Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, February 10, 2016

Bola itu bulat


Bola itu bulat (atau lebih tepat lagi bola itu berbentuk sfera). Dalam permainan bolasepak, apa sahaja keputusan boleh berlaku. Yang menang, akan terus menang. Yang kalah, akan terus kalah. Yang menang juga boleh kalah dan yang kalah juga boleh menang. Hampir tiada apa yang mustahil untuk mana-mana pasukan untuk mengecapi kemenangan ataupun kejayaan yang diidam-idamkan sekiranya benar-benar mahu berusaha ke arahnya. Keyakinan yang jitu sudah tentu akan banyak membantu untuk terus maju.

Walau sebesar mana atau sekecil mana pun kemungkinan yang ada, tiada siapa di dunia ini yang boleh menjangka mahupun menjamin 100% apakah kesudahan yang bakal berlaku di penghujung setiap permainan. Hatta, bagi sekalian bookie (penjudi atau penjaja pertaruhan) yang paling penipu sekalipun, keputusan perlawanan yang telah diatur itu juga masih tidak diketahui bagaimana sebenarnya peristiwa-peristiwa yang akan terjadi ketika berlangsungnya sesuatu perlawanan.

Mengimbau sejarah lampau

Permainan bolasepak atau yang seakan-akan dengannya sudah wujud sejak berkurun-kurun yang lalu, sejak tahun sebelum masihi lagi. Di Malaysia, sama seperti kebanyakan negara lain, orang-orang Inggerislah yang mula memperkenalkan bolasepak sehingga boleh menjadikannya sukan yang amat popular pada masakini. Permainan yang dimainkan secara berpasukan ini begitu popular sehingga malah boleh mengatasi minat anak-anak watan terhadap satu permainan tradisional dari zaman silam yang turut menggunakan sebiji bola yakni sepak raga (kini, sepak takraw). Entah bagaimana, bolasepak juga ada dikaitkan dengan 'Tragedi Karbala' (berlaku pada tahun 61 hijriah/680 masihi) yang sungguh menyayat hati dan tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut di sini. Seandainya bolasepak memang betul-betul merosakkan kepercayaan apabila dianggap meniru (menyerupai) orang-orang jahil, menggalakkan pendedahan aurat, membiasakan pergaulan bebas antara bukan mahram, dan hanya membuang masa, maka nasihat yang terbaik buat diri dan orang lain adalah: "Tinggalkanlah bolasepak". Tidak rugi apa pun rasanya kalau merasakan bolasepak tidak lagi seronok atau tidak berfaedah.

Beribu-ribu penyokong kelab Liverpool membuat protes
apabila harga tiket mahu dinaikkan kepada £77.
(gambar: thisisanfield.com)

Walau bagaimanapun, sekiranya pendekatan bersederhana boleh digunapakai, bolasepak boleh jadi ada juga kebaikannya jikalau keburukan-keburukannya boleh ditapis serta dibuang keluar. Selain para pemain (dan para pegawai) bolasepak profesional boleh mengisi periuk nasi untuk memberi nafkah kepada keluarga mereka, manusia sejagat juga mungkin boleh mempelajari tentang sesuatu, salah satunya semangat kesukanan. Sekadar mengambil contoh yang berlaku pada penghujung tahun 1990an, Ronaldo Luis Nazario de Lima atau "Ronaldo" dari Brazil (bukan Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro dari Portugal) disebut-sebut sebagai pengganti yang paling hampir dengan pemain lagenda Edson Arantes do Nascimento a.k.a. Pele. Selepas memenangi pingat johan dengan berada di bangku simpanan skuad kebangsaan Brazil dalam Piala Dunia 1994 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Ronaldo dilihat benar-benar mampu merealisasikan jangkaan orang ramai apabila beliau sendiri menjadi penyerang kesebelasan utama yang membawa pasukan Brazil mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 1998 di Perancis.

Namun apakan daya, takdir telah ditetapkan bahawa bukan Ronaldo yang muncul wira negaranya tetapi tanpa disangka-sangka Zinedine Zidane yang bingkas bangkit menghulurkan kejuaraan sulung buat negaranya tuan rumah Perancis. Ronaldo tidaklah gagal sepenuhnya apabila kemudiannya dapat juga menebus kehampaan. Di Piala Dunia 2002, Brazil dinobatkan sebagai juara dunia buat kali kelima dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir menentang pasukan Jerman yang diketuai oleh penjaga gol hebat, Oliver Kahn. Atas semangat kesukanan yang tinggi, Ronaldo menjaringkan kedua-dua gol tersebut walaupun sebelum bermulanya pertandingan beliau masih diselubungi kecederaan lutut yang agak serius. Bersara sepenuhnya pada tahun 2011, Ronaldo tidaklah seperti Pele tetapi beliau berjaya juga mencipta nama untuk dirinya sendiri.

Ronaldo dan Zidane: Seteru di peringkat antarabangsa tetapi
pernah menjadi rakan sepasukan di Real Madrid.
(gambar: hsv.de)

Melihat realiti semasa

Merujuk kepada graf kedudukan pasukan Malaysia berbanding negara-negara lain semenjak tahun 1993, pergerakan graf secara keseluruhannya dilihat semakin merosot walaupun ada naik turunnya. Menjelang tahun baru 2016, kedudukan Malaysia terus merudum seolah-olah meleset sama sekali apa jua pengharapan yang pernah diletakkan sebelum ini. Maka, hampir sahaja tiada siapa lagi yang mahu meletakkan harapan terhadap kemampuan Malaysia walaupun sekelumit. Mana tidaknya, sasaran yang mudah pun gagal dicapai dan trofi kejohanan pula sering sahaja hilang daripada pandangan. Kedudukan yang rendah menyebabkan tidak banyak pasukan yang mahu mengadakan perlawanan persahabatan bertaraf 'A' dan tanpanya lebih sukar bagi Malaysia untuk memperbaiki kedudukan. Dengan situasi sebegini rupa, apa kata pihak pengurusan bolasepak Malaysia menumpukan sahaja kepada setiap pertandingan utama yang disertai. Bukankah lebih baik memenangi sekali lagi Piala AFF daripada kedudukan yang sedikit meninggi? Lebih baik daripada itu, melayakkan diri ke Sukan Asia, Sukan Olimpik, dan/atau Piala Asia.

Dari tangga ke-75, ranking Malaysia menjunam sampai ke-171.
(sumber: fifa.com)

Katakanlah Malaysia tidak akan pernah menang Piala Dunia dalam masa terdekat ini mahupun beribu tahun lagi. Jadi, apa masalahnya? Peduli apa kalau Malaysia tidak tersenarai sebagai negara-negara yang pernah menjadi juara dunia seperti Brazil, Argentina, Uruguay, England, Perancis, Itali, Jerman, dan Sepanyol. Bukannya boleh makan pun Piala Dunia itu. Hendak hapuskan kebuluran di seluruh dunia dengan Piala Dunia? Memang tidaklah. Kalau betullah Piala Dunia boleh menghapuskan kebuluran atau mencukupkan apa-apa keperluan segera yang mendesak, sudah pastilah banyak masalah sudah pun diselesaikan sejak tahun 1930 lagi. Sayangnya tidak begitu, sejak Piala Dunia diadakan buat kali pertama pada tahun 1930 sehinggalah memasuki alaf baru abad ke-21, kejuaraan dalam salah satu acara sukan yang terbesar di dunia ini tidak memberi apa-apa makna yang ketara melainkan memori suka duka sahaja.

Meninjau masa hadapan

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Mengapa harus tunggu serta berharap pada perkara-perkara kebetulan? Pilihan berada di tangan setiap individu. Dalam keadaan yang kurang memberangsangkan sekalipun, setiap daripada kita masih lagi mempunyai pilihan untuk tidak menyerah kalah. Beralah tidak bermakna kalah. Setelah jatuh, kita bangun. Kalau terjatuh, kita bangun lagi. Bersyukur, jangan kufur kerana hari-hari di atas tanah tidak sama ketika berada di bawah tanah nanti. Berhati-hatilah, jangan sampai hanya kerana sebiji bola boleh melalaikan daripada apa yang penting dalam hidup. Bolasepak hanyalah satu permainan tetapi hidup mesti diteruskan selagi tanggungjawab masih ada.

Sesungguhnya, tiada siapa yang bernasib buruk. Baik atau buruknya "nasib" itu bergantung kepada apa selayaknya diterima oleh seseorang. Jika baik amalannya maka baik jugalah hasilnya. Jika tidak (harap-harapnya tidaklah), maka yang sebaliknya yang akan berlaku. Balasan yang diterima adalah setimpal dengan apa yang diusahakannya. Apa sahaja kejadian yang menimpa pula adalah suatu saringan yang jelas akan membezakan golongan mana yang kalah dan golongan mana yang menang. Menang bukan dalam erti sempit yang di atas padang sahaja tetapi menang ke atas kezaliman seperti rasuah, perkauman, penyalahgunaan dadah, dan kita semua tahu apa lagi.



1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.