Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, December 30, 2019

Bolasepak tidak penting...

Bolasepak tidak penting? Kenapa kata begitu? Bukan, jangan salah faham. Bolasepak menjadi penting jika kita yang membuatnya penting. Jika tidak, bolasepak tidaklah menjadi penting. Penting atau tidaknya bolasepak itu terpulang kepada masing-masing. Tiada paksaan dan tiada juga halangan. Terserahlah. Kalau rasa penting, maka pentinglah. Kalau rasa tidak penting, maka tidak pentinglah. Cuma, satu soalan harus ditanya. Adakah bolasepak itu yang paling penting, iaitu yang terpenting di antara segala yang penting-penting? Hah, pening tak? Jangan pening-peningkan diri anda. Rileks sudah.

Baiklah, mudahnya begini. Bolasepak itu untuk apa? Bagi kebanyakan orang, bolasepak itu sejenis sukan atau aktiviti riadah. Namun, ada yang menganggapnya seperti suatu hiburan, keseronokan yang sementara samada turun bermain mahupun sekadar menonton perlawanan. Ada pula yang menjadikannya sebagai kerjaya, yakni sumber mata pencarian dan periuk nasi buat keluarga. Malah, ada juga yang tidak ambil pot pun tentang bolasepak. Kepentingan terhadap bolasepak adalah berbeza-beza mengikut kepelbagaian yang ada. Walau bagaimanapun, sekalipun bolasepak dijadikan sebagai pekerjaan sepenuh masa, bolasepak tidaklah terlalu penting untuk dijadikan perkara yang paling utama. Apatah lagi sudah menjadi lumrah dalam dunia bolasepak, 'habis madu sepah dibuang' adalah penyudahannya.

Senyum, tak perlu kata apa-apa.

Apa yang lebih penting daripada bolasepak? Amat bagus sekali jika soalan ini mahu ditanya. Bahkan, adalah lebih elok lagi jikalau mahu berfikir tentang jawapannya. Sebarang jawapan yang diberi oleh orang lain kemungkinan ianya salah, tetapi boleh jadi juga betul. Jadi, mungkin mencari jawapan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada orang lain adalah lebih baik. Tak usahlah risau. Kalau kita salah, kita boleh belajar untuk memperbetulkannya dan kalau kita betul, pun boleh terus belajar lagi dan lagi. Pelajari pula sesuatu yang baru, tidak ada ruginya. Yang rugi adalah tidak mahu belajar. Tidak mahu belajar apa yang betul, tidak mahu belajar daripada kesilapan.

Sekali lagi ingin bertanya, apa yang lebih penting atau lebih utama daripada bolasepak? Banyak benda, antaranya ialah amanah. Sebagai contoh, sesebuah pasukan bolasepak boleh sahaja menandatangani mana-mana pemain yang dikehendaki, malahan turut menawarkan gaji yang setinggi boleh, tetapi apa gunanya bolasepak jika amanah seperti membayar gaji menurut persetujuan dalam kontrak tidak ditunaikan? Begitu juga dengan seseorang pemain, mainlah sebanyak mana pun perlawanan, jaringlah sebanyak mana pun gol, apa gunanya bolasepak kalau amanah dikhianati dengan mengambil rasuah? Jika bukan rasuah, apa perlunya mengambil bahan-bahan yang terlarang seperti arak dan dadah?

Hebatnya kamu, yakinnya kamu.

Mengkhianati amanah tidak berakhir di situ. Kalau setakat tidak dapat bermain bolasepak tidak apa lagi, yang lebih teruk adalah merosakkan diri sendiri. Rosak reputasi, rosak kesihatan diri. Apabila kesihatan mulai terjejas, tidak kiralah mental, fizikal, mahupun emosi, tanggungjawab terhadap keluarga juga mulai terganggu. Andainya merosakkan diri dan keluarga sendiri pun sudah dikira sangat dahsyat, inikan pula merosakkan orang lain. Tolonglah sedar dan takut, amanah bukannya sesuatu yang boleh dibuat main-main. Walaupun dalam permainan bolasepak itu bola disepak-sepak dan ditendang-tendang, amanah bukannya sebiji bola!

Amanah pula dibahagi kepada beberapa bahagian. Selain amanah kepada diri sendiri, ada amanah kepada Tuhan, amanah kepada ibubapa, amanah kepada rumahtangga, sampailah amanah kepada masyarakat. Bagi pemain-pemain bolasepak Muslim yang lelaki mahupun wanita umpamanya, menjaga aurat adalah amanah. Kalau aurat pun sukar untuk dijaga, bagaimana pula hendak menjaga amanah-amanah lain yang lebih besar? Amanah yang sekecil mana sekalipun, jangan sesekali dipandang remeh kerana amanah tetap amanah. Tidak amanah bermakna khianat. Sama-samalah kita menjaga setiap amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Negaraku. Negaraku, kuberikan semua.

Itu baru amanah. Banyak lagi benda yang lebih penting dan lebih utama daripada bolasepak. Semuanya boleh difikirkan sendiri. Contohnya apa lagi? Kesihatan tubuh badan, masa bersama keluarga, persediaan untuk persaraan, dan lain-lain yang kalau hendak dihuraikan di sini maka panjang berjelalah penerangannya. Cukuplah sekadar untuk cuba memahamkan bahawa sukan bolasepak yang diminati boleh jadi penting untuk tahap yang tertentu tetapi tidaklah sampai menjadi lebih penting dan lebih utama daripada hidup dan mati itu sendiri. Sekiranya ada yang berpendapat sedemikian, tiada apa yang lebih penting serta utama melainkan, lantaklah.


No comments: