Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, December 14, 2015

Rahsia kejayaan adalah berfikiran positif!

Semua orang menginginkan kejayaan. Namun, sayangnya tidak ramai yang benar-benar faham apakah makna serta maksud di sebalik meraih kejayaan. Adakah persoalan ini terlalu mendalam? Tidak, bahkan persoalan inilah yang membezakan antara yang kalah dengan pemenang yang sebenar.


Kunci kejayaan

Sedar atau tidak sedar, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tiap-tiap peristiwa yang menggembirakan mahupun yang menyedihkan pasti akan berlalu, ia tidak akan bertahan lama. Setiap yang datang, pasti akan pergi. Setiap yang hidup, pasti akan mati. Beginilah yang telah ditetapkan oleh satu-satunya yang Maha Hidup, Allah yang Maha Esa. Terpulanglah samada mahu percaya atau tidak, memenangi pingat emas Olimpik atau menjuarai Piala Dunia sekalipun bukanlah kejayaan yang paling agung. Kejayaan yang unggul bukanlah menjadi Pemain Terbaik Dunia secara berturut-turut dan bukan pula menjadi penghias majalah-majalah yang ada di serata dunia. Maka, tentunya akan ditanya, apa lagi jikalau bukan semua itu? Apa lagi kalau bukan memegang kunci bagi segala kejayaan. Apakah kunci bagi segala kejayaan itu? Kalau betul-betul hendak tahu, jawapannya mudah sahaja, ENGGAN BERPUTUS ASA

Resipi kejayaan

Jangan sekali-kali kita berputus asa. Pujuklah diri sendiri untuk terus berusaha, ajaklah orang-orang di sekeliling kita untuk turut sama-sama berusaha. Berusaha ke arah satu matlamat yang sama yakni, berfikiran positif. Daripada teruk kepada tidak teruk, daripada tidak teruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik, dan begitulah seterusnya berulang-ulang. Andai kita pernah mendabik dada merasakan kitalah yang terbaik, sedarlah bahawa senantiasa ada yang lebih baik daripada kita. Seseorang yang baik bukanlah yang menganggap dirinya baik daripada orang lain, tetapi seseorang yang baik adalah yang selalu turut mengharapkan yang baik untuk orang lain. 

Oleh itu, tak usah lagi menoleh ke belakang. Ayuh, kita mara ke hadapan. Berbekalkan FIKIRAN YANG POSITIF, ia adalah satu bentuk doa yang sangat penting untuk memulakan sesuatu kebaikan yang harapnya akan berakhir dengan baik juga.


  • Jika kau fikirkan kau boleh
  • Kau hampir boleh melakukan
  • Jika kau fikirkan ragu-ragu
  • Usahamu tidak menentu

  • Jika kau fikirkan kekalahan
  • Kau hampiri kegagalan
  • Jika kau fikirkan kemenangan
  • Kau hampiri kejayaan

  • Engkaulah apa kau fikirkan
  • Terkandung dalam pemikiran
  • Kau fikir boleh melakukan
  • Fikirkan boleh

  • Percaya apa kau lakukan
  • Tabah apa kau usahakan
  • Bertindak atas kemampuan
  • Engkau boleh


#FikirkanBoleh   #MalaysiaBoleh   #ThinkPositive


1 comment:

ahmad said...

Astaghfirullah al-’Azeem al-lazi la ilaha illa Huwal-Hayyul-Qayyum wa atubu ilaih.