Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, September 25, 2009

Memerdekakan bola sepak Malaysia

Pasukan kegemaran yang paling digemari ialah pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia. Walaupun permainan pasukan-pasukan seperti Brazil, England, Argentina, Sepanyol, Real Madrid, Manchester United, Barcelona, Arsenal, Liverpool, Chelsea, dan pasukan yang kuat-kuat turut menarik minat tetapi pasukan negara tetap di hati. Pasukan kebangsaan kita sentiasa dianugerahi banyak pemain yang berbakat besar dan dibuktikan melalui pemain-pemain hebat dan lagenda seperti Abdul Ghani Minhat dan Allahyarham Mokhtar Dahari. Sayangnya, bola sepak tanah air selalu dirundung malang dan selalunya adalah akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab kita juga. Bakat-bakat baru selepas zaman kegemilangan era 'Raja Bola' dan 'Supermokh' sememangnya telah dipersia-siakan. Buktinya, pencapaian negara pada waktu ini di peringkat antarabangsa tidak lagi segah dahulu.

Setelah pasukan kebangsaan menjadi juara di kejohanan Sukan SEA pada tahun 1989 di halaman sendiri, kali terakhir ia menjadi juara adalah dalam pertandingan Pesta Bola Merdeka tahun 2007 yang juga merupakan satu-satunya kejuaraan yang dimenangi semenjak itu. Sebab itulah pemain-pemain yang bagus seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Serbegeth Singh, Matlan Marjan, Azizol Abu Haniffah, Zami Mohd Noor, Khairul Azman Mohamed, Azlisham Ibrahim, Azmin Azram Abdul Aziz, Khairul Anuar Baharom, Azrul Amri Burhan, Ibrahim Mantali, Anuar Jusoh, Rosdi Talib, Nazri Yunus, Wan Rohaimi Wan Ismail, Idris Abdul Karim, Rizal Sukiman, Azmil Azali, B.Rajinikandh, Suharmin Yusof, Rusdee Sulong, Azmi Mohamad, K. Sanbagamaran, Yap Wai Loon, Hashim Mustapha, Moey Kok Hong, Yusri Che Lah, Ahmad Shahrul Azahar Soffian, Tengku Hazman Raja Hassan, Rusdi Suparman, Azman Adnan, Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Nafuzi Zain, Farid Dewan, Haris Safwan Kamal, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, dan barangkali Safee Sali juga hanya menempa nama setakat di arena tempatan sahaja.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan kalau bermain syok sendiri hanya di pentas jaguh kampung. Malah, jika dibandingkan dengan golongan kaki bangku sedunia sekalipun masih tiada nilainya. Oleh yang demikian, cadangan yang sesuai untuk bola sepak Malaysia perlu dilaksanakan dengan segera dan berkesan. Pertama sekali, kita harus sedar siapa kita dan di mana kedudukan kita. Apakah matlamat kita? Malaysia pernah digeruni oleh pihak lawan suatu ketika dahulu sehinggakan digelar pasukan 'Harimau Asia'. Namun, kini keadaannya sudah jauh berubah. Lebih malang, tiada lagi pencapaian konsisten yang membanggakan dan lihat sahajalah kedudukan Malaysia pada ranking dunia.

Walau bagaimanapun, kita jangan cepat berputus asa mahupun mengalah. Kita harus menetapkan satu matlamat yakni suatu hari nanti kita mampu serta boleh menjadi juara dunia meskipun kelihatan masih jauh buat masa ini. Ada satu jalan pintas sebenarnya. Cuma yang harus diketahui adalah walaupun adanya jalan pintas itu, jalan tersebut tetap dan masih lagi mencabar. Jadi, bagaimana caranya? Untuk memenangi Piala Dunia, sudah semestinyalah kita perlu layak ke peringkat akhir terlebih dahulu. Maka, hanya terdapat dua cara iaitu samada melalui sesi kelayakan atau menjadi tuan rumah. Layak sebagai tuan rumah memanglah satu jalan pintas. Akan tetapi, ianya bukan mudah jugalah memandangkan perlu menang persaingan dengan pembidaan yang berjumlah majoriti sebelum layak untuk mengadakan salah satu pertandingan sukan terbesar bertaraf dunia tersebut di tempat sendiri. Di samping itu, keperluan pelaburan secara besar-besaran untuk memperbaiki segala kemudahan dan infrastruktur negara turut menjadi syarat penting bagi membuktikan keupayaan serta kemampuan kita yang hanya boleh menguntungkan rakyat jika tidak menang sekalipun.

Harus diingat bahawa kejayaan menjadi tuan rumah bukanlah penentu dalam menjamin pencapaian matlamat. Sebabnya, untuk memenangi sesuatu pertandingan mestilah memenangi semua perlawanan yang ada. Kemudian, untuk memenangi satu-satu perlawanan pula hendaklah menjaringkan gol sebanyak mana yang mungkin sambil memastikan gol sendiri tidak dibolosi melebihi jaringan gol terhadap pihak lawan. Katakanlah kita belum bersedia untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah disebabkan kekangan-kekangan tertentu, maka hanya satu sahaja lagi jalan yang tinggal untuk menjadi juara. Jalan yang dimaksudkan adalah pembangunan bola sepak negara yang menyeluruh. Masa yang lama dan perlahan sudah tentu diperlukan bagi mencapai matlamat dengan cara ini walaupun lebih berkesan. Cara ini bukan sekadar menumpukan perhatian pada peringkat akar umbi sahaja dan bukan pula mementingkan aspek pemasaran serta pencarian bakat semata-mata. Ia lebih menjurus kepada penekanan secara komprehensif terhadap semua aspek termasuklah aspek-aspek yang disebutkan tadi.

Hatta, proses pembangunan yang efektif biasanya memerlukan banyak pengorbanan serta mengambil masa yang sudah tentu agak memenatkan. Walaupun begitu, kesukaran dan kesusahan yang perlu dialami adalah lebih daripada berbaloi jika dibandingkan dengan hasil daripada usaha yang dilakukan. Cuma persoalan yang timbul ialah, di mana hendak dimulakan? Sebagai permulaan, sejarah lampau kita perlu ambil sebagai pengajaran di samping kita tanamkan pula semangat dan cita-cita murni demi masa hadapan. Jangan lagi kita menggantung atau membubarkan skuad negara setiap kali kita tewas samada mengejut ataupun tidak. Apa yang patut dilakukan adalah terus bangun dan lawan walaupun sentiasa ditolak sehingga tiada lagi yang menolak. Sebelum memulakan pembangunan ini, perancangan yang teliti perlu disediakan. Adalah lebih mudah sekiranya kita gunakan apa yang sudah ada berbanding mewujudkan sesuatu yang betul-betul baru. Umpamanya, Liga Malaysia adalah satu pentas yang sangat baik bagi bola sepak negara. Sejarahnya yang panjang memberi suatu nilai yang tidak terhingga. Format yang tetap serta tersusun dengan rapi adalah cara yang paling murah dan mudah. Pengukuhan liga tempatan adalah cara yang paling berkesan dan tidak perlu membazirkan sumber yang terlalu banyak sepertimana projek-projek bernilai berbilion ringgit yang belum tentu mendapat hasilnya.

Ingin diberi satu analogi, badan induk bola sepak negara (iaitu FAM) adalah ibarat peniaga dan juga tokei. Liga-M adalah kedainya manakala pasukan kebangsaan adalah produk utama yang menjadi kebanggaan pelanggan yakni para penyokong. Persatuan-persatuan negeri dan pasukan-pasukan kelab pula merupakan kakitangan yang saling bekerjasama. Sememangnya semua pekerja patut berganding bahu untuk menjual produk tersebut kerana tanpa produk itu maka tiadalah perniagaan. Kedai tersebut mesti dihias cantik-cantik supaya menarik perhatian orang ramai. Liga-M perlu diubah formatnya (dan tidak lagi diubah-ubah selepas itu) seperti yang telah dicadangkan kerana formula itulah yang terbaik berdasarkan sejarah kita sendiri. Lihat sajalah liga kita pada tahun 90an yang begitu meriah (lebih ramai orang tengok Liga-M berbanding EPL pada masa itu) sehingga kita merosakkannya dengan tidak mempelajari sejarah. Apa yang terjadi adalah semangat patriotik turut hilang bersama-sama minat terhadap bola sepak negara sendiri. Sepatutnya, FAM sebagai tuan kedai haruslah menggunakan kuasa dengan sebaiknya untuk membuat keputusan demi menjaga kedainya. Persatuan-persatuan negeri dan pasukan-pasukan kelab pula hendaklah memberi tumpuan dan sumbangan tenaga mereka ke arah memajukan perniagaan, bukan untuk kepentingan peribadi sahaja. Dari segi logik, mereka inilah yang menghasilkan serta menyediakan pemain-pemain untuk diserap ke pasukan kebangsaan dan bukannya berebut-rebut pemain dengan pasukan kebangsaan mereka sendiri.

Kesimpulannya, bak kata pepatah jika ada kemahuan di situ ada jalan. Jalannya sudah ada, yang tinggal hanyalah kemahuan. Kemahuan para peminat untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang bernas, kemahuan pihak media untuk menyebarkan maklumat yang tepat, kemahuan para penyokong untuk menyokong pasukan negara sendiri, kemahuan pihak berkuasa untuk membuat keputusan yang seadil-adilnya, kemahuan para pemain dan jurulatih untuk mengangkat martabat serta mengharumkan nama negara, kesemuanya memainkan pelbagai peranan yang sangat penting dalam memastikan kejayaan penuh inspirasi yang cemerlang. Yakinlah, dengan niat, ikhtiar, serta usaha yang betul, pembangunan yang dilakukan dengan ikhlas sudah pasti mampu membawa kita ke arah kemajuan yang dicari-cari selama ini, dengan izinNya.


No comments: