Akademi Dunia Bolasepak (ADB)
Dunia Bolasepak Academy (DBA)
|
"Adab Sopan Nilai Utama" |
Sejarah lama telah berlalu. Sekarang, masa untuk melakar sejarah baru. Terdapat beberapa persoalan yang ingin dibincangkan. Apa, di mana, bila, dan siapa? Selepas itu, dua persoalan yang lebih besar iaitu kenapa dan bagaimana.
Tahukah anda bahawa setiap perbuatan harus bermula dengan niat? Niat yang jahat maka buruklah hasilnya manakala niat yang baik mudah-mudahan eloklah hasilnya. Niat itu ibarat doa dan doa mesti diiringi dengan usaha. Doa hanya menjadi bermanfaat sekiranya sabar dalam memohon kebaikan. Setelah berdoa, barulah usaha tidak menjadi sia-sia ataupun menjurus kepada maksiat. Ketahuilah bahawa setiap usaha yang baik merupakan suatu ibadat. Ada ganjaran yang tidak terkira banyaknya.
Sebab itulah, apa gunanya kalau menjaringkan hat-trick tetapi masih berseluar pendek di atas paras lutut? Apa gunanya menang perlawanan kalau pemain lawan ditumbuk-tumbuk? Malah, berguna lagikah selepas memenangi Piala Dunia dan menjadi pemain terbaik dunia tetapi lama-kelamaan menjadi tua sehingga hampir tiada siapa pun yang peduli? Permainan bolasepak seolah-olahnya semacam kehidupan di dunia, yakni keseronokan yang sementara. Seorang pemain bolasepak profesional barangkali paling lama menghabiskan lebih kurang 10 tahun hingga 20 tahun sahaja untuk berkecimpung di kemuncak kerjayanya, itupun jikalau tiada kecederaan yang serius. Jika tidak menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan umpamanya, maka setakat itu sahajalah penglibatannya. Apa yang seterusnya, itulah yang harus difikirkan.
Jadi, berbalik kepada persoalan asal, apa itu bolasepak? Apakah baik atau tidak bolasepak ini? Bolasepak adalah sejenis sukan yang semua orang tahu, rasanyalah. Samada ianya baik atau tidak, itu terpulang kepada masing-masing. Apa-apa pun di dunia ini ada sisi cerah dan ada sisi gelapnya. Maka, ambillah yang jernih dan buang yang keruh supaya peranan dan tanggungjawab yang digalas tidak disalah guna. Kemudian, persoalan di mana. Bolasepak boleh dimainkan hampir di mana-mana. Sekiranya tidak di padang, di pantai, atau di gelanggang futsal, di jalanan malahan di dalam rumah pun boleh bermain seandainya tidak dimarahi ibubapa atau isteri. Cukup sekadar sebiji bola. Di Malaysia, tahap profesional bertaraf kebangsaan yang paling tinggi adalah di Liga Malaysia yang turut dijalankan beriringan dengan Piala Malaysia. Sudah ramai pemain import yang datang ke sini, cuma pemain eksport ke luar negara sahaja yang kurang. Persoalan bila pula ada tiga, masa lepas, masa kini, dan masa depan. Tiga masa ini berkait pula dengan siapa yang menjadi pemainnya, samada akan terus dikenang ataupun dilupakan.
Baiklah, seterusnya adalah dua persoalan besar iaitu kenapa dan bagaimana. Kenapa suka bolasepak, atau kenapa tidak suka bolasepak? Betul-betul minat atau saja suka-suka? Sekadar hobi atau sumber periuk nasi keluarga? Jawapan kepada persoalan kenapa ini jugalah yang akan turut menjawab kepada persoalan bagaimana. Bagaimana untuk teruskan atau bagaimana untuk mencari jalan yang lain. Boleh jadi bersambung, boleh jadi terhenti. Tepuk dada, tanya diri sendiri.
Bagi yang mahu bersambung, berikut adalah panduan umum bagi pecahan kategori umur untuk membentuk sesebuah pasukan mahupun beberapa skuad:
- Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun)
- Remaja (13 hingga 19 tahun)
- Belia (20 hingga 26 tahun)
- Senior (27 hingga 33 tahun)
- Veteran (34 tahun ke atas)
Di peringkat dunia, telah pun wujud pelbagai pertubuhan, persekutuan, serta gabungan antarabangsa. Tanpa persatuan atau kelab rasmi sekalipun, bolasepak seharusnya wajar dikongsi bersama kegembiraannya apabila dapat bermain atau menonton tidak kiralah di kampung-kampung atau di bandar-bandar. Daerah, negeri, atau wilayah mana pun, selagi mana tidak melibatkan perkara antara hidup dengan mati maka bolasepak tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada solat di awal waktu atau berpuasa di bulan Ramadan seperti mana terhalangnya bolasepak apabila Perang Dunia atau wabak melanda.
Ada pandangan atau pertanyaan yang hendak diajukan? Usah malu untuk berinteraksi dengan kami. Sekian dahulu buat masa ini. Ribuan terima kasih.
No comments:
Post a Comment