Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Sunday, December 22, 2013

Kuatkan semangat. Teruskan berusaha.

"MALAYSIA!"

Untuk mencapai sebarang kejayaan, kita mestilah berfikiran positif. Benar, kalah menang adat permainan tapi bila melawan biar bermaruah. Jangan sesekali mudah mengalah. Apabila menemui kegagalan, kuatkan semangat. Teruskan berusaha. Berusaha dan berusaha lagi sehingga berjaya. Setelah berjaya, jangan pula kita lupa. Jangan lupa untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih supaya boleh terus berjaya. Kita juga boleh menjadi lebih berjaya andai orang lain pun boleh turut berjaya bersama-sama kita. Begitulah cara yang terbaik untuk betul-betul menjadi orang yang berjaya.

Sejarah bolasepak Malaysia mempunyai corak dan ragamnya yang tersendiri. Walaupun belum sehebat negara Brazil umpamanya, namun Malaysia tetap mempunyai kisah serta sejarah yang boleh dibanggakan. Seperti mana negara-negara lain, Malaysia juga ada masa naik dan ada masa turun. Yang lepas dijadikan ukuran dan mulai sekarang, pandanglah ke hadapan. Usah lagi menoleh ke belakang. Dahulu, Dollah Don merupakan yang pertama sekali digelar sebagai 'Harimau Malaya' dan kini sudah tiba masanya untuk melahirkan pemain-pemain yang sememangnya layak bertarung sebagai 'Harimau Malaya'. Sekiranya Abdul Ghani Minhat dahulu dikenali sebagai 'Raja Bola', sekarang adalah masa untuk mula mencari pewarisnya. Jika suatu ketika dahulu pasukan kebangsaan pernah mempunyai Mokhtar Dahari atau nama panggilannya 'SuperMokh' sebagai penyelamat, maka skuad negara pada waktu ini juga harus mempunyai penyelamat baru sebagai pengganti.

Many people assume that Malaysian national football team was nicknamed as 'Harimau Malaya' after the Malayan tiger (Panthera tigris jacksoni) or "Pak Belang" although the nickname was originally given to commemorate a former soccer superstar, Dollah Don.

Seorang lagenda bertemu seorang lagenda, Mokhtar dan Maradona.

Brazil sebagai salah sebuah kuasa besar bolasepak antarabangsa pun mempunyai kisah suka dan duka. Satu-satunya negara yang telah bermain dalam kesemua Piala Dunia yang mula dipertandingkan sejak tahun 1930, Brazil juga merupakan negara yang paling banyak memenanginya iaitu sebanyak 5 kali (pada tahun 1958, 1962, 1970, 1994, dan 2002). Namun begitu, Brazil juga pernah mengalami beberapa kekecewaan. Kisah yang mungkin paling perit bagi Brazil adalah sewaktu tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang Uruguay yang diadakan di halaman sendiri (Estadio do Maracana, Rio de Janeiro) pada tahun 1950. Dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada tahun 1998 pula, Brazil turut tewas walaupun hadir sebagai penyandang juara serta pasukan pilihan, kali ini kepada pasukan tuan rumah iaitu Perancis. Walau bagaimanapun, Brazil masih mampu bangkit dan menebus kekalahan pada tahun 1998 apabila memenangi Piala Dunia kelimanya pada tahun 2002 di Korea/Jepun setelah menewaskan pasukan Jerman di perlawanan akhir. Apa pula kesudahannya dalam Piala Dunia 2014 apabila Brazil sekali lagi menjadi tuan rumah, kita nantikan sahaja.

Ronaldo yang asal sebelum munculnya Cristiano Ronaldo.

Satu lagi pasukan gergasi bolasepak yang wajar dijadikan contoh teladan ialah sebuah kelab dari Sepanyol iaitu FC Barcelona. Walaupun situasi pasukan kelab dengan pasukan kebangsaan memanglah berbeza tetapi kisah kebangkitan yang ditunjukkan oleh Barcelona sememangnya wajar dicontohi. Dalam sejarah bolasepak Sepanyol, Barcelona sering dibayangi oleh seteru utama mereka iaitu Real Madrid C.F. Semasa zaman kegemilangan pemain lagenda kelahiran Argentina iaitu Alfredo Di Stefano, beliau telah membawa pasukan Real Madrid memenangi lima Piala Eropah secara berturut-turut. Bukan itu sahaja, Real Madrid juga berjaya mendapatkan pemain terbaik Barcelona pada suatu ketika iaitu Luis Figo (pemain antarabangsa dari Portugal) untuk bermain di Stadium Santiago Bernabeu. Figo dengan bangganya diletakkan dalam kesebelasan utama Real Madrid yang dikenali sebagai skuad 'Galacticos' bersama gandingan barisan pemain terbaik dunia pada waktu itu antaranya Zinedine Zidane, Ronaldo, David Beckham, Roberto Carlos, dan Raul Gonzalez.

Di sebalik kehebatan Real Madrid, Barcelona hanya mampu melihat sahaja bahkan turut merasai kesukaran untuk memberikan saingan yang kuat kepada Real Madrid sehinggalah Barcelona mengambil pemain hebat Belanda, Edgar Davids. Di samping pelantikan Frank Rijkaard sebagai ketua jurulatih pada tahun 2003, Edgar Davids telah memulakan detik kebangkitan Barcelona dengan memberikan semula keseimbangan kepada skuad yang sebelum itu agak terumbang-ambing buat sekian lama. Di samping itu, bekas pemain kebangsaan Belanda itu juga telah membantu pemain-pemain lain (Ronaldinho, Xavi Hernandez, Carles Puyol, dan Javier Saviola) untuk menyerlah serta meraih kemenangan demi kemenangan. Apabila Samuel Eto'o menyertai Barcelona pada tahun 2004, Barcelona akhirnya dapat juga merampas kembali kejuaraan liga utama Sepanyol daripada Real Madrid setelah penantian yang panjang dan lebih penting lagi, adalah apabila menjadi juara Liga Juara-juara Eropah pada tahun 2006.

Sejarah Barcelona telah banyak berubah semenjak era Leo Messi.
Kisah kebangkitan Barcelona masih belum berakhir lagi setakat itu kerana mereka meneruskan lagi kejayaan mereka sehingga mencapai kemuncaknya pada zaman Pep Guardiola menjadi ketua jurulatih. Josep "Pep" Guardiola merupakan bekas pemain yang memulakan kerjaya bolasepaknya di Barcelona sewaktu ketika masih muda, seterusnya pernah menjadi kapten dan berada dalam skuad (dikenali sebagai 'Dream Team') yang dikendalikan oleh seorang jurulatih dan pemain lagenda dari Belanda, Johan Cruyff. Barcelona yang dibimbing oleh Guardiola berjaya mencatat sejarah apabila menjadi pasukan yang pertama sekali memenangi kesemua 6 pertandingan dalam masa setahun (La Liga, Copa del Rey, Champions League, Spanish Super Cup, UEFA Super Cup, FIFA Club World Cup). Lebih menarik lagi, hampir kesemua pemain kesebelasan utama mereka kini (yang terdiri daripada Lionel Messi, Victor Valdes, Martin Montoya, Gerard Pique, Marc Bartra, Jordi Alba, Sergio Busquets, Cesc Fabregas, Andres Iniesta, Pedro Rodriguez, dan Xavi) merupakan pemain-pemain yang berasal dari akademi bolasepak mereka sendiri iaitu La Masia.

Namun begitu, setiap yang naik pasti akan turun. Begitulah adat di dunia ini. Barcelona boleh sahaja ditewaskan oleh Inter Milan, Chelsea, dan Bayern Munich dalam edisi-edisi Liga Juara-juara Eropah yang lepas. Walaupun Brazil berjaya menumpaskan Sepanyol (juara bertahan Eropah dan dunia) untuk memenangi Piala Konfederasi 2013, tidak mustahil pasukan-pasukan lain boleh menewaskan Brazil pula dalam Piala Dunia yang akan datang. Semua itu terletak kepada kemahuan dan bak kata pepatah, 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. Justeru itu, semua pihak (para pemain, pegawai, wartawan, penyokong, dan peminat) yang benar-benar bersama dengan pasukan kebangsaan Malaysia samada skuad Harimau Malaya mahupun skuad Harimau Muda hendaklah mengambil pelajaran, pengajaran, serta iktibar daripada apa yang telah berlaku. Walaupun skuad bolasepak Malaysia gagal mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2013 di Myanmar pada kali ini, perkara ini bukanlah alasan ataupun peluang untuk memperleceh, memperlekeh apatah lagi mencaci mereka yang telah menabur jasa kepada negara.

Rozaimi & Nazmi: Tonggak masa hadapan negara.
(sumber gambar: goal.com)

Sokonglah, malah bantulah negara sebanyak mana yang boleh agar kegemilangan bolasepak Malaysia terus bersinar dan semakin terang sinarannya. Moga-moga pemain-pemain muda seperti Md Rozaimi Abd Rahman, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, Ashri Chuchu, Mohd Izham Tarmizi, Mohd Irfan Fazail, Ahmad Hazwan Bakri, Thamil Arasu Ambumamee, Shahrul Mohd Saad, Saarvindran Devandran, Reuben Thayaparan Kathiripillai, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd Nasir Basharuddin, Muhammad Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim, Fandi Othman, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Mohd Amer Saidin, Wan Zaharulnizam Zakaria, Mohd Fadhli Mohd Shas dan rakan-rakan akan terus bersemangat untuk berjuang tanpa putus asa demi negara di samping pemain-pemain kebangsaan skuad senior seperti Khairul Fahmi Che Mat, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim, dan Norshahrul Idlan Talaha. Barangkali boleh juga termasuk Shukor Adan, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin dan mungkin Mohd Badhri Mohd Radzi. Selagi mereka masih boleh bermain (yakni belum bersara) maka selagi itulah khidmat bakti mereka masih ditagih negara. Sekiranya negara betul-betul ketandusan pemain dan tiada lagi bakat muda untuk digilap, panggil sahaja pemain-pemain lama (Soh Chin Aun, Santokh Singh, Hassan Sani, James Wong, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hashim Mustapha, Reduan Abdullah, dan lain-lain) yang sudah pasti masih mahu bermain untuk negara kerana semangat mereka belum padam dan tetap membara.

The 12th player

No comments: