Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, February 15, 2018

Hilangnya sebutir lagi permata - Majid Ariff

Setiap makhluk yang hidup, pasti akan mati. Begitulah kenyataan yang harus diterima walaupun dengan berat hati. Tanggal 4 Februari 2018, awal pagi Ahad, seorang lagenda bolasepak yang banyak berjasa kepada Singapura dan pernah juga berjasa kepada Malaysia iaitu saudara Majid Ariff (lahir 2 Jun 1937) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 80 tahun.

Perginya seorang lagenda, Majid Ariff.
(kredit: govsingapore)

Malaysia dan Singapura mempunyai terlalu banyak sejarah serta sentimen yang dikongsi bersama. Sekadar ingin disebutkan di sini, seniman agung negara kelahiran Pulau Pinang yang bernama Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih (lahir 1929) iaitu Allahyarham P. Ramlee telah menghasilkan banyak karya seni di Singapura di samping para pelakon terkenal Singapura antaranya Allahyarham Shariff Dol Asnawi (Sarip Dol, lahir 1926), Allahyarham Shamsuddin Dali (S. Shamsuddin, lahir 1929), Allahyarhamah Siti Mariam Ismail (Mariani, lahir 1933), Zaiton Abdullah (Zaiton Abdul Hamid, lahir 1937), Hashimah Yon (Hashimah Mohd Leon, lahir 1940), Allahyarhamah Roseyatimah (Rosnah Jasni, lahir 1943), serta beberapa lagi.

Bahkan isteri perkahwinan ketiga P. Ramlee, biduanita negara Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail (lahir 1934) atau Allahyarhamah Saloma yang merupakan seorang pelakon serta penyanyi tersohor juga adalah anak kelahiran Singapura. Selain itu, pada zaman kontemporari pula kita mengenal nama-nama seperti Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mohamad Nasir Mohamad (M. Nasir), Datuk Ramli Sarip (Papa Rock), Dato' Aaron Mustapha Aziz (Aaron Aziz), Dato' Mohamed Hadi Putera Halim (Ady Putra), Maizurah Hamzah, Atikah Suhaime, Hannah Adlina Blackburne Birch (Hannah Delisha), dan lain-lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Individu-individu ini secara langsung dan tidak langsung adalah penyambung yang mengekalkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura, Singapura dengan Malaysia.

Pemain tengah berkaliber
menjadi jurulatih yang disegani.
(gambar: beritaharian.sg)

Begitu jugalah hal keadaannya dengan dunia bolasepak, terdapat beberapa tokoh yang memainkan peranan mereka untuk memberikan pelbagai sumbangan tertentu dalam menjalankan tanggungjawab besar terhadap bangsa dan negara. Sebelum munculnya Raja Bola yang dikenali seluruh Malaysia iaitu Abdul Ghani Minhat, telah pun ada Raja Bola yang sebelumnya yakni siapa lagi kalau bukan Dol Fatah (turut dieja Dolfattah). Anak watan Singapura ini sezaman dengan dua pemain yang tidak kurang hebatnya iaitu John Chia Keng Hock, juga dari Singapura, dan A.L. Henry (bapa saudara Edwin Dutton) dari Selangor. Pengaruh Dol Fatah sekitar tahun 1930an mencapai populariti se-Malaya dan antara hasil yang paling berjaya dikecapinya adalah menjumpai serta membimbing seorang pemain berbakat besar yang kemudiannya mendapat jolokan "Harimau Malaya" yang pertama. Siapakah yang digelar Harimau Malaya tersebut? Tidak lain tidak bukan, Dollah Don ialah orangnya.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pertalian Malaysia dengan Singapura diteruskan lagi oleh Choo Seng Quee (Uncle Choo) yang merupakan jurulatih kebangsaan Malaya dan Malaysia antara tahun 1958 hingga 1964. Selain Majid Ariff, pemain-pemain yang pernah menyarung jersi belang kuning-hitam adalah Awang Bakar (penyerang, penampilan sulung 1950) dan Rahim Omar (sayap kiri, penampilan sulung 1957). Malah, Arthur Koh (penampilan sulung 1959) yang masyhur sebagai gandingan tiga serangkai bahagian serangan pasukan kebangsaan Harimau Malaya bersama-sama Abdul Ghani Minhat dan Robert Choe suatu ketika dahulu itu pun asalnya bermain dengan Singapura terlebih dahulu.

Majid mewakili Malaya dalam
Pesta Bola Merdeka pada 1961.
(kredit:
honouryourpast.blogspot.my)

Dalam mengenang kembali kehidupan seorang lagenda yang pernah dipanggil "The Stallion" sewaktu berada di Hong Kong, Majid Ariff sememangnya salah satu contoh bagi frasa satu dalam sejuta. Ternyata sukar untuk melihat lagi insan sepertinya. Walaupun setelah menggantung kasut butnya, beliau tetap mahu berkhidmat kepada masyarakat dengan melatih begitu ramai sekali anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam sukan bolasepak. Salah seorang anak didik yang digilapnya adalah Fandi Ahmad, satu lagi pemain lagenda bolasepak Singapura.

Peminat-peminat Liga Malaysia (Liga-M), terutamanya yang membabitkan pertandingan berprestij Piala Malaysia barangkali sedikit sebanyak sedang merindui kelibat pasukan dari Singapura yang sudah keluar masuk beberapa kali dan kali terakhir keluar (sebagai LionsXII) adalah selepas berakhirnya musim 2015. Mujurlah masih ada sebilangan kecil pemain antarabangsa Singapura yang beraksi dalam Liga-M sebagai pemain-pemain import, mungkin sebagai pengubat rindu selepas berlalunya era Dato' Mokhtar Dahari dan Fandi Ahmad yang menjadi simbol bagi negara masing-masing.

Kehalusan seni dalam bolasepak yang dipamerkan turut mendapat
tempiasnya kepada Fandi Ahmad, penyambung legasi beliau.
(gambar: beritaharian.sg)

Meskipun Malaysia dan Singapura telah bercerai secara politik semenjak tahun 1965 namun dari sudut geografi serta tali persaudaraan masih lagi dekat di hati. Jika tempoh singkat lebih kurang selama dua tahun Singapura menyertai Malaya (Tanah Melayu), Sabah (Borneo Utara), dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia masih kekal utuh dalam ingatan, apatah lagi memori bolasepak yang telah terjalin lebih awal daripada itu. Terima kasih kepada bintang kelahiran Singapura ini kerana sudi berkongsi anugerah Tuhan yakni bakatnya walaupun buat seketika ketika masih hidup dan pemergiannya membuatkan kami turut berkongsi kesedihan. Salam takziah khususnya buat keluarga serta rakan-rakannya yang terdekat dan semoga Allahyarham Majid Ariff dicucuri rahmatNya.


No comments: