Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, March 9, 2017

Terjerat lagi dalam jerangkap samar arena politik

Tanggal 28 Mac 2017, pasukan Harimau Malaya sepatutnya bertandang ke Stadium Kim Il-Sung di Pyongyang, Korea Utara untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia AFC 2019 namun keadaan politik semasa nampaknya akan merubah sedikit rancangan jadual perjalanan yang telah diatur tersebut.

Misteri terbaru selepas tragedi MH370 dan MH17.
(gambar: www.ttgasia.com)

Berkemungkinan besar perlawanan tersebut akan diadakan di gelanggang berkecuali memandangkan situasi hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Korea Utara yang kian tegang dianggap boleh menjurus kepada kebimbangan berkaitan isu jaminan keselamatan. Korea Utara (Korea DPR) pula dijadualkan membalas kunjungan ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 November 2017 tetapi mungkin akan turut terpengaruh dengan keadaan politik pada waktu itu samada sudah diselesaikan ataupun masih lagi berlanjutan. Harap-harapnya kedua-dua pihak dapat mencari jalan perdamaian dan bukannya permusuhan.

Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia edisi ke-17 ini, Malaysia dan Korea Utara diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Lubnan dan juga Hong Kong. Terdapat 6 kumpulan dan hanya dua pasukan bagi setiap kumpulan yang akan layak bertanding di negara tuan rumah kejohanan yakni Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2019 nanti.

Pasukan-pasukan yang telah pun layak ialah Arab Saudi, UAE, Australia, Qatar, China (China PR), Iran, Jepun, Syria, Thailand, Iraq, Korea Selatan (Korea Republic), dan Uzbekistan. Berikutan saingan kelayakan pusingan pertama dan kedua juga adalah kelayakan untuk ke Piala Dunia FIFA 2018, maka pasukan-pasukan yang telah layak ke Piala Asia tersebut akan berentap lagi bagi merebut 4 1/2 tempat yang dikhususkan buat benua Asia (termasuk negara Australia yang asalnya dari Oceania Football Confederation).

Jika Sir Alex Ferguson melatih Malaysia sekalipun dan
bukannya Datuk Ong Kim Swee, FAM belum berkelas dunia.
(gambar: bongdaso.com)

Buat pertama kali, pusingan akhir Piala Asia kali ini akan menampilkan 24 pasukan berbanding 16 pasukan sahaja sebelum ini semenjak tahun 2004. Malaysia telah pun tersingkir daripada melayakkan diri ke Piala Dunia di Rusia namun adakah Malaysia berpeluang ke Piala Asia? Secara realistik, Korea Utara (120), Hong Kong (142), dan Lubnan (146) menurut ranking FIFA yang terkini dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding Malaysia (162).

Kedudukan Ong Kim Swee sebagai jurulatih negara pula ibarat retak menanti belah apatah lagi Kongres FAM ke-53 bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2017-2021 akan bersidang pada 25 Mac 2017 ini. Presiden baru FAM yang bakal dilantik nanti dijangka salah seorang daripada dua calon, calon yang akan membuat perubahan-perubahan kecil ataupun calon yang akan membuat perubahan secara besar-besaran. Tunggu dan lihat sahajalah nanti bagaimana Malaysia akan menempuh tahun-tahun yang mendatang. Peace!


Rekod pertemuan antara Malaysia dengan Korea Utara:
- Menang 1, Seri 3, Kalah 3; jumlah perlawanan 7
  [sumber: www.11v11.com]

15 Sep 1974
Malaysia lwn Korea Utara, Menang 2-1, Sukan Asia

18 Feb 1976
Malaysia lwn Korea Utara, Kalah 0-2, perlawanan persahabatan

9 Mei 1979
Korea Utara lwn Malaysia, Seri 1-1, kelayakan Piala Asia AFC

14 Mei 1979
Korea Utara lwn Malaysia, Kalah 1-0, kelayakan Piala Asia AFC

26 Sep 1990
Korea Utara lwn Malaysia, Seri 0-0, Sukan Asia

27 Mac 2000
Korea Utara lwn Malaysia, Seri 1-1, kelayakan Piala Asia AFC

6 Apr 2000
Malaysia lwn Korea Utara, Kalah 1-4, kelayakan Piala Asia AFC


No comments: