Bolasepak moden di Malaysia samada di semenanjung Tanah Melayu mahupun wilayah-wilayah di pulau Borneo yakni Sabah dan Sarawak tidak bermula dengan Piala Malaya (1921), dan tidak juga bermula dengan Piala Borneo (1946). Permainan dengan undang-undang yang dipelopori oleh pihak Inggeris ini sudah mula diperkenalkan ke dalam negara secara meluas kira-kira sejak abad ke-19 lagi. Boleh rujuk buku yang bertajuk "Beyond Bicentennial: Perspectives On Malays" untuk bacaan yang lebih lanjut. Pada awal abad ke-20, komuniti Melayu Muslim serta yang lain kemudiannya telah didedahkan pula kepada pengurusan bolasepak terancang dengan pembentukan Malaya Football Association (MFA) pada tahun 1909. Malah, secara halus ia turut tersebar ke bidang pendidikan apabila penganjuran sukan bolasepak di kalangan pelajar lelaki antara sekolah-sekolah Melayu dimulakan pada tahun 1928.
HMS Malaya, kapal perang yang ditaja oleh negeri-negeri Melayu. |
Permainan bola yang menggunakan kaki seakan-akan bolasepak telah pun wujud di serata dunia. Meskipun tidaklah betul-betul sama, pelbagai bangsa di Mesoamerika, China, Eropah, dan tidak ketinggalan Nusantara juga mempunyai permainannya yang tersendiri. Bagi orang Melayu, selain sepak raga jaring atau sepaktakraw, ada juga sepak raga tuju, sepak raga bulatan, malahan sepak bulu ayam pun ada. Orang Inggeris barangkali cuma mendakwa bahawa, merekalah yang membuat peraturan khusus agar permainan Eropah yang dibawa hampir ke seluruh dunia melalui penjajahan dimainkan dengan lebih teratur serta tersusun. Kononnya, cara merekalah yang paling bertamadun. Maka, sejak 26 Oktober 1863, setelah 11 wakil kelab-kelab bolasepak dari London bertemu di Freemason's Tavern di Holborn bagi membentuk Football Association (FA) untuk England, sejak itu jugalah warga dunia seolah-olahnya didesak menurut kata mereka sahaja.
Sewaktu era British Malaya yakni zaman penjajahan, Singapura menjadi pusat bercambahnya pasukan-pasukan bolasepak, antaranya seperti Straits Chinese National Football Association (1891), Tanjong Pagar Football Association (bukan Tanjong Pagar United Football Club), St. Joseph's Football Club, Darul Adab Club (1893), Darul Afiah, Darul Aman, Darul Bahar, Darul Ta'alam, Fathul Karib (1898), dan Straits National Football Association. Asalnya mungkin tiada siapa pun yang peduli tentang bolasepak yang dimainkan oleh orang Inggeris, tetapi lama-kelamaan warga tempatan semakin tertarik serta terpengaruh, boleh jadi dek penangan mata biru berambut perang kalau bukan gol-gol menarik. Jika di peringkat kebangsaan ada Piala Malaya, di peringkat negeri juga mempunyai pertandingannya masing-masing.
Perlawanan terawal di Borneo Utara (kini Sabah) adalah pada 1899 sewaktu pasukan Sandakan tewas 0-3 kepada pasukan HMS Rattler. Di Selangor, Watson Shield pernah dipertandingkan mulai tahun 1906 sebelum Liga Selangor diwujudkan. Sebelum wujudnya Liga Pulau Pinang, pertandingan paling awal juga pada tahun 1906. Negeri-negeri lain bermula lebih kurang lewat sedikit. Johor dan Negeri Sembilan pada 1922, Melaka pada 1929, Perak pada 1930, Sarawak pada 1931, Kelantan pada 1932, Pahang pada 1934, manakala Kedah pada 1937. Ini adalah sekadar perkongsian ringkas. Sekiranya mahu, boleh semak dengan persatuan-persatuan negeri yang berkenaan bagi mendapatkan maklumat sahih yang lebih tepat. Oh, alang-alang gesa juga pihak pentadbir Liga-M untuk memberikan sokongan moral kepada mangsa-mangsa kekejaman yang berlaku di Palestin terutamanya, sebagai contoh. Kalau yang di sana boleh perjuangkan isu-isu LGBTQ+, BLM, Perang Ukraine, dan sebagainya, kenapa kita tak boleh?
No comments:
Post a Comment