Sebelum pasukan JDT melakar kemenangan yang bersejarah ini, pasukan Selangor FA sudah pun mengecapi pencapaian yang agak membanggakan apabila muncul naib juara Kejohanan Kelab Asia pada 19 Disember 1967. Hapoel Tel Aviv FC adalah pasukan yang berjaya merangkul kejuaraan edisi pertama pertandingan tersebut yang kini dikenali sebagai Liga Juara-juara AFC dengan menewaskan pasukan Abdul Ghani Minhat dan rakan-rakan 2-1 di Bangkok, Thailand hasil jaringan Danny Bursuk dan Yaakov Rachminovich. Namun, agak malang pula bagi pasukan kebangsaan Malaysia, kekalahan demi kekalahan turut dirasai dalam dua pertemuan pada tahun 1973 dan 1974 menentang pasukan rejim Zionis yang kini sudah berada dalam Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Di sebalik polisi antarabangsa yang diketahui umum, pentadbiran Malaysia nampaknya seperti bersedia untuk mengetepikan masalah politik dan bersaing secara sihat. Samada perkara tersebut menimbulkan tanda tanya orang ramai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing untuk menilainya.
Selangor FA dalam Kejohanan Kelab Asia 1967 |
Berhubung permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak tiga kali agar perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Dora, Hebron, Palestin pada 12 November 2015 dipindahkan ke lokasi yang neutral, perkara tersebut harus diteliti dengan sebaiknya. Kegusaran yang ditimbulkan mengenai isu keselamatan memang ada asasnya memandangkan ketegangan di Tebing Barat dilaporkan kian memuncak. Meminta pengesahan rasmi tentang jaminan keselamatan daripada pihak FIFA adalah tindakan yang bijak daripada FAM dan wajar dipuji. Walaupun begitu, FAM masih belum terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memastikan segala persiapan menjelang perlawanan tersebut benar-benar tersedia dan mencukupi. Seluruh skuad yakni para pemain dan juga para pegawai perlu dibekalkan dengan maklumat terkini dari masa ke semasa supaya mereka sentiasa peka tentang keselamatan dan tidak lalai daripadanya. Perancangan yang rapi bukan sahaja untuk menghadapi perlawanan, tetapi juga untuk sebelum dan selepasnya.
FC Barcelona melawat Stadium Dora, Hebron pada 3 Ogos 2013 (gambar: Mahmoud illean) |
Berita terbaru mengenai Arab Saudi menarik diri daripada perlawanan kelayakan menentang Palestin yang sepatutnya berlangsung pada hari Khamis (5 November 2015) selepas tertangguh tidak semestinya mempengaruhi Malaysia. Ini kerana Arab Saudi bakal berdepan hukuman, berkemungkinan besar Palestin diberi kemenangan percuma 3-0 manakala Arab Saudi didenda dengan jumlah yang besar malah boleh juga dibatalkan terus penyertaannya. Malaysia sudah pun menerima hukuman yang akan dijalankan selepas kejadian segelintir penyokong membuat kacau di Stadium Shah Alam tempoh hari (8 September 2015) dan sudah pasti tidak mampu lagi menerima sebarang hukuman tambahan. Dalam perlawanan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu di tempat sendiri pada 17 November 2015 kelak bakal berlangsung secara tertutup dan tanpa penonton. Di samping itu, FAM akan didenda sebanyak 40,000 Swiss francs dan turut diberikan amaran. Arab Saudi mungkin sudah mengira bahawa 12 mata penuh yang terkumpul daripada empat perlawanan sudah memadai untuk mendahului Kumpulan A berbanding Emiriah Arab Bersatu di tempat kedua dengan 7 mata, 5 mata bagi Palestin, 4 mata bagi Malaysia, dan hanya 2 mata buat Timor Leste pada waktu ini.
Harimau Malaya pernah diiring dengan kereta perisai di Jakarta |
Keengganan Arab Saudi bermain di Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis dipercayai atas sebab kebimbangan mereka tentang isu diplomatik yang turut dirasakan berhubung kait dengan isu keselamatan. Sekiranya Arab Saudi agak risau apabila bermain di Palestin nanti seolah-olah semacam mengiktiraf pendudukan rejim Zionis, bagi Palestin pula adalah sebaliknya. Palestin khuatir jika tiada lagi perlawanan bolasepak yang diadakan di Tebing Barat dan Genting Gaza, maka hilanglah peluang bagi rakyat Palestin khasnya dan peminat bolasepak seluruh dunia amnya untuk menikmati sukan bolasepak tanpa sekatan yang membebankan. Sebenarnya, apabila semua orang merendah diri dan benar-benar ikhlas mengidamkan keamanan, apa jua bentuk penindasan mahupun perkauman sememangnya mudah sahaja diketepikan. Hanya dengan keamanan yang dipupuk barulah manusia sejagat tidak lagi terancam nyawanya, manakala fikiran dan emosi juga menjadi tenteram.
Pada dasarnya, Malaysia tidak seharusnya cepat terpengaruh dengan apa yang berlaku di negara-negara lain. Menyedari bahawa Malaysia mempunyai keadaan serta situasi yang berbeza, pihak-pihak yang berwajib hendaklah berupaya membuat keputusan sendiri tanpa terikut-ikut secara membabi buta sebarang cara atau gaya yang kurang sesuai. Ambillah langkah berjaga-jaga dan sentiasa membuat pemantauan yang bersesuaian. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh itu, sama-sama berdoa agar Allah melindungi kita semua. Semoga berjaya!
#TutupAurat #HarimauMalaya #MalaysiaBoleh
1 comment:
Post a Comment