Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium ke-9 terbesar di dunia dan ke-21 mengikut kapasiti penonton. |
Malaysia sebagai sebuah negara, tidaklah terlalu teruk atau mundur. Di sebalik kekurangan-kekurangan ketara yang diketahui umum, Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan masih lagi membangun. Persoalannya di sini, apa kaitan kemajuan sesebuah negara dengan sukan bola sepak? Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang termaju dalam pelbagai bidang, namun liga bolasepaknya yang utama yakni Major League Soccer (MLS) sedihnya hanya menjadi pilihan para pemain antarabangsa yang hampir-hampir pencen sahaja. Malah, negara Uncle Sam yang begitu hebat itu belum pernah menjulang Piala Dunia. Pasukan wanitanya sudah, lelakinya belum. Begitu juga dengan Jepun, meskipun menjadi anggota G7 (Group of Seven) dan dianggap pula sebagai salah satu kuasa besar bolasepak Asia, skuad senior lelaki negara matahari terbit tersebut belum lagi tersenarai sebagai salah satu juara dunia.
Namun begitu, empat negara maju dari Eropah sudah pun memenangi Piala Dunia sekurang-kurangnya sekali. Jika pelopor bolasepak moden iaitu England (sebahagian daripada United Kingdom) pernah memenanginya cuma sekali pada tahun 1966, Itali, Jerman, dan Perancis pula sudah beberapa kali menjadi nombor satu di kalangan negara-negara seluruh dunia. Cuma, sehebat-hebat empat negara Eropah terbabit, Brazil lebih hebat. Walaupun Brazil terletak di benua Amerika Selatan yang tidaklah semaju benua Eropah, negara yang cukup terkenal dengan tarian dan muzik samba itu adalah satu-satunya negara yang layak ke semua Piala Dunia sebelum ini di samping berjaya merekodkan kejuaraan dunia yang paling banyak setakat ini.
Maka, seandainya Malaysia sempat menjuarai Piala Dunia sebelum Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Rusia, Belanda, Norway, mahupun China, adakah Malaysia sudah boleh dianggap maju? Kalaulah Malaysia boleh muncul johan peringkat dunia yang kesembilan selepas Brazil, Itali, Jerman, Uruguay, Argentina, Perancis, England, dan Sepanyol, akan maju sungguhkah negara yang berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara ini? Atau mungkin, tanahair yang tercinta ini sudah boleh dikira sebagai maju jikalau terdapat seorang atau lebih pemain kebangsaannya yang diangkat sebagai pemain terbaik dunia sebaris dengan nama-nama seperti Kaka, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, dan Luka Modric? Jika betullah pengiktirafan-pengiktirafan sedemikian menjadi tanda aras kemajuan sesebuah negara, maka punahlah manusia. Patutlah banyak orang miskin di sana sini. Jenayah pula semakin menjadi-jadi.
Bill Gates & Jeff Bezos masing-masing bernilai $110 billion dan $108.7 billion, manakala Cristiano Ronaldo & Leo Messi masing-masing cuma bernilai $460 juta dan $400 juta sahaja. |
Kalau bolasepak bukan penentu samada sesebuah negara sudah maju atau tidak, jadi apakah penentunya? Duitkah? Memanglah wang ringgit tidak boleh beli segala-galanya tetapi zaman sekarang, hampir segala-galanya perlu dibeli dengan wang. Ada orang kata, "anda kaya, anda berjaya". Kaya harta atau kaya jiwa? Bukankah kena kaya dua-dua, baru berjaya? Mengapa mahu berjaya di dunia tetapi tidak di akhirat? Mengapa mahu berjaya di akhirat tetapi tidak di dunia? Bermacam-macam soalan yang boleh ditanya. Hanya tinggal jawapannya sahaja yang harus dicari. Bagi setiap masalah, mesti ada penyelesaiannya. Peribahasa Melayu juga ada menyebut, "malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut".
No comments:
Post a Comment