori bolasepak. Malah, apabila bermain futsal, bolasepak pantai, bolasepak jalanan, foosball atau permainan video sekalipun, ia turut melibatkan teori bolasepak. Tidak ketinggalan, yang menonton di stadium atau melalui kaca televisyen, monitor komputer, serta skrin telefon pintar pun seharusnya tahu apa itu teori bolasepak.

Memandangkan bolasepak dimainkan secara berpasukan, sesebuah pasukan hanya akan berfungsi dengan baik sekiranya tiap-tiap anggota pasukan memainkan peranannya dengan betul. Jika masing-masing mampu bekerjasama membantu pasukan, ini bermakna keempat-empat unsur dalam permainan bolasepak sudah dipenuhi. Empat unsur atau elemen yang dimaksudkan tersebut adalah sikap, pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman. Walau bagaimanapun, sikap yang positif, kemahiran yang diasah, dan ditambah pula dengan pengalaman yang meluas, semua itu masih lagi belum mencukupi seandainya tiada pengetahuan yang mendalam. Pengetahuan, yang salah satu daripadanya adalah teori, tidak semestinya dalam situasi yang tetap kadarnya. Ini kerana kadar pengetahuan sedikit sebanyak boleh berubah-berubah, naik turun mengikut peredaran masa. Adakalanya apa yang sudah terkandung dalam minda berubah sesuai dengan penemuan atau maklumat yang baru. Inilah yang dikatakan proses pembelajaran. Tidak terhenti setakat itu sahaja, selepas belajar tentang sesuatu, diteruskan lagi belajar tentang sesuatu yang lain. Inilah pembelajaran sepanjang hayat.

Entah mengapa, teori dalam arena bolasepak seringkali dikesampingkan. Sudahlah kurangnya pembacaan, mahu bertanya kepada orang yang tahu pun adakalanya sukar dan susah. Walaupun kadang-kadang boleh sahaja belajar sendiri-sendiri, tetapi ilmu yang salah akan menyebabkan amalan yang silap. Lantas, pengetahuan yang cetek akan menyebabkan kemahiran yang terhad. Yang sebenarnya, ilmu pengetahuan bukan sahaja melengkapkan unsur-unsur yang lain malahan turut berguna sebagai suatu kelebihan. Kelebihan inilah yang digunapakai oleh pasukan kebangsaan Brazil sebagai contoh, sehingga menjadi satu-satunya negara yang layak dalam setiap edisi Piala Dunia serta paling banyak memenanginya hingga setakat ini. Selain itu, kelebihan ini jugalah yang membolehkan negara-negara tertentu dari benua Eropah dan benua Amerika Selatan sahaja yang mampu menjadi juara dunia. Bagaimana mereka berupaya melakukannya, dan bagaimana pula mereka mendapat kelebihan tersebut? Ikutilah pembahasan yang selanjutnya dalam perbincangan yang lain pula, inshaaAllah.




No comments: