1921: Tahun bermulanya sejarah Piala Malaysia (kredit: British Library Blogs) |
Sehingga tahun 2016, hanya ada 90 kali sahaja penentuan pasukan mana yang menjadi juara Piala Malaysia memandangkan peristiwa Perang Dunia Kedua telah merencatkan hampir semua jenis aktiviti bolasepak negara dari tahun 1942 hinggalah 1947. Jika tiada aral melintang, inshaaAllah tanahair yang bertuah ini akan menemukan juara Piala Malaysia yang ke-seratus pada tahun 2026.
Dengan sejarahnya yang agak panjang malah mengatasi usia kemerdekaan negara, apakah maknanya semua ini? Adakah sukan bolasepak umumnya dan Piala Malaysia khususnya memberikan kesan atau impak yang tertentu? Boleh jadi ia memberikan kenangan yang bermakna, jika tidak kepada semua tetapi tetap bermakna bagi beberapa pemain, jurulatih, pegawai, wartawan, pemberita, serta penyokong yang terlibat. Mungkin juga, ia tidak memberi sebarang makna pun kepada sekumpulan yang lain. Cuma, permainan bolasepak nampaknya terus-menerus diadakan melainkan berlakunya keadaan tidak aman dan kacau-bilau seperti peperangan atau bencana (na'udzubillahi min dzalik).
HMS Malaya Cup (kredit: adelinelau.wordpress.com) |
Menyebut tentang peperangan, hati yang tidak keras pasti akan merasa sedih dan berduka cita terhadap situasi mangsa-mangsa penganiayaan perang terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak. Kesian sungguh apabila melihat apa yang terjadi kepada penduduk-penduduk negeri dan negara bergolak seperti Mindanao, Pattani, Arakan (Rakhine), Xinjiang, Kashmir, Palestin, Kurdistan, Iraq, Afghanistan, Syria, Libya, Yaman, Somalia, Sudan, Nigeria, dan di merata tempat lagi. Ke mana perginya perasaan belas kasihan sehingga begitu ramai orang yang diperlakukan sebegitu rupa? Marilah berdoa dan berusaha agar kita semua dapat dijauhkan daripada sebarang bentuk kezaliman ke atas diri sendiri mahupun terhadap orang lain.
Samada ada di antara kita yang terleka atau tidak, manusia sejagat seluruhnya bertanggungjawab ke atas isu-isu penting apatah lagi soal yang melibatkan nyawa. Apabila nyawa diambil dengan tidak berhak, maka perlu ada pertanggungjawaban. Maka, sebab itulah amanah yang sangat besar terletak di atas bahu pemimpin. Pemimpin perlu mengingatkan kepada para pengikutnya supaya tidak lupa akan tanggungjawab masing-masing dan di samping itu pula para pengikut juga perlu mengingatkan kepada pemimpin yang terlupa. Tidakkah kita, rakyat Malaysia rasa bersalah bersuka-ria menonton perlawanan bolasepak tak kiralah di stadium ataupun di rumah tahun demi tahun tanpa memikirkan tentang mereka yang kurang bernasib baik?
Mampukah bolasepak memberikan sinar harapan buat pelarian Rohingya? (kredit: www.rvisiontv.com) |
Sudahlah membuang masa sahaja beratur panjang untuk membeli tiket ke stadium, malah lebih teruk lagi pulang hampa dengan tangan kosong. Kalau tengok di restoran pula, beli air sahaja pun dah mahal. Nak bawa bekal malu pula, tengok di rumah sajalah. Rasanya sudah tiba masa untuk menggunakan waktu aman yang dianugerahkan oleh Tuhan bukan lagi untuk menganjur, bermain, atau menonton bolasepak semata-mata tetapi turut memanfaatkannya lebih-lebih lagi untuk perkara-perkara yang lebih berguna. Jadi, apakah perkara-perkara yang lebih berguna daripada sekadar duduk tercegat menanti perlawanan 'bola'?
Apa kata, dan ini sekadar cadangan, daripada menjerit-jerit, terpekik melolong menyokong pasukan yang disayangi setiap kali datangnya musim bolasepak Piala Malaysia, kita berubah pula. Sudah tentu, perubahan tersebut mestilah perubahan ke arah yang lebih baik dan berterusan lebih baik. Perubahan yang dimaksudkan tersebut adalah perubahan yang kecil-kecil sahaja dan bukannya perubahan drastik pun. Sebagai permulaan, tanya diri kita sendiri soalan ini: "Adakah bolasepak mempunyai manfaat untuk diriku dan juga orang lain?". Jawapan kepada persoalan itulah nanti yang akan menentukan samada perubahan yang baik boleh berlaku atau sebaliknya.
#bantuRohingya #selamatkanArakan
No comments:
Post a Comment