Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, February 15, 2013

Form is temporary, class is permanent.

Biasanya, prestasi (form) tidak kekal lama dan boleh berakhir pada bila-bila masa sahaja. Akan tetapi, reputasi (class) selalunya dapat bertahan dengan lebih lama kerana ia merupakan tanda aras kehebatan seseorang pemain. Seorang pemain bolasepak yang bagus (sebagai contoh, Javier Zanetti dan Ryan Giggs) tetapi tidak bermain dengan baik dalam sesuatu perlawanan akan kembali ke tahap yang sebenar dalam perlawanan yang seterusnya. Asalkan mereka terus diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Sekiranya mereka tidak kembali lagi ke tahap yang sebenar, itu bermakna masa mereka sebagai pemain bolasepak di peringkat yang tertinggi telah pun berakhir (umpamanya seperti Michael Owen yang tersilap langkah apabila meninggalkan kelab asalnya Liverpool dan berpindah ke Real Madrid yang mempunyai terlalu banyak pemain bintang hebat yang perlu disaingi).

Tak seperti Alan Shearer (kanan) & Paul Scholes (kiri), karier cemerlang
Owen (tengah) adalah lebih singkat kerana prestasinya yang merudum.

Di Malaysia, boleh diperhatikan bahawa para pemain tempatan biasanya mampu bersaing dengan baik di peringkat antarabangsa pada usia yang muda remaja. Pemain-pemain muda ini mencapai tahap kemuncak prestasi apabila berumur dalam lingkungan 23 hingga 25 tahun. Selepas umur 25 tahun ke atas, kebanyakan daripada mereka tidak mampu lagi beraksi sepertimana di awal karier mereka. Rata-rata yang bermain bersama skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF 2010 (K. Rajagopal sebagai ketua jurulatih) adalah pemain-pemain yang berumur 25 tahun ke bawah (kecuali Razman Roslan, Safee Sali, dan Amri Yahyah) manakala kejuaraan Sukan SEA yang dimenangi 2 kali berturut-turut pada tahun 2009 (juga dilatih oleh Datuk K. Rajagopal) dan 2011 (dilatih oleh Ong Kim Swee) pula diwakili oleh para pemain yang berumur di bawah 23 tahun.

Satu pengecualian: Gaya permainan Amri Yahyah yang licik serta
lincah sentiasa ditagih oleh para peminat bolasepak tempatan
adalah salah satu contoh bahawa kuda tua masih berbisa.

Kini, majoriti pemain senior kebangsaan tersebut sudah mula menghampiri tahun-tahun akhir kemuncak prestasi mereka yakni dengan melepasi paras umur yang disebutkan sebelum ini. Oleh itu, sebagai persiapan jangka masa pendek, skuad Harimau Muda A (bawah-23), B (bawah-19), malah C dan D (seperti yang dicadangkan oleh Shebby Singh) sudah mula dibentuk bagi menggantikan skuad senior walaupun skuad senior sendiri pun masih belum benar-benar matang dengan sepenuhnya. Sayang sekali apabila pemain-pemain veteran serta berpengalaman seperti Hairuddin Omar, Shukor Adan, Irwan Fadzli Idrus, Indra Putra Mahayuddin mahupun Akmal Rizal Rakhli yang masing-masing berumur awal 30-an nampaknya tidak lagi mendapat tempat atau peluang untuk menabur bakti kepada negara selepas ini meskipun belum bersara.

Adakah semua ini hanya sangkaan semata-mata? Sebenarnya, anggapan yang pelbagai ini terutamanya yang negatif adalah perkara-perkara yang boleh diperbaiki dan ditambah baik. Walaupun skuad negara telah terlepas peluang untuk beraksi di dalam Sukan Olimpik 2012 di London dan Piala Dunia 2014 Brazil, harapan masih lagi ada untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015 yang akan diadakan di Australia. Maka, jangan disebabkan oleh kekalahan 0-2 kepada Qatar di tempat lawan dalam perlawanan kelayakan pertama yang lalu itu membolehkan pasukan kebangsaan dikutuk, dikeji, serta dicaci dengan sewenang-wenangnya. Ini bukan masanya untuk terlalu teruja (untuk terus menjadi juara tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh) apatah lagi mengibarkan bendera putih kepada pihak lawan. Harus disedari bahawa hasil usaha hanya boleh dicapai setelah perancangan yang rapi dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan ketelitian. Pengorbanan dari segi masa, wang, dan juga tenaga sudah tentu diperlukan dan sudah pasti jugalah bukan dalam jumlah yang kecil atau sedikit.


Untuk jangka masa pendek, pihak-pihak yang terlibat dengan arena bolasepak negara perlu meneruskan apa sahaja yang sedang berlangsung pada ketika ini (seperti Liga Malaysia umpamanya). 'Marahkan nyamuk, kelambu dibakar' tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan sahaja. Jikalau boleh (dan sepatutnya memang boleh), Pesta Bola Merdeka dihidupkan semula dan dianjurkan secara konsisten. Cuma untuk jangka masa sederhana, beberapa sasaran perlu ditetapkan agar kesinambungan pembangunan dan kemajuan bolasepak negara terus mara. Antara yang boleh dijadikan sebagai sasaran jangka masa sederhana adalah seperti memastikan skuad negara sekurang-kurangnya mampu melangkah sehingga ke peringkat akhir dengan segala persiapan ketika kelayakan Piala Dunia 2018 Rusia (atau Piala Dunia 2022 Qatar) nanti. Selain itu, Piala AFF (pasukan senior) dan Sukan SEA (pasukan kebangsaan bawah-23) juga hendaklah terus dijadikan sebagai sandaran untuk membawa pulang kejuaraan demi kejuaraan yang sentiasa dihasratkan oleh seluruh rakyat berbilang kaum yang mahu martabat negara dijulang tinggi.

Seterusnya, peningkatan yang lebih menyeluruh dan komprehensif pula akan ditumpukan kepada perancangan jangka masa panjang. Perancangan jangka masa yang panjang secara logiknya memerlukan semua pasukan negeri untuk bersaing di dalam sebuah liga profesional serta tersusun tanpa perlu lagi risau akan masalah kewangan yang tidak menentu atau membimbangkan seperti yang dihadapi pada waktu ini. Suatu skim kewangan perlu diatur oleh pihak pengurusan FAM dan MSL dengan kadar segera bagi mengatasi masalah yang semakin lama semakin meruncing ini. Pemain-pemain tempatan pula amat diharapkan untuk mampu menonjolkan diri secara konsisten sebagai pemain utama bagi pasukan negeri masing-masing, tidak kiralah samada sebagai penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah, mahupun penyerang, dan tidak lagi hanya berada di bangku simpanan serta melihat sahaja kelibat para pemain import (yang kebanyakannya tak segah mana pun) berada di atas padang.

Ashri Chuchu, pemain sayap yang berasal dari Sarawak
ini berpotensi besar untuk menggalas tugas sebagai
penyambung legasi pemain-pemain hebat negara.

Sudah tiba masanya untuk para pemain kebangsaan yang menjadi tunjang kepada skuad negara seperti Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim, dan Norshahrul Idlan Talaha (ketiga-tiga, Darul Takzim FC), serta pemain-pemain lain yang ingin berjasa kepada tanahair yang tercinta ini mengambil setiap peluang yang tiba dengan sebaik-baiknya. Ini kerana peluang yang ada itu sangatlah terhad dan sekiranya terlepas, tidak akan kembali lagi. Mungkin pemain-pemain seperti Fauzi Roslan (Pahang) dan Norazlan Razali (Selangor) belum mempunyai reputasi yang hebat tetapi jika prestasi yang cemerlang boleh diterjemahkan juga dengan baik ke peringkat tertinggi, tiada apa yang mustahil. Masa juga sudah tiba untuk pemain-pemain bintang muda negara seperti Nazmi Faiz Mansor, Rozaimi Abdul Rahman, Irfan Fazail, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Zakaria, Fandi Othman, Syahrul Azwari Ibrahim, Izham Tarmizi, Zamir Selamat, Gary Steven Robbat, A. Thamil Arasu, Ashri Chuchu, dan Ahmad Hazwan Bakri untuk mempamerkan kehebatan bukan lagi secara individu tetapi sebagai sebuah pasukan (skuad kebangsaan) yang tetap berdiri teguh dalam usaha mencipta sejarah yang gemilang.

No comments: