Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, March 29, 2018

Malaysia diundang ke Piala Dunia

Bagai bulan jatuh ke riba. Tiba-tiba, dan tidak semena-mena, sebuah kuasa kecil bolasepak Asia Tenggara telah mendapat keuntungan besar yang langsung tidak dijangka. Selepas bekas juara dunia satu kali membuat keputusan untuk memboikot pertandingan bolasepak yang cukup dinanti-nantikan oleh jutaan peminat, enam buah negara yang telah layak turut menarik diri bagi mengikuti jejak langkah negara yang mengaku sebagai pencipta asal sukan bolasepak tersebut. Lebih mencuit hati, sebuah negara maju yang tidak pun layak ke kejohanan empat tahun sekali itu juga secara poyonya menyokong tindakan beberapa negara terbabit.

(gambar hiasan, Google Images)

Berikutan usaha pemboikotan oleh tujuh negara yang terlibat, tempat yang dikosongkan itu telah diisi semula oleh tujuh negara lain termasuklah bekas juara dunia empat kali, dan satu lagi bekas finalis dalam tiga kejohanan yang terdahulu. Meskipun tempat-tempat kosong yang ditinggalkan akhirnya dapat juga diganti dengan negara-negara yang lain, banyak juga negara yang dengan sombongnya telah menolak pelawaan daripada pihak tuan rumah kerana kononnya mahu menunjukkan solidariti terhadap negara-negara yang memboikot. Daripada lima buah negara Eropah dan dua negara Asia yang menjadi pengganti, salah sebuah negara Asia yang pada asalnya bersetuju untuk bertanding entah bagaimana telah menarik diri pada saat-saat akhir. Tiada alasan yang diberikan dan di sinilah bermulanya jemputan yang dihulurkan pula kepada negara yang suatu ketika dahulu pernah digelar sebagai Harimau Asia.

Hanya yang kedua dari Asia Tenggara

Dalam satu sidang media yang diadakan, pemangku Presiden badan bolasepak induk negara telah mengumumkan bahawa jemputan tersebut dengan sukacitanya sudah diterima walaupun terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa ada pertimbangan untuk menolak tuah yang mungkin hadir hanya sekali dalam seumur hidup itu pada mulanya. Jika tidak kerana campur tangan daripada seorang bekas Presiden badan bolasepak induk negara, kemungkinan besar sejarah baharu untuk layak buat pertama kali ke kejohanan terbesar tidak dapat dicipta, sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat. Malah, sejarah lampau yang malap akan berulang balik seperti mana bodohnya tindakan memboikot negara tuan rumah yang sama sewaktu 38 tahun yang lalu. Mujurlah ada juga yang pandai dan mahukan rantau Asia Tenggara mempunyai wakil yang kedua dalam sejarah sejak sekian lama.

Setelah berakhirnya perlawanan terakhir kelayakan pertandingan benua Asia dan juga dua perlawanan persahabatan, keputusan-keputusan yang diraih nampaknya kurang memberangsangkan. Jelas sekali, pasukan yang ingin dihantar untuk bertemu dan bersaing di peringkat tertinggi antarabangsa masih belum bersedia sepenuhnya. Dalam masa yang sungguh singkat, adalah hampir mustahil untuk mempersiapkan 23 pemain terbaik negara untuk disenaraikan dalam skuad yang benar-benar kental bagi menghadapi saingan getir. Maka, apa jua persiapan pada ketika ini seolah-olah kelihatan seperti sangat terdesak serta amat menekankan. Pada tahun yang begitu sibuk dengan kempen pilihanraya umum, rakyat yang semakin penat dan letih dengan cabaran semasa secara umumnya betul-betul inginkan sesuatu yang boleh memberikan sedikit harapan serta sinar di hujung terowong panjang yang gelap.

Malaysia A lawan Malaysia B

Oleh yang demikian, hasil daripada maklumbalas para penyokong bolasepak tanahair dan di samping adanya analisis Data Raya, suatu langkah penyelesaian telah dibentangkan. Cadangan yang bermula sebagai satu bentuk idea kecil kini telah berkembang menjadi satu sistem pelaksanaan yang besar. Formula ini diharapkan dapat mengenal pasti bakat-bakat bolasepak tempatan yang sedia ada dengan sebaiknya tanpa ada lagi risiko tinggi terhadap pembaziran bakat seperti yang berlaku dahulu. Apakah formula yang dimaksudkan tersebut? Baiklah, jika pasukan negara bermain melawan pasukan negara lain di luar pertandingan dipanggil sebagai perlawanan persahabatan, manakala menentang kelab-kelab ternama luar negara pula dipanggil sebagai perlawanan pertunjukan, maka dua (atau lebih) skuad senior pasukan negara yang diatur untuk bertembung sesama sendiri wajar dipanggil sebagai "perlawanan ujian".

Sekiranya ujibakat merupakan proses yang dijalankan untuk memilih pemain-pemain muda yang baharu, perlawanan ujian pula adalah proses pemilihan para pemain yang sudah ada nama atau sudah mempunyai kedudukan. Memang diakui, formula yang digarap ini bukanlah satu formula pembangunan bolasepak secara keseluruhan tetapi lebih kepada formula ringkas untuk memilih barisan pemain yang paling layak menyarung jersi keramat berbelang kuning-hitam. Secara langsung mahupun tidak langsung, tuduhan serta cemuhan bahawasanya tanah tumpahnya darah ini ketandusan pemain-pemain berbakat dapat ditangkis dengan mudah apabila nanti akan ternyata betapa sudah cukup ramai pemain sebenarnya yang boleh berada dalam kelompok pemain kebangsaan.

Bersiap sedia ke arena antarabangsa

Mengambil contoh 44 nama pemain bolasepak yang masih aktif bermain, berikut adalah sekadar teori bagaimana untuk mencari kesebelasan utama bagi skuad kebangsaan:

MALAYSIA A
  1. Fahmi
  2. Kunanlan
  3. Fazly
  4. Yong
  5. Aidil
  6. Shahrul
  7. Mahali
  8. Safiq
  9. Norshahrul
10. Zaquan
11. Baddrol

MALAYSIA B
  1. Somerville
  2. Davies
  3. Corbin-Ong
  4. Ferns
  5. Swirad
  6. Eldstal
  7. Gan
  8. Kiko
  9. Lok
10. Natxo
11. Jones

MALAYSIA C
  1. Izham
  2. Azrif
  3. Nazirul
  4. Rawilson
  5. Fadhli
  6. Afiq
  7. Zack
  8. Nazmi
  9. Hazwan
10. Rozaimi
11. Ashri

MALAYSIA D
  1. Haziq
  2. Syahmi
  3. Syazwan
  4. Dominic
  5. Adam
  6. Irfan
  7. Akhyar
  8. Azam
  9. Jafri
10. Kogileswaran
11. Safawi

Dengan adanya empat skuad senior seperti di atas yang tidak termasuk skuad bawah-23, bawah-20, bawah-19, bawah-18, bawah-17, bawah-16, dan bawah-15, ini bermakna bagi setiap posisi akan sentiasa ada empat pemain yang terbaik untuk mewakili negara. Katakanlah salah satu atau beberapa posisi benar-benar kekurangan pemain maka bolehlah panggil pemain-pemain lama yang berpengalaman seperti Safee, Amri, mahupun Indra, atau boleh juga panggil pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Shivan, Akif, Hadi, dan sebagainya. Sebagai peringatan, sebelum melangkah lebih jauh lagi, segala persediaan dan bekalan perlulah dipastikan agar selalu mencukupi memandangkan begitu banyak sekali pertaruhan dalam permainan yang melibatkan nama negara ini. Pertaruhan bukan yang berkaitan dengan bookie atau judi, tetapi berkenaan dengan maruah dan juga harga diri. Bermulanya tiupan wisel bukan lagi masa untuk bermain-main, ini kerana hanya yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan muncul sebagai pemenang. Setiap peluang yang terhidang seandainya terlepas sudah pasti tidak boleh berundur kembali. Oleh itu, bersedialah.

Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Jika terdapat persamaan nama tempat atau watak dengan dunia sebenar, itu adalah kebetulan sahaja.


NOTA: Ini bukanlah berita palsu dan bukan pula fakta alternatif. Ia hanyalah sebuah karya fiksyen, cerita rekaan hasil imaginasi yang diilhamkan daripada mimpi di siang hari.

2 comments:

Unknown said...

Ohhhhh citer nyer..... He he he... Bila ada buat pencarian bakat baru? Akak nak antar anak akak pegi uji bakat..

Dunia Bolasepak said...

Pn. Norhayati Binti Zambri,

Untuk makluman, program tahun lepas adalah pencarian bakat melalui kaedah online dan pihak kami tidak menjalankan ujibakat kecuali menerusi pihak lain. Bagi program tahun ini pula, pihak kami masih belum ada pengesahan untuk diadakan. Jika ada maklumat akan dimaklumkan kemudian.

Terima kasih atas minat yang diberikan.