Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, August 14, 2017

Main untuk menang!

(kredit: kualalumpur2017.com.my)

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada tahun 2001 dan pasukan bolasepak negara dalam kejohanan tersebut hanya meraih pingat perak apabila kecundang kepada kuasa besar Asia Tenggara, pasukan Thailand. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA adalah pada tahun 2011 di Jakarta, Indonesia dengan menewaskan pasukan tuan rumah dan merupakan pingat emas buat kali kedua berturut-turut selepas menumpaskan pasukan Vietnam di Vientiane, Laos pada tahun 2009. Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas sebagai tuan rumah pula adalah pada tahun 1989, dua puluh tahun sebelum pasukan kebangsaan akhirnya menamatkan kemarau pingat emas pertandingan bolasepak Sukan SEA pada tahun penuh makna iaitu 2009.

Malaysia bernasib baik apabila sepakan penentuan penalti Baddrol
Bakhtiar seolah-olah bergolek masuk walaupun ditampan oleh
penjaga gol Indonesia untuk memberikan kemenangan pada 2011.
(kredit: tiramisucupcakes.blogspot.my)

Tahun 2017, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara yang diadakan setiap dua tahun tersebut. Meskipun pertandingan bolasepak lelaki Sukan SEA telah dihadkan kepada umur bawah-23 semenjak tahun 2001 dan bawah-22 bermula pada tahun ini, ibu segala pingat dalam kejohanan ini tetap menjadi rebutan sepuluh pasukan negara-negara ASEAN dan juga pasukan dari negara Timor-Leste. Tidak ketinggalan, pasukan bolasepak wanita Malaysia juga mempunyai misi penting untuk mengatasi pencapaian terbaiknya yakni satu-satunya pingat yang pernah dimenangi iaitu pingat perak pada tahun 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Pemain yang perlu diperhatikan:
Faiq ibni Jefri Bolkiah,
anak saudara Sultan Brunei
dan ketua pasukan Brunei.
(gambar: Hutomo/SINGSOC)

Apakah jangkaan rakyat Malaysia terhadap pasukan bolasepak (dan juga acara-acara yang lain) apabila para atlet negara bersaing dengan sekumpulan atlet negara-negara lain di tanah tumpahnya sendiri? Sudah tentu, pingat berwarna emaslah yang diharapkan. Walau bagaimanapun, apa jua jangkaan dan harapan rakyat Malaysia tidak kiralah daripada kaum kerabat, sahabat handai, peminat-peminat, penyokong-penyokong, penonton-penonton, pegawai-pegawai, menteri-menteri, mahupun presiden persatuan lazimnya tidak mampu memberikan apa-apa perubahan besar melainkan dapat bersorak serta menyokong dari belakang sahaja. Maka, para atlet (termasuklah pemain-pemain bolasepak dan futsal) negara sendirilah yang akan memastikan apakah jangkaan dan harapan sebenar yang boleh dicapai sebagai suatu bentuk sumbangan buat negara.

Pemain-pemain yang perlu diperhatikan:
Irfan Fandi (kiri) dan Ikhsan Fandi (kanan),
anak-anak pemain lagenda Singapura iaitu Fandi Ahmad.
(gambar: goal.com)

Ini bukan lagi masanya untuk memberikan pelbagai alasan. Dahulu, kerap kali kedengaran bahawa para pemain kononnya kurang berpengalaman dan memerlukan lebih banyak pendedahan. Semua itu mengarut sahaja. Ini adalah kejohanan yang ditunggu-tunggu dan inilah pengalamannya. Cuma, adakah para pemain (serta barisan jurulatih) mahu jadikan ia sebagai pengalaman yang pahit atau manis, itu sahaja perbezaannya. Kalau mahukan pendedahan, Liga Malaysia (Liga-M/M-League) adalah gelanggangnya dan perlawanan-perlawanan persahabatan menjadi medan latihannya. Sukan SEA merupakan salah satu ujian yang menjadi ukuran sebenar samada pasukan ini boleh mencipta sejarah atau tidak, berjaya atau gagal. Titik noktah.

Pemain-pemain yang perlu diperhatikan:
Aung Thu (atas), penyerang dari Myanmar dan
Phathana Phommathep (bawah), pemain tengah Laos.
(gambar: foxsportsasia.com & Lanexang United)

Oleh itu, satu-satunya cara untuk meraih kejayaan selepas bertungkus lumus membuat persiapan dari segi sikap, mental, fizikal serta emosi adalah main untuk menang. Main bukan untuk seri, main bukan sekadar untuk mencari pengalaman (dengan kata lain, kalah). Mainlah untuk menang. Kalau hendak menang, perlu menjaringkan gol. Kalau tak jaringkan gol, macam mana nak menang? Nak harapkan jaringan sendiri pasukan lawan? Nak asyik harapkan pengadil bagi penalti? Perkara-perkara macam itukah yang diharapkan? Mengapa tidak berharap dengan usaha sendiri, bukankah itu yang lebih sesuai untuk menjadi kebanggaan seluruh negara dan mungkin hingga ke setiap pelosok rantau? Rasanya kita semua sudah tahu, dalam sukan bolasepak apabila terus-menerus menjaringkan gol melebihi gol yang dibolosi, inshaaAllah kemenangan demi kemenangan akan dicapai.

Semoga berjaya dan selamat maju jaya!

Pemain-pemain yang perlu diperhatikan:
Penyerang Vietnam, Nguyen Cong Phuong (atas) dan
gelandang atau pemain tengah Indonesia, Evan Dimas (bawah).
(gambar: soha.vn & kabarin.co)


Jadual perlawanan acara bolasepak Sukan SEA 2017 yang melibatkan Malaysia.

Lelaki
Kumpulan A (di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 8.45 mlm):
  • 14 Ogos, Malaysia lwn. Brunei       [menang: 2-1]
  • 16 Ogos, Malaysia lwn. Singapura  [menang: 2-1]
  • 21 Ogos, Malaysia lwn. Myanmar   [menang: 3-1]
  • 23 Ogos, Malaysia lwn. Laos         [menang: 3-1]
Peringkat separuh akhir (di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 8.45 mlm):
  • 26 Ogos, Malaysia lwn. Indonesia  [menang: 1-0]
Perlawanan akhir (di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 8.45 mlm, harga tiket RM21.20 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan):
  • 29 Ogos, Malaysia lwn. Thailand  [kalah: 0-1] - pingat perak

Kesebelasan utama skuad Sukan SEA KL2017.

Senarai penjaring:
  1. Thanabalan Nadarajah, 4 gol
  2. Safawi Rasid, 2 gol
  3. Jafri Firdaus Chew, 2 gol
  4. Adam Nor Azlin, 1 gol
  5. Nor Azam Azih, 1 gol
  6. Adib Zainuddin, 1 gol

Adam Nor Azlin dan Jafri Firdaus Chew,
dua tonggak utama yang bakal menjadi sandaran pasukan Malaysia.
(gambar: fourfourtwo.com & thestar.com.my) 


Wanita
(di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 8.45 mlm):
  • 15 Ogos, Malaysia lwn. Filipina      [kalah: 1-2]
  • 17 Ogos, Malaysia lwn. Myanmar  [kalah: 0-5]
  • 20 Ogos, Malaysia lwn. Thailand    [kalah: 0-6]
  • 24 Ogos, Malaysia lwn. Vietnam    [kalah: 0-6]

Senarai penjaring:
  1. Dadree Rofinus, 1 gol

Maskot Sukan SEA 2017, 'Rimau' bermain bola.


Futsal Lelaki
(di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 8 mlm):
  • 18 Ogos, Malaysia lwn. Myanmar  [menang: 5-4]
  • 20 Ogos, Malaysia lwn. Vietnam    [seri: 1-1]
  • 22 Ogos, Malaysia lwn. Indonesia  [menang: 5-0]
  • 27 Ogos, Malaysia lwn. Thailand    [kalah: 3-4] - pingat perak

Senarai penjaring:
  1. Ridzwan Bakri, 3 gol
  2. Azri Rahman, 3 gol
  3. Aizad Nasir, 3 gol
  4. Khairul Effendy, 2 gol
  5. Akmarulnizam Idris, 1 gol
  6. Awaluddin Nawi, 1 gol
  7. Yazid Kamaruzuan, 1 gol


Futsal Wanita
(di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, pukul 5 ptg):
  • 18 Ogos, Malaysia lwn. Myanmar  [menang: 2-1]
  • 20 Ogos, Malaysia lwn. Indonesia  [kalah: 1-2]
  • 22 Ogos, Malaysia lwn. Vietnam    [seri: 1-1]
  • 27 Ogos, Malaysia lwn. Thailand    [kalah: 0-12]

Senarai penjaring:
  1. Norhawa Md Yasin, 2 gol
  2. Zur'ain Kamarudin, 1 gol
  3. Steffi Sarge Kaur, 1 gol


#Negaraku   #MalaysiaBoleh   #jagaaurat


No comments: