Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, April 13, 2018

Malaysia telah mensia-siakan ramai pemain negara

Mokhtar Dahari, salah seorang pemain negara
yang disegani dalam sejarah bolasepak dunia.
[kredit: www.uomonelpallone.it]

Perlawanan antarabangsa yang terawal dalam sejarah bolasepak moden berlangsung di Glasgow pada tahun 1872 antara pasukan Scotland menentang pasukan England dengan keputusan seri kosong sama (0-0), manakala British Home Championship merupakan pertandingan antarabangsa yang diiktiraf sebagai paling awal di dunia, bermula dengan musim 1883-1884 apabila Scotland berjaya mengalahkan England, Wales, dan Ireland (atau kemudiannya Ireland Utara). Piala Dunia yang sulung pula diadakan pada tahun 1930 dengan pasukan tuan rumah Uruguay, yang juga pemenang pingat emas Olimpik tahun 1924 dan 1928 (selain johan Mundialito atau World Champions' Gold Cup pada 1980), secara rasminya muncul sebagai juara dunia yang pertama menjulang trofi Jules Rimet selepas menewaskan pasukan yang menjadi naib juara iaitu Argentina.

Di semenanjung Tanah Melayu, tahun 1930 merupakan tahun ke-10 Malaya Cup diadakan apabila Singapura menumpaskan Selangor dalam perlawanan akhir, itupun selepas selama dua tahun berturut-turut (1928 dan 1929) kedua-dua pasukan itu telah berkongsi kejuaraan. Perlawanan akhir pada 1930 itu sebenarnya terpaksa diadakan dua kali memandangkan padang yang berlumpur serta lecak (lecah atau becak) pada 30 Ogos di Kuala Lumpur telah menyebabkan keputusan 1-3 yang berpihak kepada Singapura tidak dikira akibat perlawanan yang dibatalkan. Namun dalam perlawanan ulangan di Stadium Jalan Anson, Singapura pada 20 September, Singapura telah memperoleh kemenangan 3-0 ke atas Selangor dengan salah seorang penjaringnya ialah Raja Bola Sepak Malaya yakni lagenda yang bernama Dolfattah.

Stadium Jalan Anson (The Singapore Stadium) atau
"Wembley of Malaya" dengan 3,000 tempat duduk kini
telah tiada, Stadium Jalan Besar dan Kallang National
Stadium (gambar lama di atas) menjadi penggantinya.
[foto: thelongnwindingroad.wordpress.com]

Akibat meletusnya Perang Dunia Kedua (dari 1 September 1939 hingga 2 September 1945) di samping wujudnya kesan-kesan sampingan, Piala Dunia pada tahun 1942 dan juga 1946 tidak dapat diadakan. Namun begitu, tidak lama selepas tamat perang yakni pada 13 September tahun 1947, pasukan bolasepak Melayu Semenanjung (Malayan Malays) telah dibentuk untuk berdepan dengan sebuah kelab dari Hong Kong iaitu South China A.A. (turut dikenali sebagai Nan Hwa) dalam perlawanan pertunjukan di Stadium Jalan Besar, Singapura. Skuad tersebut dibintangi oleh pemilik asal gelaran Harimau Malaya sendiri yakni Dollah Don serta turut dibarisi oleh pemain-pemain seperti Shariff Madon, Haji Grahan, Shariff Awang, dan beberapa pemain lain yang dikumpulkan dari seluruh semenanjung. Tidak sampai setahun kemudian, rekod yang terawal disimpan mengenai perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan adalah ketika pasukan Malaya sebagai Malaysia yang belum merdeka ditundukkan oleh pasukan tuan rumah Singapura dengan jaringan 4-2 dalam perlawanan persahabatan pada 20 Jun 1948.

Dollah Don (barisan hadapan, tiga dari kiri) bersama
pasukan bolasepak Melayu Semenanjung pada tahun 1947.
[kredit: blogs.bl.uk]

Semasa zaman transisi Tanah Melayu ke arah kemerdekaan, bolasepak tanahair telah mula memasuki satu fasa yang baru. Setelah generasi-generasi yang terdahulu telah menyediakan tapak bagi para pemain bolasepak negara untuk berpijak, telah muncul satu generasi yang dipimpin oleh bukan calang-calang orang. Satu-satunya Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang juga Presiden badan induk bolasepak negara yang pertama bukan daripada kalangan warga British. Meskipun tidak terlibat secara langsung dalam permainan di atas padang samada sebagai pemain atau jurulatih, minat mendalam Tunku terhadap bolasepak telah banyak menyumbang kepada pembangunan bolasepak tempatan (dan juga benua Asia) melalui pentadbirannya yang begitu kemas tersusun. Malah, kemerdekaan tanah tumpahnya darah ini sedikit sebanyak tidak boleh lari daripada kaitannya dengan sukan bolasepak, apatah lagi selepas Stadium Merdeka telah menjadi saksi akan peristiwa yang amat bersejarah yakni upacara pengisytiharan kemerdekaan negara.

Dalam fasa yang baru ini, telah hadir pula sebutir bintang yang menyinar dengan terangnya. Bintang yang dimaksudkan tersebut ialah Abdul Ghani Minhat, pewaris Dolfattah sebagai Raja Bola yang baharu. Bakat dan kemahirannya memang sukar ditandingi, bukan sahaja pada zamannya tetapi juga pada zaman-zaman yang akan datang. Sekiranya Dolfattah dianggap sebagai salah seorang pelopor bolasepak pra-kemerdekaan (selain pemain-pemain seperti Chia Keng Hock dan A.L. Henry) maka Abdul Ghani Minhat pula dilihat sebagai perintis bolasepak pasca-kemerdekaan. Sekalipun negara tidak menyertai pusingan kelayakan sehinggalah untuk ke Piala Dunia 1974 yakni cuma dua tahun selepas layak ke Sukan Olimpik 1972, sekurang-kurangnya jalan sudah dibuka dan terbentang luas bagi para pemain negara kelak untuk layak (malahan menjadi juara dunia) buat pertama kali pada suatu hari nanti.

Abdul Ghani Minhat (kiri) dalam satu perlawanan persahabatan
antara pasukan MCFA dengan pasukan Taiwan pada tahun 1960.
[sumber: utusan.com.my]

Justeru, kegagalan untuk layak ke Piala Dunia 1982 dalam percubaan hanya kali ke-3 dalam sejarah negara sehinggakan dianggap sebagai satu bencana hatta disebut sebagai 'The Kuwait Debacle' seharusnya tidak melemahkan semangat. Malah, pengalaman tersebut walaupun terpaksa ditelan dengan rasa pahit yang berganda, iaitu sesudah campur tangan politik yang berlaku ketika sudah pun layak ke Sukan Olimpik 1980, namun ia wajar menjadi satu iktibar serta pengajaran yang sangat berguna demi masa hadapan. Di sebalik apa yang telah terjadi, sebab itulah generasi emas yang diketuai oleh pemain lagenda sepanjang zaman negara yang diberi nama jolokan SuperMokh, siapa lagi kalau bukan Mokhtar Dahari, masih lagi dikenang sehingga ke hari ini. Memori indah yang mereka hadiahkan kepada seluruh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang sungguh tidak ternilai kerana ianya masih memberikan sumber harapan walaupun secebis.

Harapan yang kemudiannya terus dinyalakan oleh pemain-pemain hebat yang berikutnya seperti Hassan Sani, Zainal Abidin Hassan, Hashim Mustapha, Azman Adnan, Khalid Jamlus, Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Hazwan Bakri, dan mungkin juga Jafri Firdaus Chew, seorang pemain muda berpotensi besar, untuk diserahkan pula kepada generasi-generasi yang seterusnya. Jika ada yang bertanya siapakah pemain yang terbaik di kalangan mereka maka seperti mana soalannya, begitu jugalah jawapannya yang subjektif. Semua berhak mempunyai pandangannya yang masing-masing namun perbezaan pendapat tidak seharusnya menghalang sesiapa pun untuk bersetuju bahawa Malaysia sentiasa masih ada harapan.

Mokhtar Dahari (kiri) dan Hassan Sani (kanan) sewaktu beraksi
menentang Burma dalam perlawanan Sukan SEA 1979 di Jakarta.
[sumber: bharian.com.my]

Cuma terdapat satu persoalan penting yang akan timbul dalam benak fikiran kita semua, adakah Malaysia telah mensia-siakan ramai pemain negara, atau para pemainkah yang telah mensia-siakan negara dan rakyat Malaysia?


No comments: