|
Pasukan LionsXII menjulang piala juara Liga Super Malaysia 2013.
(sumber gambar: AsiaOne) |
Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan LionsXII yang berjaya merangkul kejuaraan
Malaysian Super League (
MSL) bagi tahun 2013 yang baru sahaja melabuhkan tirainya baru-baru ini. Syabas kepada anak-anak buah V. Sundramoorthy terutama sekali apabila rata-rata pemainnya berumur 23 tahun ke bawah kecuali beberapa orang pemain sahaja. Pencapaian ini sudah tentu membanggakan warga Singapura apabila para pemain mereka pulang menyeberangi Selat Tebrau dengan satu lagi kejayaan. Rekod pasukan ini yang tidak pernah kalah (menang 10 dan seri 1) di kubu kuat mereka iaitu Stadium Jalan Besar dalam perjalanan untuk muncul juara juga boleh dikatakan sebagai mengkagumkan, lebih-lebih lagi apabila kejayaan skuad negara mereka meraih Piala AFF 2012 hujung tahun lalu masih lagi segar dalam ingatan. Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa padang sintetik (rumput tiruan) di Stadium Jalan Besar merupakan kelebihan besar buat LionsXII, tiada alasan bagi yang tewas. Yang menang tetap menang. Sekiranya pasukan-pasukan lain belum mengatur strategi dan taktik-taktik baru, maka sudah pasti juara baru Liga-M ini tidak teragak-agak untuk menambah lagi gelaran kejuaraan mereka dalam masa yang terdekat.
Jika dilihat dengan teliti, LionsXII sememangnya mempunyai pemain-pemain yang sangat bagus hampir di setiap posisi. Majoriti pemain di dalam pasukan ini adalah pemain kebangsaan Singapura. Lebih menarik lagi, pasukan bawah-23 Singapura yang dikenali sebagai
Courts Young Lions (yang beraksi di dalam liga tempatan mereka iaitu
S-League) turut menghasilkan pemain-pemain muda yang berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan LionsXII. Dengan adanya dua pasukan (LionsXII dan Courts Young Lions) dalam dua liga yang berbeza, ternyata lebih ramai pemain muda Singapura yang boleh diberikan peluang untuk mengasah bakat serta bermain dengan lebih kerap pada tahap yang tertinggi. Seterusnya, kualiti para pemain yang bakal dihasilkan secara keseluruhannya membantu pula untuk membentuk skuad negara yang mantap. Maka, tidak mustahil sekiranya pasukan yang namanya diberi sempena menghargai para penyokong mereka ini tidak hanya menetapkan sasaran setakat saingan Piala Malaysia sahaja malah mungkin sudah mula mengalihkan pandangan ke arah yang lebih jauh lagi.
|
LionsXII di Liga-M &
Courts Young Lions di S-League. |
LionsXII juga dibentuk sebagai persediaan mereka untuk menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar pada Disember ini. Di samping dapat bermain bersama-sama para pemain senior yang berpengalaman serta boleh memberi tunjuk ajar, pemain-pemain muda mereka juga sering diberi kesempatan dan ruang yang agak luas hinggakan ilmu dan kemahiran mereka terus-menerus meningkat dengan baik. Barisan jurulatih mereka jarang memaksa pemain-pemain muda untuk mengambil tanggungjawab yang belum mampu dipikul, dan tidak pula diletakkan harapan yang terlalu tinggi supaya perkembangan pemain-pemain tidak terbantut separuh jalan. Hanya apabila masa yang sesuai telah tiba, barulah pemain muda yang bersedia akan dibawa ke hadapan. Beginilah caranya mereka melahirkan bintang-bintang bolasepak masa kini mereka dengan berkesan. Jika sebelum ini proses naturalisasi para pemain luar secara besar-besaran yang menjadi pilihan bagi kesan jangka masa pendek, kini mereka sudah pun menggunakan anak-anak muda tempatan untuk mendapatkan kejayaan bagi satu jangka masa yang lebih panjang. Selepas ini, tiada lagi kedengaran nama pemain-pemain naturalisasi yang berusia seperti Qiu Li (China), Shi Jiayi (China), Mustafic Fahrudin (Serbia), Aleksander Duric (Bosnia), Daniel Bennet (England), mahupun Agu Casmir (Nigeria) yang akan dijadikan sandaran utama Singapura untuk mendapatkan kejayaan.
Pada masa yang sama, Singapura tidak cepat mendabik dada dan sentiasa berfikiran realistik. Di sebalik keyakinan mereka terhadap pemain-pemain tempatan yang sedia ada dan masih lagi muda, dalam diam-diam mereka turut mempunyai pasukan pelapis yang amat berpotensi tinggi. Sebagai kesinambungan kepada pemain-pemain hebat yang terdahulu seperti Lee Kok Seng, Quah Kim Song, Robert Sim, R. Suriamurthi, Dollah Kassim, Malek Awab, Aide Iskandar, Indra Sahdan Daud, Noh Alam Shah, dan Lionel Lewis, tidaklah terlalu melampau untuk mengandaikan bahawa Singapura mampu melahirkan seorang lagi lagenda seperti Fandi Ahmad tidak lama lagi. Walaupun Shahril Ishak masih mengetuai pasukan kebangsaannya pada waktu ini, beliau sudah pun mempunyai seorang bakal pengganti muda yang dianggap cukup berkaliber. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi, tugas dan tanggungjawab yang sedang digalasnya itu akan diambil alih oleh pemain remaja sensasi Singapura, Adam Swandi. Adam Swandi yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama kelab Perancis, FC Metz pada awal tahun ini juga cukup bertuah kerana mempunyai rakan-rakan seperjuangan yang dijangka mampu membarisi kesebelasan utama pasukan kebangsaan Singapura pada masa hadapan.
|
Adam Swandi: Permata baru Singapura. |
|
Irfan Fandi: Anak sulung lagenda bolasepak Singapura, Fandi Ahmad. |
Selain daripada Adam Swandi, para peminat bolasepak di Malaysia dan juga negara-negara Asia Tenggara yang lain akan mula mengenali nama-nama seperti Shahfiq Ghani, Safirul Sulaiman, Anumanthan Mohan Kumar, Jonathan Tan, Faris Ramli, Dhukilan Jeevamani, Delwinder Singh, Shakir Hamzah, Al-Qaasimy Rahman, Fashah Rosedin Iskandar, Irfan Fandi, dan Ikhsan Fandi. Kemungkinan besar mereka akan menjadi harapan rakyat Singapura untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 yang bakal berlangsung di negara republik tersebut. Sungguh pun nama-nama ini boleh jadi tidak tersenarai dalam skuad negara mereka nanti, tentunya Singapura kurang gusar kerana konsep pembangunan akar umbi mereka tidak mementingkan generasi tertentu tetapi lebih kepada menggunakan sebanyak mana bakat yang ada tanpa mengira umur. Pembangunan yang lebih menyeluruh inilah menjadi kunci rahsia kejayaan negara Singapura yang hanya mempunyai lebih kurang 5 juta penduduk sahaja. Sebagai contoh, Singapura berjaya mencipta rekod sebagai negara pertama yang memenangi kejohanan bolasepak ASEAN sebanyak 4 kali dalam tempoh 16 tahun semenjak ia mula dipertandingkan. Sejarah telah membuktikan bahawa Singapura sebagai negara yang kecil juga mampu melakar kejayaan yang besar. Dengan izin Tuhan jua, tiada apa yang mustahil.
|
Pasukan Singapura tanpa pemain-pemain naturalisasi pun sudah cukup gah. |
Menjelang Piala AFF 2014 (edisi ke-10) yang bakal tiba pada tahun hadapan, pemain-pemain tonggak dari Singapura seperti Shahril Ishak (perancang utama dan ketua pasukan), Hariss Harun (gelandang), Baihakki Khaizan (bek tengah), dan Izwan Mahbud (penjaga gawang) semestinya bersemangat mahu mempertahankan kejuaraan mereka. Begitu juga dengan rakan-rakan senegara mereka seperti Fazrul Nawaz (penyerang), Khairul Amri (penyerang), Isa Halim (pemain tengah), Safuwan Baharudin (pertahanan tengah), Shaiful Esah (bek kiri), Yasir Yanapi (sayap kanan), Juma'at Jantan (bek kanan), Gabriel Quak Jun Yi (sayap kiri), Madhu Mohana (bek kanan), Hassan Sunny (penjaga gol), Shahdan Sulaiman (perancang tengah), Muhammad Ridhuan (pemain versatil), Ruzaini Zainal* (pemain tengah), Hyrulnizam Juma'at (penjaga gol), Raihan Rahman (bek kanan/sayap kanan), Fazli Ayob (sayap kiri), Khairul Nizam (penyerang), Sufian Anuar (pemain tengah), Irwan Shah (bek kiri), Nazrul Nazari (pemain tengah), Hafiz Nor (sayap kanan), dan mungkin juga beberapa pemain yang lain, apatah lagi apabila Singapura akan menjadi tuan rumah (bersama Vietnam) dalam kejohanan tersebut. Mudah-mudahan dengan saingan hebat yang diberikan oleh Singapura mampu meningkatkan lagi tahap bolasepak di Asia dan Asia Tenggara khususnya. Sekiranya pasukan-pasukan lain (termasuklah Malaysia) sedia bersaing dengan lebih sihat, perkara ini hanya boleh menguntungkan semua pihak. Tidak ketinggalan juga, selamat maju jaya diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia selepas bulan puasa ini. Semoga pasukan yang terbaik menang.
Ramadan Mubarak. Ramadan Kareem.
No comments:
Post a Comment