Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, December 2, 2019

Bolasepak Malaysia sedang mendaki

Tajuk yang hendak diberikan untuk rencana ini asalnya ialah 'Bolasepak Malaysia masih mencari hala tuju' ataupun 'Bolasepak Malaysia tercari-cari petunjuk', namun ia seolah-olah kelihatan agak gelap atau mungkin juga cenderung ke arah negatif. Maka, tajuk yang menggunakan bahasa berlapik telah dipilih dengan harapan dapat menonjolkan sisi yang lebih positif di sebalik apa jua keadaan yang sebenar. Satu lagi, jangan pula salah sangka, daki yang di sini maksudnya panjat, bukannya kotoran.


Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan atas segala usaha baik yang dilakukan oleh badan induk bolasepak negara bersama-sama badan pengelola liga kebangsaan bagi menaikkan lagi mutu bolasepak tanahair. Tahniah juga kepada mereka yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu negara mencapai sekelumit kejayaan serta kejuaraan yang tetap amat bermakna buat seluruh rakyat amnya, dan juga para pencinta bolasepak khasnya.

Baiklah, sesudah semua itu telah dijelaskan maka eloklah beralih pula kepada situasi semasa. Menjelang tahun 2020 yang bakal menjelma, sukan bolasepak Malaysia nampaknya seiring benar dengan tahap pembangunan negara di pelbagai bidang yang lain. Matlamat "Wawasan 2020" yang mengidamkan status negara maju sudah pun diubahsuai dan ditangguh beberapa tahun ke hadapan, sebagaimana skuad bawah-23 kebangsaan terpaksa menunda impian ke Sukan Olimpik buat kali kedua sejak 1972 apabila terlepas tiket ke Tokyo 2020.


Selepas hanya sekadar mampu menonton Piala Dunia B-20 tahun 2019 dari jauh tanpa penyertaan wakil negara, tahun 2021 akan menghadirkan peluang baru buat pasukan belia negara untuk sekali lagi tampil selepas pernah menjadi tuan rumah kejohanan pada 1997 yang lalu. Jika tidak pada 2021, maka dua tahun lagi atau tiap-tiap dua tahun yang berikutnya. Kalau tidak pun, Piala Dunia B-17 juga ada. Sekiranya sesebuah generasi gagal menyambut peluang yang tiba, maka percubaan untuk meraih kejayaan akan disambung pula oleh generasi-generasi pengganti dan begitulah yang seterusnya.

Dari sudut yang lain, tahun 2019 secara keseluruhannya banyak juga menghadiahkan memori indah di sebalik pengalaman pahit manis. Tanpa boleh berselindung lagi, harapan yang dahulunya kian malap kini kembali cerah bersinar selepas skuad senior Malaysia mempersembahkan corak permainan yang menarik di samping memperoleh keputusan-keputusan yang begitu mengujakan. Meskipun bermula dengan langkah kiri apabila kecundang dalam Piala Airmarine, sebuah kejohanan komersial yang langsung tiada aura seperti mana Pesta Bola Merdeka, Harimau Malaya perlahan-lahan bangkit semula dalam perjalanannya di kelayakan Piala Dunia 2022 yang turut bertindak sebagai pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2023.


Jika tiada aral melintang, pasukan bolasepak kebangsaan berupaya untuk sekurang-kurangnya layak lagi ke Piala Asia setelah layak secara automatik sebelum ini pada tahun 2007 sebagai tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain yakni Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Andainya momentum dapat diteruskan ke dekad yang baru bermula tahun 2020, cita-cita ke Piala Dunia juga semakin hampir namun biarlah prestasi sahaja yang meningkat dan bukannya harapan yang menggunung terlalu tinggi. Lihat sahajalah kepada rekod Sukan SEA, selepas kecewa di halaman sendiri pada tahun 2017, skuad bawah-22 negara nampaknya seperti tergugup-gugup untuk merampas balik pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2011.

Jadi, bagaimana pula boleh dikatakan bolasepak Malaysia sedang mendaki? Sekadar tafsiran peribadi, tempoh zaman gelap yang sangat meletihkan bahkan amat mendukacitakan boleh dikatakan telah pun berakhir. Apabila pingat emas Sukan SEA dimenangi pada tahun 1989 di Kuala Lumpur, ia memakan masa yang sungguh lama untuk memenanginya semula. Hampir sahaja putus asa, pingat emas akhirnya dimenangi pada tahun 2009, kira-kira 20 tahun kemudian. Malah, Malaysia menang lagi pada 2011, dua edisi berturut-turut Malaysia menjadi juara. Lebih membanggakan, di tengah-tengah kemenangan berganda tersebut, Malaysia turut dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara buat kali pertama apabila berjaya berjulang trofi pertandingan Piala AFF tahun 2010.


Semenjak itu, berbagai-bagai kejuaraan dan rekod baharu yang dicipta. Kejohanan AFF B-15 tahun 2013, Kejohanan Bolasepak Pantai AFF tahun 2014, pingat emas bolasepak 5-sebelah Sukan Para ASEAN tahun 2015, JDT FC johan Piala AFC tahun 2015, Mohd Faiz Subri diberi Anugerah Puskas FIFA tahun 2016, Kejohanan AFF B-18 tahun 2018, dan terbaru ialah Kejohanan AFF B-15 tahun 2019. Banyak berita baik di peringkat antarabangsa namun pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan seperti Piala Malaysia dan Liga-M pula sayangnya belum benar-benar diolah untuk menjadi pentas terunggul bagi membentuk para pemain tempatan yang betul-betul boleh mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya.

Tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia masih lagi mendaki. Ianya bukan mudah tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk tidak terjatuh. Jikalau tergelincir, cepat-cepatlah berpaut agar boleh kembali mendaki. Kemuncaknya mungkin Piala Dunia, mungkin juga yang didaki itu mempunyai beberapa puncak. Apabila sampai di mana-mana puncak pada suatu hari nanti, mahu tidak mahu perlu turun juga. Turun tidak bermakna jatuh walaupun sewaktu turun boleh juga terjatuh. Turun yang dimaksudkan adalah merendahkan hati dan tidak menyombongkan diri. Kalah atau menang, lulus atau gagal, itu semua biar Tuhan yang tentukan. Manusia hanya mampu mencuba dan terus mencuba melakukan yang terbaik dengan sebaik mungkin. Dengan itu, mudah-mudahan kebaikan yang diterima menjadi bertambah baik.



No comments: