Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, September 24, 2019

Kenapa perlu ada pemain eksport?

Sekarang ini, hampir semua orang tahu siapa itu Messi. Paling tidak pun, semua peminat sukan bolasepak mengenali namanya. Samada pemain kegemaran mereka adalah Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah, atau pemain-pemain lain itu cerita lain. Dilahirkan di Rosario, Argentina, Leo Messi berketurunan Itali dan Sepanyol mengikut susur galur ibubapanya. Di samping itu, dia turut mempunyai saudara-mara di daerah Catalonia, Sepanyol. Pada peringkat awal kerjaya bolasepaknya, seluruh keluarganya yakni kedua ibubapa serta adik-beradiknya sama-sama BERHIJRAH dan tinggal bersamanya di Barcelona. Kelab pertamanya ialah Grandoli sebelum ke Newell's Old Boys, dan yang mula-mula mengesan bakat luar biasanya adalah seorang jurulatih yang bernama Salvador Ricardo Aparicio. Cukup setakat itu sebagai pembuka cerita.

Messi yang berdiri di hadapan Salvador Aparicio.
(kredit: bola.okezone.com)

Sebelum ini, Dunia Bola Sepak (DBS) ada bertanya tentang 'Kenapa perlu ada pemain naturalisasi?' Jawapannya, tiada jawapan paling tepat yang diberikan dan dibiarkan sahaja persoalan berkenaan terbuka untuk penilaian masing-masing. Sedikit sekali manfaatnya jika mahu berdebat memandangkan yang mencadang hanya mahu menyokong manakala yang membangkang hanya mahu membantah. Semestinya amat sukar sekali untuk semua orang bersetuju mengenai sesuatu perkara, namun adalah lebih sukar untuk mengakui kesilapan sendiri dan menerima teguran orang lain. Ianya teramat sukar melainkan sudah bersedia untuk menerima hakikat bahawa ada masanya boleh jadi betul dan ada masanya boleh jadi salah.

Pada kali ini, ingin diajukan pula satu soalan yang baru. Soalannya, kenapa perlu ada PEMAIN EKSPORT? Pemain import juga adalah isu yang menarik, tetapi rasanya sudah terlalu banyak dibincangkan di bahagian belakang surat khabar mahupun segmen sukan dalam slot berita di televisyen sebelum ini. Lagipun, ramai pemain import telah pun berada di negara ini. Cuma, yang masih kekurangan ialah pemain eksport. Jadi, elok juga kalau dapat membuka topik perihal pemain eksport yang nampaknya belum cukup jelas makna serta tujuannya bagi sesetengah pihak. Maka, sebelum cuba menjawab persoalan baru tersebut, adalah lebih molek untuk memahami makna dan tujuannya terlebih dahulu agar yang tidak jelas boleh dijelaskan.

Keberadaan keluarga di sisi sememangnya perlu
supaya pemain eksport tidak terlalu rindu kampung halaman.
(kredit: mstar.com.my)

Pertama sekali, apa makna "pemain eksport"? Yang selalu disebut ialah "pemain import", jadi ia lebih difahami berbanding perkataan pemain eksport yang turut mempunyai lima suku kata tetapi boleh dikatakan hampir tiada dalam kamus media arus perdana. Menurut istilah bolasepak di Malaysia, pemain import adalah pemain bolasepak yang diambil dari luar negara untuk bermain bagi mewakili pasukan samada negeri atau kelab di Liga Malaysia (Liga-M) setelah menandatangani kontrak. Pemain eksport pula secara umumnya adalah pemain bolasepak tempatan yang ke luar negara untuk BERMAIN mewakili pasukan di liga lain berdasarkan kontrak yang ditandatangani. Walau bagaimanapun, pemain import juga sebenarnya adalah pemain eksport, namun bukan bagi Malaysia yang bertuah ini tetapi bagi negara asal pemain import terbabit. Ini bermakna, pemain eksport Malaysia adalah pemain import di negara luar.

Baik. Keduanya, apa tujuan pemain eksport? Secara dasarnya, niat dan tujuan adalah sama. Sama dari sudut arah tujuannya, cuma perbezaannya adalah niat itu dalam konteks dalaman atau batiniah manakala tujuan itu luaran atau zahiriah. Namun begitu, sekiranya niat itu seolah-olah bertentangan dengan hala tuju ataupun tindak tanduknya maka kemungkinan besar ia telah lari dari tujuan asal. Maaf, sudah macam berfalsafah pula. Ringkasnya begini, tujuan pemain eksport sepatutnya bukan setakat bermegah-megah mencipta nama tetapi sebaiknya untuk menimba ilmu dan meraih pengalaman. Ilmu yang ditimba dan pengalaman yang diraih pula seboleh-bolehnya mahu dikongsi dengan adik-adik, anak-anak, serta rakan-rakan apabila pulang ke tanahair. Seandainya ada tujuan yang lain, misalnya hendak mengumpul kekayaan, tidak ada salahnya asalkan melalui cara yang baik dan dengan hasrat yang mulia.

Penghijrahan singkat Nazmi Faiz ke Beira-Mar
di Portugal tetap menjadi pengalaman yang berguna.
(kredit: beautifulnara.com)

Berbalik kepada pertanyaan awal tadi, kenapa perlu ada pemain eksport? Sekadar ingin menambah, jikalau soalannya berubah menjadi 'kenapa tidak perlu ada pemain eksport?', adakah jawapan yang akan diberikan masih sama? Itulah yang harus difikirkan. Perlu atau tidak perlu itu bergantung kepada keadaan. Jika ditanya kepada yang merasakan perlu, perlulah jawabnya. Jika ditanya kepada yang merasakan tidak perlu, maka tidak perlulah jawabnya. Masing-masing mempunyai pandangan serta pendapatnya yang masing-masing. Justeru, apa yang diperlukan adalah melakukan apa sahaja yang terbaik bagi menjayakan sebarang usaha yang baik. Apa yang tidak diperlukan pula adalah bergaduh dan berbalah hingga tidak ingat dunia. Pro-pemain eksport tidak semestinya anti-pemain import. Yang penting, pemain tempatan boleh bermain, tidak kiralah di negara sendiri atau di negara orang.

Azrul Amri Burhan dulu
mengalami kecederaan yang
teruk akibat diterjah dari
belakang oleh Gary Neville.
(gambar: perak-fa.tripod.com)
Lim Teong Kim bertuah
kerana bijak mengambil
peluang yang jarang-jarang
diterima oleh orang lain.
(gambar: twitter.com/
HBSCMuseum1892)

Konsep pemain eksport sebetulnya adalah suatu proses, bukannya suatu perkara yang boleh dibangunkan sekelip mata seperti silap mata. Walaupun tidaklah begitu ramai berbanding negara-negara lain, namun sudah agak banyak contoh pemain eksport yang pernah Malaysia lahirkan dari dulu hingga sekarang. Ada yang berjaya, ada yang kurang berjaya. Ada yang sekadar berlatih atau menjalani percubaan, ada yang tersangkut di pertengahan jalan. Ada yang tidak sempat buat apa-apa, ada yang sampai jadi jurulatih yang berwibawa. Montpellier (Azrul Amri Burhan) dan Millwall (Azman Adnan) hampir saja terjadi. Perth Azzurri (Dali Omar), Hertha Berlin (Lim Teong Kim), Strasbourg (Akmal Rizal Rakhli), dan Pelita Jaya Karawang (Safee Sali) pernah terjadi, harap-harap lepas ini adalah lagi. Lagi baik dan lagi menjadi. Hanya ada satu pesanan, itupun jikalau sudi, keterujaan terhadap mana-mana pemain eksport memanglah difahami tetapi harapnya tidaklah terlalu berlebihan takut-takut memakan diri. Bagus sekiranya boleh bermuhasabah diri.


No comments: