Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, April 17, 2018

Para pemainkah yang telah mensia-siakan negara?

Perlawanan Liga Perdana musim lalu pada 3 Februari 2017
antara Kuantan FA dengan PDRM FA berkesudahan 3-1.
[kredit: kuantanfa.com]

Pada hari Ahad, 15 April 2018, jam 9 malam, satu lagi titik hitam telah ternoktah dalam lembaran sejarah bolasepak tanahair apabila pasukan kelab Liga Premier Malaysia iaitu Marcerra Kuantan FA telah gagal hadir dan tidak muncul untuk aksi liga menentang pasukan PDRM FA di Stadium Shah Alam. Lalu, pasukan lawannya itu dihadiahkan kemenangan percuma 3-0 akibat perlawanan yang terpaksa dibatalkan. Asalnya ditubuhkan sebagai Kuantan FA namun telah bertukar kepada nama sekarang setelah pengambilalihan oleh Marcerra United FC, para pemainnya dikhabarkan tidak menerima gaji yang sudah tertunggak selama beberapa bulan. Peristiwa ini sungguh menyedihkan dan merupakan suatu petanda besar buat Malaysia Football League (MFL) atau dahulunya dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Di negara bertuah ini, secara umumnya ramai yang
lebih suka mengarah daripada sama-sama buat kerja.
[gambar: guy-sports.com]

Amaran awal sudah pun dibunyikan

Sekiranya alamat buruk ini diabaikan, berkemungkinan besar semakin sukar untuk mengelak daripada tertimpanya tragedi yang lebih besar pada masa akan datang. Tanpa mahu menuding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak, peristiwa yang mahu dilupakan tetapi tidak boleh dilupakan ini sewajarnya menjadi pengajaran yang sangat-sangat berguna. Ia adalah simbol dan juga salah satu bukti bahawa betapa tidak sesuainya bagi Liga Malaysia (Liga-M atau M-League) ditolak-tolak atau ditendang-tendang sesuka hati untuk digerakkan secara tergesa-gesa. Meskipun tidak dinafikan bahawa langkah-langkah drastik sememangnya terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan, manakala proses penswastaan liga juga sudah pun bermula, namun beberapa pelaksanaan termasuklah Liga M4 (bermula 2019) dan Liga M5 (bermula 2018) harus dipertimbangkan semula seperti mana yang mungkin sedang difikirkan terhadap Liga Bolasepak Rakyat (LBR).

Mentaliti yang dikhuatiri masih berada di takuk lama sudah pasti akan merencatkan keseluruhan pembangunan bolasepak negara, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara serius seperti pengurusan kewangan. Kesan daripada pengurusan kewangan yang lemah sehingga menyebabkan kekurangan pendapatan, keterhadan penajaan, penunggakan gaji, bebanan hutang tidak berbayar, dan apa-apa yang sewaktu dengannya adalah amat buruk sekali. Periuk nasi orang tidak sepatutnya dibuat main-main. Perkara-perkara yang tertentu mungkin boleh dijadikan bahan gurauan, tetapi berkenaan mata pencarian sudah tentu tidak! Memang benar sumber rezeki datangnya daripada Allah, tetapi jika para pemain sebagai pekerja mempunyai tanggungjawab terhadap majikan, begitu jugalah majikan yang mempunyai tanggungjawabnya kepada mereka. Kedua-dua pihak tidak boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Jangan biarkan diri dizalimi, dan pada masa yang sama pula jangan menzalimi orang lain.

Skandal rasuah tahun 1994 mahupun perlawanan Liga Perdana
yang mencurigakan antara KLFA lawan Sime Darby FC pada
17 Mei 2013 boleh berulang kembali seandainya masalah
kritikal berkaitan krisis kewangan tidak dibendung.
[kredit: boladaily.com]

Apa yang boleh dilakukan?

Berikut ini adalah sekadar cadangan, jangan pula dianggap sebagai satu paksaan. Pertama sekali, jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Struktur dan sistem yang sedia ada hendaklah diteruskan seperti sediakala, sekurang-kurangnya buat sementara. Cuma, hentikan seketika sebarang perubahan besar yang keterlaluan sehingga mengubah lanskap asal bolasepak negara. Tujuannya yang sebenar adalah untuk melaksanakan agenda pembangunan bolasepak negara secara berperingkat. Perubahan yang hendak dilakukan bukan dengan mengikut kehendak hati tetapi dengan mengikut keadaan realiti. Utamakan dahulu apa yang lebih utama. Buat masa ini, rasanya elok dilangsaikan dahulu hutang-hutang yang terdahulu. Bayaran-bayaran yang patut dibayar jangan lagi ditunda-tunda atau ditangguh-tangguh. Sesudah dilunaskan segala hutang lapuk, barulah boleh tutup buku lama, buka buku baru. Kita mampu mengubahnya.

Yang kedua, bersiap siaga untuk berkhidmat sebaik sahaja telah bersiap sedia dengan segala persediaan yang rapi, terutamanya dari segi penambahan ilmu pengetahuan dan juga kemahuan untuk berusaha dengan sedaya upaya. Seringkali juga kita dengar bahawa sekiranya gagal untuk merancang bererti merancang untuk gagal. Di atas kertas, Malaysia sememangnya cukup pandai merancang. Segala apa yang dirancang itu kelihatan cantik-cantik belaka. Betullah apabila disebut kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan. Cuma, bagaimana pula boleh kurang berjaya sedangkan sudah pun merancang adalah kerana rancangan yang dirancang tersebut mungkin tidak masuk dek akal, atau di luar kemampuan yang realistik. Tidak salah bercita-cita tinggi tetapi biarlah berpada-pada. Sebab itulah, setakat menyediakan SWOT analysis (kekuatan dan kelemahan dalaman, serta peluang dan ancaman luaran), ataupun SMART goals (khusus, boleh diukur, dapat dicapai, ada kaitan, dan tarikh akhir) masih belum mencukupi jikalau tidak diterjemahkan pula kepada bentuk tindakan. Masalah yang dihadapi kini adalah samada bertindak dengan tidak bersungguh-sungguh, atau langsung tiada tindakan.

Bersatu hati adalah sebab mengapa Jepun sudah
6 kali ke Piala Dunia manakala Malaysia belum lagi.
Sekiranya semua ingin menjadi pemimpin atau
ketua, siapa yang hendak menjadi pengikutnya?

Dari dahulu hingga sekarang, di sekolah-sekolah biasanya ada diajarkan bahawa ilmu pelita hidup, dan usaha tangga kejayaan. Ilmu yang bermanfaat adalah sangat diperlukan bagi mengharungi pelbagai cabaran hidup, dan di samping itu juga tanpa adanya ikhtiar serta usaha maka kian sukarlah untuk mengecapi kejayaan. Cuba tanya balik, cikgu-cikgu terlupa nak ajarkah atau kita yang lupa apa yang telah diajar? Niat di hati bukan mahu mencaci, mencela, mencerca, mencemuh, atau mengecam. Lagipun, tiada gunanya berbuat sedemikian. Kalaulah berkongsi pendapat dianggap sebagai suatu kritikan, maka anggap sahajalah sebagai kritikan yang membina dan bukannya kritikan yang membinasakan.


No comments: