Adakah masih relevan? Orang-orang lama FAM mewakili Malaysia. |
Sekiranya tidak lama dahulu hanya jersi-jersi pasukan bolasepak luar negara yang dibeli dan dipakai dengan megah, kini jersi skuad kebangsaan juga sudah mula kelihatan. Jersi skuad kebangsaan tidak lagi dipandang lekeh. Tiada lagi perasaan malu untuk dipakai. Jersi kuning berbelang hitam ataupun yang berwarna biru itu dipakai tanpa segan silu malah dengan bangganya. Seluruh warganegara Malaysia dengan bersatunya kembali yakin bahawa Malaysia sememangnya boleh. Semuanya adalah hasil usaha serta penat lelah 11 orang pemain yang berada di atas padang dan juga beberapa individu yang berada di tepi garisan. Pihak-pihak yang lain hanya boleh tumpang gembira itupun kerana telah memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi. Tidak seharusnya sesiapa pun yang boleh mengambil kejayaan tersebut dengan merampasnya daripada mereka.
Datuk K. Rajagopal dan beberapa pemain kebangsaan beramah mesra dengan para peminat. (sumber: Berita Harian) |
Malangnya, ada pihak yang menganggap mereka lebih berhak mendapat perhatian serta penghargaan daripada kejayaan-kejayaan yang dikecapi. Lebih malang lagi apabila wira-wira negara yang dijulang oleh rakyat sendiri cuba diketepikan dan kalau boleh dipadamkan terus namanya. Ya, harus diakui bahawa adakalanya tiap-tiap manusia itu jatuh setelah bangunnya. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang patut berbuat zalim atau dibiarkan dizalimi. Tujuan sebenar artikel ini bukanlah untuk menghentam, apatah lagi untuk mengutuk sesiapa, tetapi hanyalah untuk berkongsi dan berpesan kebaikan kepada yang boleh mendengar dan melihat. Sekiranya ingin dihormati maka hormatilah juga orang lain. Masing-masing mungkin berbeza pendapat dan pandangan namun ia tidak menjadi halangan bagi orang-orang yang ikhlas untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
Baru-baru ini (menurut laporan akhbar bertarikh 7 April 2013), Datuk K.Rajagopal telah didakwa atas kesalahan melanggar arahan FAM. Sekiranya beliau didapati bersalah oleh pihak FAM, beliau boleh digantung selama 6 bulan dan didenda sebanyak RM8,000. Beliau dituduh sedemikian rupa gara-gara ulasan sidang akhbar yang diberikan beliau setelah kekalahan pasukan kebangsaan kepada Arab Saudi dengan jaringan 4-1 dalam satu perlawanan persahabatan pada 17 Mac yang lepas. Kritikan membina yang sepatutnya tidak dipandang serong itu adalah mengenai betapa kurangnya penyerang tempatan yang berwibawa dalam Liga Malaysia yang disebabkan oleh kehadiran pemain-pemain import. Buat entah berapa kali, Artikel 88 Statut FAM menjadi sebutan ramai tak semena-mena.
Jika diperhatikan dengan ikhlas satu persatu perkataan yang dilontar oleh jurulatih negara tersebut memang ada benarnya. Semenjak tahun 1989 hingga setakat ini, hanya 12 kali penyerang tempatan menjadi Pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak liga utama). Pemenang-pemenang tersebut adalah Zainal Abidin Hassan (1989 & 1992), Hashim Mustapha (1993 & 1994), Azman Adnan (1999), Azizul Kamaluddin (2000), Norizam Ali Hassan (2001), Khalid Jamlus (2002), Indra Putra Mahayuddin (2004), Nizaruddin Yusof (2009), Ashari Samsudin (2010), dan Abdul Hadi Yahya (2011). Lebih menarik lagi, ketika dalam tempoh kecemerlangan bolasepak negara mulai tahun 2009 hingga 2011 apabila skuad kebangsaan memenangi 2 pingat emas Sukan SEA dan juga pertama kali tempat pertama dalam kejohanan dwi-tahunan Piala AFF, ia berlaku semasa ketiadaan pemain import dalam liga tempatan.
Ingin ditegaskan di sini, awang import bukanlah punca utama kepada masalah kekurangan penyerang tempatan yang berkaliber. Isu yang menjadi tumpuan adalah bagaimana untuk mengadaptasi atau menyesuaikan keadaan mengikut cabaran yang dihadapi. Memang benar, kehadiran para pemain import boleh memeriahkan lagi liga tempatan dengan memberi saingan yang lebih mencabar kepada para pemain lokal. Selain itu, para pemain import juga boleh memberi sumbangan dengan memberi tunjuk ajar dari segi perkongsian ilmu dan pengalaman mereka yang boleh digunapakai oleh para pemain tempatan untuk berdepan saingan di peringkat yang lebih tinggi pula iaitu di peringkat antarabangsa (yakni benua Asia mahupun peringkat global). Walau bagaimanapun, sekiranya kehadiran pemain-pemain import tidak diurus dengan bijak maka sudah tentulah lain pula kesudahannya nanti.
Oleh yang demikian, satu cadangan yang boleh dinyatakan di sini adalah, usaha perlu menumpukan kepada menghasilkan "pemain eksport" yakni melahirkan pemain-pemain tempatan yang mampu berhijrah dan menyumbangkan khidmat baktinya di luar negara. Sebelum ini memang telah ada beberapa pemain yang pernah bermain di luar negara, antaranya Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, dan terbaru sekali Nazmi Faiz Mansor. Kejayaan bukannya satu perjalanan yang mudah serta lancar tanpa ada dugaan. Maka, ianya sudah pastilah mengambil masa yang agak panjang dan sukar untuk berlaku dalam sekelip mata. Cuma, kepentingan untuk berusaha ke arah cita-cita tersebut memerlukan kejujuran serta kesedaran yang tinggi. Namun, usaha tersebut amatlah berguna bagi menyelesaikan masalah kekurangan penyerang tempatan yang berbisa walaupun adanya pemain-pemain import dalam pertandingan liga tempatan.
Bagaimana dengan adanya pemain eksport boleh menyelesaikan masalah yang diutarakan oleh K. Rajagopal ini? Jawapannya adalah kerana pemain eksport adalah salah satu penyelesaian kepada punca sebenar masalah tersebut. Punca sebenar kepada masalah tersebut tidak ragu-ragu lagi adalah disebabkan oleh kurangnya peluang bagi pemain-pemain penyerang tempatan untuk beraksi pada tahap tertinggi secara konsisten. Keadaan ini berlaku terutama sekali apabila kebanyakan pasukan dalam liga tempatan terlalu bergantung kepada pemain import sebagai penyerang utama dan lebih teruk lagi, penyerang tempatan disisihkan malah ada yang diketepikan terus. Disebabkan oleh kekurangan masa bermain maka secara langsung dan tidak langsungnya menyebabkan pemain-pemain tempatan tidak dapat mengasah bakat serta kemahiran mereka dengan sempurna.
Walaupun adanya had yang ditetapkan untuk sesebuah pasukan untuk memiliki pemain import, syarat tersebut masih lagi belum dapat membantu para pemain tempatan untuk diberi jaminan masa bermain yang lebih banyak. Akan tetapi, dengan adanya konsep pemain eksport mungkin sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah ini (in shaa Allah). Caranya mudah sahaja dan juga praktikal. Syarat yang patut dikenakan ke atas setiap pasukan untuk mengambil seorang pemain import adalah dengan berjaya menjual seorang pemain tempatan ke mana-mana pasukan luar negara yang bagus. Sekiranya sesebuah pasukan dapat membuktikan bahawa pasukan tersebut telah melahirkan seorang pemain eksport maka barulah kehadiran pemain import boleh dipertimbangkan. Solusi ini mungkin belum pernah dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya para pemain tempatan terutama sekali yang bermain sebagai penyerang tetap mempunyai peluang untuk bermain dengan konsisten. Jika tidak dapat bermain di negara sendiri, paling tidak pun dapat juga bermain walaupun di tempat orang. Yang paling penting, para pemain tempatan perlu sentiasa bermain untuk mengekalkan prestasi pada tahap yang terbaik.
Satu lagi cadangan yang kemungkinan besar boleh membantu melahirkan pemain-pemain tempatan (samada penjaga gawang, pemain pertahanan, pemain tengah, pemain sayap, mahupun penyerang) yang hebat adalah dengan penstrukturan semula liga dengan objektif untuk benar-benar mengisi erti profesionalisme dalam liga profesional masa kini demi masa hadapan. Adalah sangat baik sekali bagi pasukan-pasukan negeri (14 buah negeri) sahaja yang bertanding dalam sebuah liga yang profesional sebagai divisyen yang tertinggi. Turut termasuk adalah 2 lagi afilisasi FAM iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (yang boleh juga dinamakan semula sebagai Labuan dan Putrajaya agar kelihatan serta kedengaran lebih menarik). Pasukan-pasukan kelab pula cukup sekadar berada dalam divisyen lain yang bertahap semi-profesional sahaja.
Hujahnya, jurulatih kebangsaan boleh mengenal pasti dengan lebih mudah pemain-pemain yang berkualiti melalui pasukan-pasukan negeri yang lebih besar namanya malahan lebih ramai lagi penyokongnya. Buktinya, lihatlah di mana NS Chempaka FC, Public Bank FC, Melaka TMFC, KL Plus FC, ataupun MPPJ Selangor FC berada sekarang. Apatah lagi buat masa ini, pasukan-pasukan dari Liga Malaysia hanya layak bertanding dalam Piala AFC dan bukannya AFC Champions League yang tentunya lebih berprestij. AFC Cup disertai oleh negara-negara Asia yang membangun seperti yang terdapat dalam dokumen AFC yang diberi nama 'Vision Asia'. Negara-negara yang dikategorikan sebagai membangun tersebut adalah negara-negara yang berada di luar kelompok 14 negara yang terbaik Asia bersandarkan kriteria-kriteria yang tertentu.
Dua piala yang berbeza: AFC Champions League & AFC Cup |
Padahal, sejarah pertandingan bolasepak Malaysia muncul semenjak dari tahun 1921 lagi dengan teranjurnya piala berprestij Piala Malaya (kini dikenali sebagai Piala Malaysia). Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation (RSSSF) pun mempunyai rekod mengenainya. Namun begitu, liga tempatan sebenarnya bermula pada tahun 1982 apabila liga pada waktu itu berfungsi sebagai peringkat kelayakan ke Piala Malaysia. Sehingga tahun 1988, Liga Malaysia masih lagi bertaraf amatur. Dari tahun 1989 hingga 1993 pula, Liga Malaysia berada pada tahap semi-profesional sebelum menjadi sepenuhnya 'profesional' pada tahun 1994. Liga profesional tersebut dikenali dengan meluas sebagai Liga-M atau M-League. Apabila FAM cuba menswastakan liga tempatan melalui MSL Sdn. Bhd. yang bermula pada tahun 2004, namanya kini telah pula berubah kepada Malaysia Super League (MSL). Berdasarkan maklumat terkini International Federation of Football History & Statistics (IFFHS), Liga Malaysia berada di kedudukan ke-74 di kalangan liga-liga bolasepak seluruh dunia manakala diklasifikasikan sebagai liga yang berada di kedudukan ke-18 dalam Asia dengan sekadar Gred D menurut Asian Football Confederation (melalui AFC Pro-League Ad-Hoc Committee Assessment Chart). Keadaan ini menunjukkan betapa masih banyak perkara yang perlu diusahakan.
Dengan penuh rasa rendah diri dan hormat, pihak pentadbiran FAM terutamanya Jawatankuasa Tatatertib dipohon untuk berhenti mencari kesalahan orang lain semata-mata. Pada masa yang sama, elok sekiranya anggota-anggota gabungan FAM dapat berusaha untuk memperbaiki segala kekurangan yang boleh merencatkan kesinambungan pembangunan bolasepak negara. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pula diseru untuk meneliti serta mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan di sini mahupun cadangan-cadangan lain di luar sana supaya boleh dilaksanakan segera dengan berkesan. Sekiranya ingin melihat skuad kebangsaan layak buat pertama kali ke Piala Dunia, atau kembali layak ke Sukan Olimpik selepas layak buat kali terakhir pada tahun 1980, atau memenangi sebarang pingat dalam Sukan Asia, perkara pertama dan paling penting yang perlu dilakukan sekarang adalah mengenal pasti kelemahan yang ada terlebih dahulu. Kemudian, memperbaiki kelemahan tersebut seiring dengan meningkatkan lagi kekuatan yang sedia ada demi memartabatkan bolasepak negara. Mohon maaf sekiranya tersilap kata, terkasar bahasa. Selamat maju jaya diucapkan. Majulah sukan untuk negara!
No comments:
Post a Comment