Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, January 20, 2020

Mengapa buang yang jernih, ambil yang keruh?

Dari 1982 hingga sebelum liga semi-pro dibentuk pada 1989, semua pasukan negeri bertanding dalam liga yang satu. Zaman semi-pro merupakan liga yang mula-mula sekali dipecahkan kepada dua divisyen. Apabila liga profesional diperkenalkan pada 1994, liga kembali disatukan selama empat musim sebelum dipecahkan kepada dua divisyen buat kali kedua yang bertahan sehingga kini. Hendak dijadikan cerita, Perlis telah disingkir hampir serta-merta dari Liga Premier pada tahun 2019. Tahun 2020, Sarawak hanya bertanding di Liga M3 manakala Melaka dan Kelantan pula nampaknya masih lagi terumbang-ambing nasibnya.

Tiadakah penaja yang lebih kaya daripada
syarikat rokok untuk menaja Liga-M?

Katakanlah sepuluh tahun lagi yakni tahun 2030, adakah kesemua pasukan-pasukan negeri bakal ditendang keluar dari Liga Super? Inikah yang pihak FAM dan MFL mahukan supaya pasukan-pasukan kelab seperti PJ City, Felda United, Sarawak United, Kelantan United, Manjung City, KT Rovers, Harini, Langkawi City, dan yang seangkatan dengannya sahaja yang mencabar JDT untuk kejuaraan liga yang paling penting di peringkat kebangsaan? Jika benar, ini umpama mahu menghidupkan balik Liga Nasional yang pernah wujud dan juga lenyap pada 1992. Betulkah mahu begitu?

Pasukan-pasukan di Liga Nasional, selain kelab Perbadanan Johor (Johor Corporation) yakni PKENJ yang menjadi JDT, mana yang lain?
  • Hong Chin SC
  • Muar FA
  • Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)
  • Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
  • Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN/BERNAS)
  • Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB/CIMB)
  • Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (PROTON)
  • Penang Port Commission (PPC/SPPP)
  • Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ/JCorp)

Juara Piala Malaysia tahun 2003, MPPJ FC. Juara Liga Perdana 2 tahun 2003, Public Bank FC. Juara Piala FAM tahun 2018, Terengganu City FC. Di mana mereka semua pada ketika ini? Ke mana perginya NS Chempaka? Sudah lupa jugakah apa yang terjadi kepada Marcerra Kuantan FA? FAM ada sekurang-kurangnya 14 ahli gabungan, tidak termasuk ATM, PDRM, MCFA, MISC dan PBMM. Kenapa tidak dipusatkan segala usaha kepada yang sedia ada terlebih dahulu? Kenapa tidak buang yang keruh, ambil yang jernih? Rugilah jikalau ambil yang keruh, buang yang jernih.

Tanpa boleh berselindung lagi, hendaklah diakui bahawa kebanyakan persatuan negeri mahupun pasukan kelab menghadapi masalah kewangan yang sangat kronik. Maka, tidak dapat tidak, FAM perlu mencari ikhtiar serta penyelesaian yang terbaik demi kelangsungan bolasepak negara. Ya, tanggungjawab ini perlu diselesaikan dulu sebelum ingin memikirkan tentang pengembangan liga, yakni penglibatan lebih banyak pasukan-pasukan bukan negeri. Banyak kelab, banyaklah masalah. Terlalu banyak kelab yang belum bersedia maka bayangkanlah betapa banyaknya masalah.

Oleh itu, dengan seikhlas hati ingin mencadangkan agar Liga-M diperkemaskan semula dengan mengumpulkan semua pasukan negeri dalam sebuah liga swasta yang betul-betul profesional. Yang paling kurang, kalau tidak ditubuhkan kelab pun, setidak-tidaknya pasukan-pasukan menggunakan nama negeri. Setiap negeri satu pasukan cukuplah, tidak perlu banyak-banyak. Sempena meraikan ulangtahun Piala Malaysia ke-100 pada 2021, apa salahnya. Kan? Apabila sudah stabil nanti, barulah tumpuan boleh terarah kepada apa yang teringin dilakukan seperti mana pada waktu ini, cuma tidak lagi dalam keadaan yang tergesa-gesa. Walaupun liga-liga sosial ataupun liga-liga komuniti semakin berkembang dengan rancaknya, biarlah ia terus berkembang. Janganlah diusik sembarangan sampai boleh merosakkannya pula.

NOTA: Sekadar cadangan, setiap persatuan negeri (Football Association) boleh sahaja mengekalkan nama asal dengan menubuhkan wakil negeri (Football Team) di bawah payung masing-masing tanpa berubah menjadi pasukan kelab (Football Club). Sebagai contoh, jika Johor FA yang mempunyai sejarah tersendiri boleh ditukar status menjadi skuad simpanan (Feeder Team) maka adalah tidak mustahil juga untuk dikembalikan status Johor / Johor FT sebagai pasukan wakil negeri di samping satu lagi wakil iaitu JDT FC.


No comments: