Jadi, apakah cara-cara untuk mengatasi kekurangan tersebut? Jawapannya adalah dengan menubuhkan akademi bolasepak di setiap negeri mengikut persatuan bolasepak masing-masing. Sebelum ini, antara langkah-langkah yang diambil adalah seperti mengadakan program 'Tunas Cemerlang', menubuhkan sekolah-sekolah sukan sebagai sekolah elit khas, dan juga menyiarkan rancangan realiti 'Soccer Kids' umpamanya di televisyen. Usaha yang dilakukan tersebut bagi mencungkil bakat-bakat muda di peringkat sekolah tidaklah diperkecilkan kerana hasil daripada usaha itu ada sumbangannya. Cuma, sumbangannya tidak memberi kesan yang menyeluruh memandangkan tiada kesinambungan yang berterusan mulai dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat kebangsaan. Tanpa kesinambungan yang berterusan itu menyebabkan terputusnya pembangunan akar umbi sebagai bekalan kepada kemajuan bolasepak negara. Kekurangan inilah yang menjadi faktor utama kegagalan untuk membimbing bakat-bakat muda bagi memenuhi potensi mereka di tahap yang tertinggi.
Jika melihat situasi di peringkat antarabangsa, banyak pihak yang mengkagumi serta ingin meniru model pembangunan pemain remaja FC Barcelona. Akademi belia 'La Masia' yang masyhur di seluruh dunia merupakan sebahagian daripada kompleks stadium Camp Nou itu terus menerus menyediakan kemudahan-kemudahan latihan yang hebat sehingga melahirkan bintang-bintang terkenal yang juga merupakan juara di dalam pelbagai kejohanan. Victor Valdes, Martin Montoya, Jordi Alba, Gerard Pique, Carles Puyol, Sergio Busquets, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Pedro Rodriguez, dan tidak ketinggalan pemain yang sudah pun dikategorikan sebagai pemain lagenda iaitu Leo Messi yang kini mengisi kesebelasan utama semuanya telah memulakan karier mereka di akademi tersebut. Tidak salah untuk mengambil konsep Barcelona kerana mereka pun mengambil idea akademi Ajax Amsterdam setelah dicadangkan oleh pemain lagenda Belanda, Johan Cruyff. Akan tetapi, bukannya untuk ditiru bulat-bulat tetapi sekadar contoh untuk melakukannya mengikut acuan tersendiri.
Akademi La Masia di Sepanyol |
Di Malaysia, salah satu contoh yang terdekat ialah Kompleks Sukan Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai Kompleks Hijau Kuning di Alor Star, Kedah Darul Aman. Kompleks ini asalnya diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan digunakan sebagai pusat Akademi Bola Sepak. Rancangan pembangunan akar umbi tersebut banyak memberi kejayaan kepada skuad Kedah di pentas Liga-M (M-League) dan pujian harus diberikan terutamanya kepada Bapa Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil. Namun begitu, di sebalik kejayaan tersebut masih terdapat beberapa kelemahan yang ketara. Kini, pembangunan yang dilakukan setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri seolah-olah perlahan dan kadang kala seperti terhenti. Prestasi sesebuah pasukan bolasepak yang adakalanya naik dan turun memanglah perkara lumrah tetapi apabila bakat-bakat muda sudah tidak lagi boleh diharapkan, di situlah bermulanya krisis pembangunan bolasepak seperti yang sedang dialami oleh pasukan-pasukan negeri yang bermain di Liga FAM sahaja pada waktu ini.
Selain itu, keberkesanan program pembangunan remaja juga bergantung kepada beberapa aspek tertentu. Antara aspek-aspek yang harus ditekankan dalam akademi bolasepak selain latihan yang konsisten ialah pemakanan, pelajaran, kesihatan, dan juga komunikasi. Harus diakui bahawa seorang pemain bolasepak tidak semestinya cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak semestinya juga seorang pemain bolasepak tidak boleh cemerlang dalam pelajaran. Sekurang-kurangnya semua pelatih bolasepak hendaklah diberi peluang untuk menerima pendidikan sama seperti kanak-kanak atau remaja yang lain demi kepentingan masa hadapan mereka. Janganlah dibiarkan mereka terabai tanpa pelajaran. Jangan biarkan mereka menjadikan keletihan sebab latihan atau perlawanan bolasepak sebagai alasan untuk ponteng kelas. Jangan pula biarkan mereka melakukan apa sahaja sesuka hati hanya kerana mereka bakal menjadi pemain bolasepak tanpa diterapkan disiplin dan integriti terlebih dahulu. Oleh yang demikian, bagi memastikan kesinambungan yang berterusan dalam pembangunan bolasepak negara, tindakan yang realistik perlulah diambil setelah selesai semua persediaan yang berkaitan.
Yang pertama, mengkaji semula segala program yang sedang dijalankan. Setelah diselidik semula tahap pencapaian yang telah diperolehi setakat ini, gunakan kelebihan yang ada untuk memperbaiki kelemahan. Buat masa ini, skuad senior kebangsaan bergantung kepada pemain-pemain regular yang bermain di dalam Liga-M. Pelapis skuad kebangsaan pula kebanyakannya terdiri daripada skuad Harimau Muda A dan B. Pemain-pemain dalam Harimau Muda pula majoritinya adalah dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan beberapa pemain dari Sekolah Sukan Bandar Penawar. Sedikit sekali pemain pelapis kebangsaan yang muncul dari skuad Piala Presiden negeri-negeri sejak kebelakangan ini. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa hanya pemain-pemain dari sekolah sukan sahaja yang berpeluang untuk mewakili negara. Tumpuan yang berlebihan kepada suatu sumber yang terhad menyebabkan ramai pemain muda yang berbakat di Malaysia tidak dapat dikesan. Namun begitu, jangan pula marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Fungsi sekolah sukan perlulah diteruskan serta jangan disekat sumbangannya tetapi jangan pula terlalu bergantung kepadanya sebagai satu-satunya harapan.
Frenz United Football Academy di Bentong, Pahang adalah satu inisiatif swasta yang sangat baik dan wajar dicontohi. |
Penglibatan sekolah-sekolah yang lain di seluruh Malaysia juga mampu memainkan peranan yang sangat penting. Sebelum ini, pemain-pemain yang berbakat dikenal pasti melalui platform seperti pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM), mahupun Sukan Malaysia (SUKMA). Pemain-pemain yang telah dikenal pasti tersebut akan ditapis dan seterusnya dipanggil untuk latihan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) berpusat di Bukit Jalil. Untuk sukan lain memang tiada isu tetapi tidak bagi bolasepak. Ini kerana bolasepak adalah sukan yang sangat meluas di seluruh negara. Dengan adanya Liga-M, di sinilah sepatutnya pentas yang terbaik untuk melahirkan pemain-pemain muda yang berpotensi tinggi. Jika benar-benar jujur serta ikhlas untuk membangunkan akar umbi maka jalan yang terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan segala sumber yang ada semaksimum yang mungkin.
Bermula dari di peringkat sekolah, para pemain muda yang berbakat akan dipanggil untuk mewakili daerah kemudian negeri mengikut proses yang ada sekarang. Cuma yang berbeza adalah apabila setiap negeri mempunyai akademi masing-masing, para pemain mempunyai pilihan samada untuk meneruskan karier sebagai pemain bolasepak yang profesional atau tidak. Sekiranya mereka terpilih untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman di akademi, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk diserapkan ke skuad reserve sebelum mendapat peluang beraksi bersama skuad utama pula. InsyaaAllah dengan adanya akademi yang tersusun dan ditambah pula dengan adanya penganjuran Liga Presiden yang sistematik, sudah pastilah persatuan-persatuan negeri akan mendapat suatu jalan penyelesaian. Jalan penyelesaian agar dapat terus bersaing dalam liga tanpa membazirkan wang yang banyak untuk membeli pemain import di samping hanya berbelanja dengan lebih berhemah apabila adanya ramai pemain muda yang terlatih di akademi-akademi seluruh Malaysia.
Seterusnya, pembangunan akar umbi ini sangat-sangat memerlukan tahap profesionalisme yang tinggi. Masalah-masalah seperti kos atau perbelanjaan yang tidak terkawal, kebajikan para pemain yang tidak terjaga, jenayah rasuah, dan seumpamanya boleh dielakkan sekiranya wujud nilai-nilai profesionalisme. Sikap profesionalisme menuntut sesebuah organisasi dan juga setiap individu untuk membuat sebarang tindakan dengan perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail. Rancanglah dengan baik dan bersedia jugalah dengan beberapa backup plans. Kita hanya merancang, Allah jualah yang menentukan.
No comments:
Post a Comment