Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, August 9, 2018

Tempatan, kacukan, dan naturalisasi

Pada zaman 1950-an dahulu, terdapat seorang pemain berkulit putih (orang Kaukasia) yang bermain di posisi penjaga gol bagi pasukan Penang FA. Dave Maclaren, namanya. Apa yang lebih menarik, warga Scotland ini terlebih dahulu menyarung jersi negeri Pulau Pinang malahan pernah juga memenangi Piala Malaya sebelum pulang ke United Kingdom untuk mewakili kelab-kelab seperti Dundee FC, Leicester City FC, Plymouth Argyle FC, Wolverhampton Wanderers FC, dan Southampton FC. Berkhidmat sebagai pengendali radar untuk Tentera Udara Diraja British (Royal Air Force) semasa Khidmat Negara (National Service) di benua Asia turut memberinya peluang untuk mewakili Hong Kong dan juga Malaya. Di samping itu juga, sekitar tahun 1970, beliau sempat kembali ke sini untuk menjadi jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia.

Dave Maclaren, orang putih
yang pernah mewakili Malaya.
(foto: melbournesoccer.blogspot.com)

Contoh-contoh pengecualian

Dilahirkan pada 12 Jun 1934 di Auchterarder, Scotland dan telah pun meninggal dunia pada 6 Disember 2016 di Castlemaine, Australia, kelibat Dave Maclaren sebagai penjaga gol negara adalah semasa Persekutuan Tanah Melayu belum merdeka. Stadium TPCA (Tamilian's Physical Cultural Association), di Princes Road yang kini dikenali dengan nama Jalan Raja Muda, menjadi salah satu saksinya di samping rakan-rakan seangkatan Dave Maclaren seperti Lee Sai Chong (Perak), Tang Cheok Foo (Selangor), Mok Wai Hong (Negeri Sembilan), Yap Hin Hean (Pulau Pinang), Chuah Poh Aun (Pulau Pinang), Mok Wai Keen (Negeri Sembilan), Chuah Poh Beng (Pulau Pinang), Abdul Ghani Minhat (Selangor), Pang Siang Teik (Pulau Pinang), dan Yeap Cheng Eng (Pulau Pinang). Dave Maclaren bukanlah seorang pemain tempatan, bukan juga pemain kacukan mahupun pemain naturalisasi. Beliau yang kekal menjadi warganegara British sehingga ke akhir hayatnya adalah satu contoh pengecualian di dalam sejarah bolasepak negara, muncul pada saat negara masih lagi dalam era penjajahan.

Satu lagi contoh pengecualian yang boleh diberikan ialah seorang pemain yang bernama Wan Kuzain Wan Kamal. Lahir pada 14 September 1998 di Carbondale, Amerika Syarikat, anak muda yang pernah menjadi bualan ramai ketika video yang mempamerkan kemahirannya bermain bola menjadi tular di Internet ini bukan sahaja dilahirkan di luar negara tetapi juga menetap serta membesar di sana. Meskipun pernah layak menyertai skuad bawah-17 tahun Amerika Syarikat dalam US Residency Programme pada tahun 2015, beliau masih lagi berpeluang untuk menyarung jersi Malaysia jika dia sendiri mahu dan dimahukan pula oleh jurulatih negara, memandangkan kedua ibubapanya serta datuk neneknya adalah anak-anak watan kelahiran Malaysia. Samada Wan Kuzain sebagai anak perantauan berbangsa Melayu hendak memilih untuk mewakili Malaysia atau tidak, jelasnya sukar untuk meletakkan pemain ini sebagai pemain tempatan, pemain kacukan, ataupun pemain naturalisasi. Beliau adalah contoh pengecualian yang mungkin berupaya menjadi seorang pemain bertaraf antarabangsa pada suatu hari nanti. Yang mana satu, Amerika Syarikat atau Malaysia, tunggu dan lihat sahajalah nanti.

Adakah Wan Kuzain bakal menjadi
pemain harapan Harimau Malaya?
(kredit: soccerstl.net)

Selain Dave Maclaren dan Wan Kuzain Wan Kamal, contoh pengecualian yang lain adalah ketika pasukan Malaysia All-Stars XI dibentuk bagi menentang pasukan Liverpool FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Julai 2015. Seramai 20 orang pemain yang telah dipanggil, termasuk 5 orang pemain bukan tempatan bagi menyertai skuad yang dikendalikan oleh jurulatih negara pada ketika itu, Dollah Salleh. Memandangkan ianya hanyalah sebuah perlawanan pertunjukan (exhibition game), maka 5 orang pemain bukan tempatan yang juga beraksi di Liga-M tersebut tidaklah dikira sebagai mewakili negara Malaysia secara rasmi dan bermain atas dasar jemputan sahaja. Mereka adalah Thiago Junio (Brazil), Patrick Ronaldinho (Liberia), Vincent Bikana (Cameroon), Zah Rahan (Liberia), dan Charles Chad (Brazil). Selepas memperoleh keputusan seri satu sama (1-1) dalam perlawanan yang kurang bermakna melainkan untuk nilai komersial sahaja, ia tetap dianggap sebagai suatu pencapaian yang memberangsangkan oleh sesetengah pihak. Lalu, mulalah timbul desas-desus bahawa penggunaan khidmat pemain naturalisasi mungkin boleh membantu skuad kebangsaan untuk jangka masa pendek. Nasib baik, mujurlah cadangan tersebut hanya tinggal ura-ura sahaja pada waktu itu.

Patrick Ronaldinho Wleh meraikan jaringan penyamaan
Malaysia XI di hadapan para peminat Liverpool FC tempatan.
(sumber: telegraph.co.uk)

Pemain-pemain tempatan

Semenjak kali terakhir pemain tempatan iaitu bekas penyerang Terengganu FA, Abdul Hadi Yahya menjadi Pemenang Kasut Emas liga divisyen utama negara pada tahun 2011, kini hanya nama-nama pemain dari luar negara sahaja yang menghiasi carta penjaring terbanyak. Jika lihat pada tahun 2018, 10 kedudukan teratas dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super diungguli oleh siapa? Siapa lagi kalau bukan pemain-pemain asing. Dalam Liga Premier pula, hanya seorang pemain Sarawak FA berumur 34 tahun yang berasal dari Beaufort, Sabah sahaja yang timbul serta tidak tenggelam. Bobby Gonzales yang menjaringkan 14 gol sepanjang musim muncul sebagai antara pencabar terdekat untuk gelaran penjaring terbanyak dan juga satu-satunya pemain tempatan di kalangan para pemain asing.

Mungkin ada yang lupa, tidak ingat. Mungkin ada yang tidak tahu atau belum tahu, setelah berlalunya generasi-genarasi emas yang sezaman dengan Dolfattah, Dollah Don, Abdul Ghani Minhat, dan Mokhtar Dahari, mulai tahun 2009 hingga 2011 merupakan salah satu tempoh yang paling membanggakan dalam lembaran sejarah negara. Mengapa, anda tanya? Jawapannya adalah dua pingat emas Sukan SEA berturut-turut  (2009 & 2011) yang sudah lama tidak dikalung di leher dan yang menjadi kemuncak pencapaian adalah apabila dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara buat kali pertama dengan memenangi Piala AFF (2010). Mulai saat dan ketika itulah, sebilangan besar rakyat Malaysia yang sebelum itu hanya tahu menayangkan pakaian Manchester United, Liverpool, Chelsea, Arsenal, Real Madrid, Barcelona, Brazil, ataupun England tidak lagi malu atau jijik untuk turut memakai jersi pasukan bolasepak kebangsaan. Harus diingat, tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011 juga menyaksikan ketiadaan pemain import dalam Liga-M. Tanpa bayang-bayang pemain import, bukanlah satu kebetulan bahawa para pemain tempatan dapat pula mempamerkan kualiti yang lebih baik malah yang paling baik berbanding sebelum itu.

Dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka
pada 28 April 2012 di Stadium Shah Alam, Hazwan Bakri yang
berumur 20 tahun menjadi penjaring hat-trick termuda negara.
(gambar: bharian.com.my)

Jadi, mengapa pula buat-buat terkejut apabila penyerang-penyerang tempatan tumpul penyudahnya ketika bersama skuad Harimau Malaya, padahal mereka tidak pun diberi peluang yang sewajarnya dalam liga tempatan apatah lagi di liga luar negara? Zaman kegemilangan pemain-pemain veteran seperti Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah mungkin sudah lama berlalu, manakala Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abdul Radzak pula mungkin semakin menghampiri penghujung karier, tetapi bagaimana pula dengan Ahmad Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad, dan Hadi Fayyadh Abdul Razak, bukankah masih banyak lagi yang boleh ditagih daripada mereka? Pada era 1990-an hingga awal 2000-an dahulu, begitu ramai penyerang tempatan yang menyerlah bakatnya namun potensi sebenar mereka telah tersekat, atau lebih tepat disekat di pertengahan jalan. Masih ingatkah nama-nama seperti Azman Adnan, Hashim Mustapha, Norizam Ali Hassan, Rusdi Suparman, Rosdee Sulong, Azmi Mohamad, Wan Rohaimi Wan Ismail, Shamsurin Abdul Rahman, Che Zambil Ahmad, Bobby Pian, Suharmin Yusuf, Zami Mohd Noor, dan Azizul Kamaluddin? Jangan lupa, itu baru beberapa penyerang. Permainan bolasepak tidak dimainkan oleh seorang penyerang sahaja, ia memerlukan sekurang-kurangnya sepuluh pemain lain di pelbagai posisi untuk melengkapkan kesebelasan utama.

Pemain-pemain kacukan

Sekiranya saingan sesama pemain tempatan pun sudah begitu sengit, pemain-pemain kacukan atau berdarah campuran juga seharusnya mempunyai hak untuk turut bersaing. Masing-masing perlu diberikan haknya dan tidak patut sesiapa pun dinafikan haknya jika sememangnya berhak. Kalau diikutkan, secara umumnya memang tiada masalah untuk mana-mana pemain kacukan yang mempunyai hubungan dengan Malaysia samada melalui pertalian darah atau hak kelahiran untuk mewakili negara, asalkan mereka menetapi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh badan bolasepak dunia. Istilah pemain kacukan yang dimaksudkan di sini adalah pemain berdarah campuran antara dua negara (atau lebih), bukannya berdarah campuran antara kaum-kaum berwarganegara Malaysia yang terdapat dalam negara. Yang membezakan pemain kacukan (atau disebut juga pemain warisan) dengan pemain tempatan adalah mereka boleh memilih antara dua negara, atau lebih untuk diwakili kerana terdapat pertalian darah daripada datuk nenek ataupun ibu bapa yang berlainan warganegara. Namun begitu, sebaik sahaja mereka sudah memilih pasukan senior sesebuah negara maka biasanya mereka tidak boleh lagi memilih negara lain untuk diwakili.

Mampukah Dion Cools mengubah
lanskap bolasepak Malaysia?
(gambar: nst.com.my)

Hingga setakat ini, sudah ada beberapa pemain kacukan yang telah pun mewakili negara. Jikalau sebelum ini seorang pemain tempatan bernama Mahali Jasuli menjadi pilihan utama di bahagian bek kanan selama beberapa tahun, sebelum bertukar-tukar antara K. Reuben, Rizal Ghazali, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, malah bekas sayap kiri S. Kunanlan, sejak kebelakangan ini seorang pemain berdarah campuran Australia-Malaysia iaitu Matthew Thomas Davies seakan-akan telah dijamin kedudukannya di posisi tersebut. Hal keadaan itu nampaknya agak selasa buat kapten pasukan Pahang FA tersebut melainkan timbul isu-isu di luar jangkaan seperti kecederaan, penggantungan, dan sebagainya walhal dia sebenarnya dihimpit rapat oleh pemain muda versatil (serba boleh) pasukan Selangor FA iaitu Syahmi Safari. Walau bagaimanapun, jikalau menyebut tentang pemain kacukan dan juga posisi bek kanan, nama seorang pemain pertahanan berketurunan separuh Belgium serta separuh Malaysia juga akan turut timbul. Diberi nama Dion Johan Cools, beliau seandainya berjaya dipanggil menyertai pasukan Harimau Malaya, sudah pastilah akan menggegarkan dunia bolasepak tanahair dengan gegaran yang begitu kuat. Pengalaman beliau di peringkat antarabangsa amatlah menakjubkan, selain pernah mewakili skuad bawah-18, bawah-19, dan bawah-21 negara Belgium, beliau juga pernah beraksi dalam kejohanan popular yang penuh glamor yakni Liga Juara-juara UEFA (UEFA Champions League).

Pemain-pemain naturalisasi

Andaikata pemain-pemain tempatan yang sudah agak ramai dan ditambah pula dengan para pemain kacukan pun masih lagi dipandang belum cukup untuk mengangkat martabat bolasepak negara, adakah dengan mengimport sejumlah pemain luar yang diragukan semangat patriotiknya tiba-tiba sahaja boleh menaikkan serta mengharumkan nama negara? Benarkah itu sahaja jalan penyelesaiannya? Dalam banyak-banyak kes, situasi seorang pemain kelahiran Fajara, Gambia (The Gambia) yang bernama Mohamadou Sumareh sahaja yang mungkin boleh dilihat dari sisi atau sudut yang sedikit berbeza. Beliau yang asalnya langsung tiada kaitan dengan Malaysia sejak lahir mahupun sebelum lahir, hanya berpindah ke negara ini di usia muda 13 tahun pada 2007. Hampir 11 tahun kemudian, setelah memerah keringat sejak 2013 di tiga buah pasukan Liga-M, Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA, Perlis FA, dan terbaru Pahang FA, Sumareh kini telah pun berhasil mendapatkan status kerakyatan Malaysia. Mengikut undang-undang dan atas budi bicara pihak pentadbiran bolasepak negara, sememangnya beliau boleh sahaja diambil sebagai salah satu calon pemain kebangsaan. Akan tetapi, seperti mana banyak lagi calon pemain kebangsaan, beliau sepatutnya tidak dijadikan pilihan automatik dan perlu bersaing secara sihat tanpa adanya pilih bulu atau pilih kasih.

Selagi mana Malaysia tidak menjuarai Piala Asia
atau layak ke Piala Dunia, Mohamadou Sumareh
hanyalah eksperimen yang akan dianggap gagal.
(kredit: Tigers Super Sports)

Bukankah sungguh tidak patut apabila para pemain tempatan yang membentuk majoriti diketepikan begitu sahaja tanpa alasan yang munasabah? Mengapa mudah sangat untuk berputus asa terhadap para pemain tempatan sedangkan peluang mereka tidak dibuka seluas-luasnya malah mahu ditutup dengan serapat-rapatnya? Bagaimana pula tidak akan dikatakan menjual maruah dan harga diri apabila pemain-pemain luar sesuka hati sahaja dinaturalisasikan semata-mata hendak menipu diri sendiri? Beginilah, logiknya amat mudah. Lebih banyak pemain tempatan diberi masa bermain pada tahap tertinggi yakni, di atas padang dan bukannya di bangku simpanan, lebih tinggilah kebarangkalian untuk menghasilkan kualiti permainan yang bermutu tinggi. Walaupun tidak dinafikan praktikal tidak semudah teori, namun teori tersebut sudah pun dibuktikan berjaya (kejayaan demi kejayaan pada tahun 2009 - 2011) dan praktikalnya tidaklah sesukar seperti mana yang dibayangkan. Apa yang penting, niat haruslah betul dan niat yang betul pula hendaklah seiring dengan pelaksanaan yang betul juga. Kalaulah para pemain luar itu lebih penting dan utama berbanding pemain-pemain tempatan, maka itu tidak ubah seperti "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan".

Beberapa gambar kenangan


George Best sebagai pemain jemputan
dalam Pesta Bola Merdeka 1983.
(kredit: chedinsphere.blogspot.com)

Kevin Keegan sebagai pemain jemputan
dalam Pesta Bola Merdeka 1984.
(kredit: thesukan.com)


No comments: