Walaupun kualiti bolasepak negara-negara yang berada di rantau Asia Tenggara kelihatan agak terkebelakang dan kurang bermutu berbanding beberapa negara Asia yang lain, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan negara-negara kuasa besar bolasepak dunia, namun sepuluh negara tersebut sebenarnya tetap mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Sebagai contoh, negara Indonesia yang belum merdeka dan dikenali pada waktu itu sebagai Hindia Timur Belanda (Dutch East Indies) telah berjaya menjadi bukan sahaja negara Asia Tenggara yang pertama ke Piala Dunia FIFA tetapi juga wakil yang pertama di kalangan negara-negara Asia. Sayang sekali apabila kehadiran Hindia Timur Belanda di Perancis pada tahun 1938 merupakan satu-satunya penampilan dari Asia Tenggara ke Piala Dunia hingga setakat ini. Semenjak itu, benua Asia kini sudah mempunyai pencabar-pencabar yang jauh lebih kuat di pentas antarabangsa dengan Asia Timur (Timur Jauh) dan Asia Barat (Timur Tengah) menjadi peneraju utama.
|
Barisan pemain Hindia Timur Belanda
(sumber: scoopnest.com) |
Maka, tidak hairanlah mengapa hanya Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, China, Arab Saudi, atau Iran sahaja yang disebut-sebut menjadi pilihan utama untuk mewakili benua Asia. Lagipun, tidak ada lagi Burma*, Malaya, atau Siam. Bertambah rumit, negara Australia yang terletak di benua Australasia pun entah bagaimana berpindah menyertai negara-negara Asia. Sempadan menjadi begitu kabur sampaikan Timor-Leste (dahulu Timor Timur) pun tidak jelas berada di benua yang mana. Mujurlah entiti yang dipanggil "
Israel" telah dimasukkan ke Eropah. Kalau tidak, bertambah banyaklah pesaing bagi negara-negara Asia Tenggara.
Bagi menaikkan sedikit semangat penggemar bolasepak di rantau Asia Tenggara, izinkan DBS (duniabolasepak.blogspot.my) untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya seorang pemain bolasepak hebat atau lagenda bagi setiap negara anggota ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) tanpa mengikut aturan yang tertentu.
1. Kiatisuk Senamuang (Thailand)
|
Kiatisuk Senamuang |
Seorang polis berpangkat leftenan, bekas pemain Perlis FA ini digelar "Zico" sempena pemain ternama Brazil yang menjadi pujaannya. Dahulu bermain sebagai penyerang, kini beliau mengambil pengalaman di tepi padang pula sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand dan pasukan bawah-23 Thailand. Menjuarai Kejohanan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) sebanyak tiga kali (1996, 2000, 2002) sebagai pemain dan setakat ini sudah dua kali sebagai jurulatih (2014, 2016).
2. Fandi Ahmad (Singapura)
|
Fandi Ahmad |
Kota Singa amat sinonim dengan lagenda ulung ini. Ayahnya iaitu Ahmad Wartam juga merupakan bekas pemain kebangsaan Singapura tetapi bermain sebagai penjaga gawang. Dianggap sebagai salah seorang pemain penyerang terbaik di Asia, beliau kini menceburi bidang kejurulatihan pula dan pernah memberikan kejuaraan buat Singapore Armed Forces (SAFFC) sebanyak dua kali pada tahun 2000 dan 2002 dalam S.League.
3. Mokhtar Dahari (Malaysia)
|
Mokhtar Dahari |
Meskipun pemain lagenda kesayangan rakyat Malaysia ini tidak pernah membawa negara beraksi ke Piala Dunia, pengorbanannya masih tetap dikenang kerana kejayaan besar beliau adalah kesungguhannya untuk menjulang semangat orang-orang di sekelilingnya tidak kiralah waktu menang ataupun kalah. Ini terbukti apabila beliau terpaksa mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa sebanyak tiga kali sebelum betul-betul bersara. Sejak pemergiannya di usia yang agak muda selepas bertarung dengan muscular dystrophy, namanya sehingga kini terus menyala membakar semangat.
4. Le Huynh Duc (Vietnam)
|
Le Huynh Duc |
Bekas penyerang kebangsaan Vietnam ini merupakan yang pertama dari negaranya yang bermain untuk kelab di luar negara apabila ditandatangani oleh Chongqing Lifan FC dari China pada 2001. Sebagai pemain, beliau mencatat sejarah apabila menyertai Sukan SEA tiga kali berturut-turut (1995, 1997, 1999) manakala Piala AFF pula sebanyak 5 kali (1996, 1998, 2000, 2002, 2004). Pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam, beliau kini sedang giat melatih SHB Đà Nẵng FC, pasukan yang beliau sendiri pernah bawakan kejuaraan V-League pada tahun 2009.
5. Andi Ramang (Indonesia)
|
Andi Ramang |
Muncul bersama kelab bolasepak tertua Indonesia iaitu Persatuan Sepakbola Makassar (PSM/Makassar Voetbal Bond), lagenda yang bernama Andi Ramang ini juga dikenali sebagai Rusli Ramang dalam dokumen rasmi FIFA. Pernah mewakili Indonesia dalam Sukan Olimpik tahun 1956 di Melbourne, Australia, beliau menjadi terkenal apabila banyak menjaringkan gol melalui sepakan gunting malah turut mampu menghasilkan gol terus daripada tendangan sudut.
6. Myo Hlaing Win (Myanmar)
|
Myo Hlaing Win |
Penjaring terbanyak Piala AFF tahun 1998 ini menabur bakti sebagai penyerang kebangsaan Myanmar tidak lama dahulu. Kini sudah menjadi seorang jurulatih, antara pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan adalah melatih Nay Pyi Taw FC dan juga pasukan bawah-19 Myanmar.
7. Paulino Alcantara (Filipina)
|
Paulino Alcantara |
Pemilik nama Paulino Alcántara Riestrá ini merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah FC Barcelona sebelum rekodnya dipecahkan oleh seorang pemain dari Argentina, siapa lagi kalau bukan Leo Messi. Dilahirkan di Kota Iloilo, Filipina, beliau pernah menyarung jersi Catalonia dan Sepanyol, selain daripada negara asalnya iaitu Filipina. Membuat penampilan sulung untuk FC Barcelona ketika baru berumur 15 tahun, beliau masih lagi memegang rekod sebagai pemain termuda yang pernah bermain dan menjaringkan gol bagi kelab tersebut. Menjadi doktor selepas bersara sebagai pemain, beliau juga sempat melatih pasukan kebangsaan Sepanyol.
8. Hok Sochetra (Kemboja)
|
Hok Sochetra |
Pernah melatih pasukan kebangsaan Kemboja pada tahun 2012, dahulu beliau juga merupakan bekas penyerang prolifik bagi negaranya. Menjaringkan 42 gol daripada 64 penampilan untuk Kemboja dari 1995 hingga 2003, beliau sememangnya ibarat sebutir permata yang bersinar dalam sejarah bolasepak negaranya yang pernah suatu ketika dipanggil sebagai Republik Khmer itu.
9. Bounlap Khenkitisack (Laos)
|
Bounlap Khenkitisack |
Menyarung jersi Yotha FC semasa bermain dahulu, kini bekas pemain kebangsaan Laos ini berkhidmat sebagai pengurus dan ketua jurulatih bagi pasukan Lao Toyota FC. Selain sempat melatih pasukan lamanya Yotha FC, sebelum ini beliau juga pernah diberi tanggungjawab untuk melatih pasukan kebangsaan negaranya.
10. Rosanan Samak (Brunei Darussalam)
|
Rosanan Samak |
Bermain sebagai penyerang, bekas pemain kebangsaan Brunei ini paling diingati apabila menjadi salah seorang anggota pasukan jemputan wakil Brunei yang memenangi Piala Malaysia pada 1999. Memulakan karier sebagai pemain dengan Kota Ranger FC, beliau kini adalah seorang jurulatih yang pernah melatih pasukan belia Brunei dan beberapa pasukan Brunei pelbagai peringkat umur.
|
Negara-negara di rantau Asia Tenggara
(kredit: economists-pick-research.hktdc.com) |
Begitulah serba sedikit perkongsian yang mungkin dapat membantu negara-negara Asia Tenggara untuk mula menggunakan nama pemain-pemain seperti ini sebagai contoh ikutan buat generasi yang akan datang. Dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda, tidak mustahil suatu hari nanti akan muncul bintang-bintang baru yang boleh menaikkan status rantau ini ke peringkat yang lebih tinggi pula dalam masa terdekat ini.
#KepulauanMelayu #MalayArchipelago #Nusantara
No comments:
Post a Comment