Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, February 8, 2013

Sejarah dalam pembikinan

Pemain lagenda dari Brazil iaitu Pele telah memenangi Piala Dunia sebanyak 3 kali dan kali pertama beliau memenanginya adalah sewaktu berumur 17 tahun. Seorang lagi lagenda bernama Diego Maradona dari Argentina pula memenangi Piala Dunia 1986 dan beliau paling diingati selepas menggelecek lalu menjaringkan gol yang amat menakjubkan ketika dalam perlawanan suku akhir yang menewaskan England. Pemain yang terkenal dengan konsep 'Total Football' iaitu Johan Cruyff dari Belanda pula hampir-hampir memenangi Piala Dunia 1974 apabila mempamerkan corak permainan yang sangat menarik tetapi hanya tumpas dalam perlawanan akhir kepada pasukan Jerman yang diketuai oleh perintis posisi 'libero' iaitu Franz Beckenbauer. Di sebalik pencapaian pemain-pemain ini di peringkat antarabangsa, mereka turut menyumbangkan khidmat bakti mereka dengan cemerlang kepada pasukan kelab masing-masing. Pele bersama Santos, Diego Maradona dengan Boca Juniors, Johan Cruyff untuk Ajax Amsterdam, manakala Franz Beckenbauer di Bayern Munich. Cruyff dan Maradona pernah menyarung jersi Barcelona tetapi Maradona mungkin lebih diingati ketika berada di Napoli.

Pele semasa zaman mudanya.

Menjelang Piala Dunia 2014 yang akan diadakan di Brazil (merupakan satu-satunya negara yang pernah memenangi Piala Dunia sebanyak 5 kali), tuan rumah sudah pasti mengharapkan pemain bintang sensasi mereka iaitu Neymar (dari bekas kelab Pele, yakni Santos) untuk menghadirkan kejuaraan buat kali keenam bagi mereka. Namun begitu, pemain terhebat dunia pada ketika ini iaitu Lionel Messi yang bermain dengan kelab Barcelona juga disandarkan serta diletakkan harapan untuk memenangi Piala Dunia buat negaranya Argentina. Messi di samping rakan-rakannya seperti Carlos Tevez, dan Sergio 'Kun' Aguero, dijangka boleh menjadi juara dunia bersama Argentina walaupun berdepan dengan tugas getir di negara tuan rumah Brazil yang juga saingan kuat negaranya. Samada beliau dapat memenangi Piala Dunia pada tahun 2014, 2018, 2022, atau langsung tidak dapat memenanginya, Leo Messi sudah pun terpahat namanya sebagai salah seorang pemain lagenda dalam sejarah bolasepak dengan rekod-rekod serta kemenangan yang sudah pun diperolehinya. Harus diingat bahawa sukan bolasepak bukannya permainan secara individu, bolasepak dimainkan secara berpasukan.

Tonggak pasukan Argentina: Messi, Tevez, & Aguero

Setakat ini, hanya 8 buah negara yang pernah memenangi Piala Dunia. Negara-negara tersebut ialah Brazil, Itali, Jerman, Argentina, Uruguay, Sepanyol, Perancis, dan England. Biasanya hanya negara-negara ini sahaja yang menjadi pilihan setiap kali tibanya Piala Dunia dan sukar bagi negara-negara lain untuk membuat kejutan apatah lagi menjadi johan. Mungkin negara-negara seperti Belanda dan Portugal sahaja yang boleh mencabar serta menjadi pemenang yang seterusnya tetapi kebarangkalian adalah sangat tipis bagi negara-negara lain. Sebagai contoh, sebuah negara seperti Malaysia yang tidak pernah sekali pun layak ke Piala Dunia memang langsung tidak menjadi pilihan untuk memenangi Piala Dunia yang diadakan 4 kali setahun itu. Walau bagaimanapun, perkara tersebut adalah tidak mustahil sekiranya Malaysia layak ke Piala Dunia terlebih dahulu. Tidak kiralah samada layak secara merit atau sebagai tuan rumah, Malaysia mempunyai peluang, sama seperti negara-negara lain.

Memenangi Piala Dunia adalah tugas yang sangat berat jika
diletakkan atas bahu seorang sahaja, walaupun penyandang
'Pemain Terbaik Dunia' seperti Cristiano Ronaldo dari Portugal.

Negara Belgium yang pernah layak beberapa kali ke Piala Dunia tetapi belum pernah memenanginya turut disebut-sebut sebagai calon juara dalam masa terdekat ini. Ini adalah berdasarkan pemain-pemain muda mereka yang dikategorikan sebagai 'wonderkids' kini telah mula menjadi sebutan serta bualan orang ramai. Pemain-pemain seperti Vincent Kompany, Thibaut Courtois, Simon Mignolet, Thomas Vermaelen, Jan Vertonghen, Toby Alderweireld, Steven Defour, Axel Witsel, Maroune Fellaini, Radja Nainggolan, Nacer Chadli, Dries Mertens, Kevin Mirallas, Moussa Dembele, Kevin De Bruyne, Yassine El Ghanassy*, Adnan Januzaj, Romelu Lukaku, Christian Benteke, dan tidak ketinggalan juga Eden Hazard adalah pemain-pemain yang hebat belaka tetapi mampukah mereka menjadi juara sebagai sebuah pasukan? Semua itu bergantung kepada takdir. Usaha dan tuah ada peranannya dalam penentuan takdir tersebut memandangkan sejarah yang lalu akan membentuk sejarah yang bakal tercipta. Apa yang dilakukan pada waktu ini mewarnai apa yang akan terjadi kelak. Kita mungkin belum tahu buat masa ini, tetapi Tuhanlah yang Maha Mengetahui.

Boleh dikatakan semua tahu bahawa untuk menjadi juara bukanlah sesuatu yang mudah. Menjadi juara merupakan satu pencapaian yang amat dibanggakan namun ia bukanlah satu pengakhiran. Ia adalah suatu permulaan. Keinginan untuk menjadi juara itu bukanlah satu-satunya yang paling penting kerana terdapat lagi beberapa perkara yang lebih penting daripada itu. Semangat juang, semangat kesukanan, dan pengorbanan, adalah antara beberapa perkara yang lebih penting daripada menjadi juara semata-mata. Siapa tahu, mungkin sebuah negara yang bukan pilihan boleh sahaja muncul juara dalam edisi Piala Dunia yang berikutnya. Perkara tersebut boleh terjadi cuma masa sahaja yang belum diketahui. Tak mungkin ada yang tahu tentang masa hadapan kecuali Tuhan yang satu. Maka, buat masa ini ramailah yang bercita-cita untuk cuba merealisasikan impian untuk bergelar juara Piala Dunia pada satu hari nanti. Namun, hanya yang benar-benar juara sahaja yang bakal ditabalkan sebagai juara.


No comments: