Bagi yang kurang faham, soalan-soalan tersebut tidak perlu pun dijawab kerana ianya adalah persoalan yang retorik. Usah lagi berpura-pura tidak tahu memandangkan peribahasa Melayu ada menyebut, "Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula". Topik apa lagi yang menarik kalau bukan tentang berjaya atau gagalnya bolasepak Malaysia di persada dunia. Tanpa perlu melihat pada kedudukan (ranking) dalam dunia, boleh kata semua sudah pun tahu di mana tahap sebenar bolasepak negara. Walaupun terdapat lebih banyak pihak yang suka memandang serong terhadap situasi semasa, ini tidak bermakna tiada langsung perkembangan yang positif. Perkembangan yang positif sudah tentu ada cuma keadaan nampaknya semakin merosot dan akan terus merudum sekiranya mentaliti masih di takuk lama.
Pasukan lawan akan sentiasa cuba menyekat kemaraan kita. |
Baru-baru ini, pasukan bawah-13 kebangsaan yang dikendalikan oleh National Football Development Programme Malaysia (Pelan Pembangunan Bolasepak Negara atau NFDP Malaysia) memberikan sedikit sinar harapan apabila menjuarai Piala Iber edisi Costa del Sol. Walau bagaimanapun, suara-suara sumbang seperti sudah mula kedengaran apabila skuad anak didik Lim Teong Kim ini tersingkir di tangan pasukan bawah-13 Paris Saint-Germain di peringkat suku akhir dalam edisi Estoril. Walaupun tewas, mereka berjaya juga mencatatkan keputusan yang membanggakan di Eropah dengan 21 kemenangan, 2 seri, dan satu sahaja kekalahan dalam 24 perlawanan. Cuma, apa yang menimbulkan kebimbangan adalah ke mana hala tuju skuad muda ini selepas ini. Selain itu, adakah mana-mana pemain muda yang berbakat di negara ini terpaksa memilih untuk pergi ke Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (Gambang, Pahang), Frenz United Football Academy (Bentong, Pahang), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Bandar Penawar, Johor), dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (Kuala Lumpur) sahaja?
Bukannya tempat-tempat tersebut tidak bagus tetapi bukankah kesudahannya tetap sama? Yakni, para pemain akan menjadi hebat di Malaysia tetapi tidak di peringkat dunia. Sebab itu jugalah, pemain-pemain yang menyarung jersi negara di Brazil dipanggil pemain antarabangsa manakala pemain-pemain yang menyarung jersi negara di Malaysia dipanggil pemain kebangsaan sahaja. Yang sebenarnya, apa yang lebih merisaukan lagi adalah kemahuan pihak-pihak yang berkenaan untuk berubah. Bukankah sudah tiba masanya untuk keluar dari kepompong zon selesa dan mula menguji kemampuan di peringkat yang lebih tinggi pula? Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya. Walaupun begitu, kemahuan sahaja tidak cukup. Ia mestilah juga disandarkan kepada perancangan yang cukup rapi serta teliti. Gagal merancang bermakna merancang untuk gagal. Niat hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai.
Biarpun cabarannya adalah sukar, kesungguhan merupakan kunci kejayaan. |
Sejarah bolasepak Malaysia telah mengalami berbagai-bagai episod suka dan duka. Tunas Cemerlang, Olimpik 2000, Harimau Muda, MyTeam, Soccer Kids, Kem Bola, hinggalah Mencari Ramli, sepatutnya sudah cukup untuk memberi pengajaran tentang keberkesanan sesuatu idea dan juga pelaksanaannya. Tanpa adanya kesinambungan dan penyelarasan antara pihak awam dengan badan induk bolasepak Malaysia, segala usaha dan penat lelah akan menjadi sia-sia. Pengorbanan masa, harta, dan tenaga terbazir begitu sahaja apabila tiada hasil yang memberangsangkan. Maka, saranan ini jugalah yang mahu disampaikan kepada para ibubapa yang mempunyai anak-anak berpotensi tinggi dalam sukan bolasepak. Masa hadapan anak-anak dalam dunia bolasepak profesional kemungkinan hanya ada 10 hingga 15 tahun sahaja, itu pun jika tiada kecederaan yang teruk. Selepas itu, dunia kejurulatihan juga ada tetapi pilihannya amat terhad terutama sekali jika hanya bergantung kepada permintaan di Malaysia.
Daripada kira-kira 28 juta penduduk Malaysia, hanya 11 orang pemain yang akan bermain untuk skuad kebangsaan pada satu-satu masa. Kemudian, beberapa orang pemain di bangku simpanan, dan beberapa lagi dalam skuad-skuad belia serta remaja. Selebihnya, mereka bermain bolasepak secara suka-suka semasa beriadah atau menonton sahaja jika tidak terlibat secara langsung dalam pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M). Yang tidak meminati bolasepak pun tidak kurang banyaknya. Malah, yang tidak peduli langsung pun ada. Apa yang hendak dihairankan, Malaysia bukannya England. Secara rasminya, agama di Britain adalah Kristian berpaksikan Gereja Anglikan. Walaupun majoriti penduduknya adalah penganut Protestan berbanding Katolik, boleh dikatakan hampir semua daripada kedua-dua golongan menganggap bolasepak seperti agama! Sehinggakan, timbulnya pergerakan falsafah yang dipanggil Muscular Christianity. Bolasepak di sana sudah menjadi satu cara hidup kerana lebih ramai yang menghadiri stadium saban minggu berbanding rumah ibadat mereka yang hampir-hampir sahaja kosong. Bodohlah jika orang kita mahu meniru mereka. Lagipun, sehebat-hebat England, mereka hanya sekali sahaja memenangi Piala Dunia. Tak hebat mana pun sebenarnya.
Berbekalkan keyakinan dan kerendahan hati, rakyat Malaysia sememangnya boleh berjaya. |
Oleh itu, jika masing-masing betul-betul ikhlas dalam membentuk aspirasi menjayakan sukan bolasepak atau apa-apa bidang sekalipun, letaklah sesuatu pada tempatnya. Cukuplah sekiranya bolasepak dijadikan sebagai kerjaya, perniagaan, hiburan, atau alat perpaduan rakyat sahaja, tidak lebih daripada itu. Memiliki pasukan bolasepak kebangsaan yang hebat tidak membangunkan rakyat tetapi kehebatan rakyatlah yang membangunkan seluruh negara. Kini, rakyat sendiri yang perlu memilih dan membela nasib mereka sendiri. Lionel Messi semasa mula-mula berhijrah ke Sepanyol, dia datang bersama-sama keluarganya. Ibubapa dan adik-beradiknya turut banyak berkorban dan berjuang di sampingnya. Di negara sendiri mungkin susah tetapi di negara orang adalah lebih susah lagi jikalau tiada sokongan keluarga yang mantap. Pesanan buat mana-mana pemain bolasepak profesional warganegara Malaysia, pergilah berhijrah dan kembali semula dengan azam yang jitu untuk membantu negara. Pada masa yang sama, pihak yang berwajib juga haruslah mempersiapsiagakan liga tempatan agar bersedia menerima pemain-pemain yang berkaliber dari serata dunia termasuklah negara sendiri.
Kesimpulannya, duniabolasepak.blogspot.com ingin menyatakan bahawa bolasepak tanahair tidaklah boleh dikatakan gagal sepenuhnya kerana masih ramai yang belum mencampakkan tuala dan menyerah kalah. Ini amatlah bagus dan jangan sesekali menyerah kalah. Menyerah kalah itulah kegagalan yang sebenarnya. Namun, beralah tak bererti kalah. Selagi mana kebangkitan demi kebangkitan terus dilakukan walaupun jatuh beberapa kali, kekalahan hanyalah menjadi motivasi untuk menggapai kemenangan. Kalah menang adalah asam garam kehidupan tetapi selagi hayat dikandung badan, berputus asa bukanlah caranya. Ingatlah, bolasepak hanyalah satu permainan. Tidak berbaloi rasanya untuk menjatuh-jatuhkan orang lain apatah lagi menjatuhkan air muka sendiri. Cukuplah sekadar diam seribu bahasa sekiranya tidak mampu untuk membantu dengan cara yang elok. Jika molek dipersilakan, jika jelek sila hentikan. Sudah pasti, pesanan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk diri sendiri jua.
Rujukan:
http://www.thestar.com.my/Sport/Football/2014/04/13/NFDP-can-save-Malaysian-football/
No comments:
Post a Comment