Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Monday, September 19, 2016

Memasuki era baru skuad kebangsaan

Warna kuning-hitam memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil
apabila Malaysia mencabar Thailand dalam perlawanan akhir
kedua Piala Suzuki AFF pada tahun 2014 yang lalu.
(kredit: www.kwiknews.my)

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, duniabolasepak.blogspot.com (DBS) percaya dan tahu bahawa Malaysia masih belum ketandusan pemain-pemain bolasepak yang berbakat. Akan tetapi, pada masa yang sama juga boleh diperhatikan bahawa semakin ramai peminat bolasepak tempatan seakan-akan tidak lagi ambil peduli tentang perkembangan bolasepak tanahair kerana kebanyakannya lebih menyokong pasukan-pasukan luar negara terutamanya dari Liga Perdana Inggeris (English Premier League). Bercakap mengenai bolasepak Malaysia itu merepek sahaja melainkan pasukan negeri kesayangan mereka mara ke perlawanan akhir piala berprestij, Piala Malaysia. Itulah yang terjadi hampir saban tahun.

Segerombolan berwarna merah dikesan di Bukit Jalil selepas
menularnya demam Manchester United Asia Tour 2009.
(kredit: che-cheh.com)

Walau bagaimanapun, pengecualian khusus perlu diberikan kepada kelab dari selatan tanahair iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT FC) yang baru sahaja melakar sejarah sebagai pasukan pertama yang memenangi divisyen utama Liga Malaysia atau ringkasnya Liga-M (atau M-League) tiga kali berturut-turut yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sebelum ini. Penghargaan istimewa juga harus diberikan kepada negeri Melaka, yang pasukannya kini dikenali sebagai Melaka Bersatu (Malacca United SA) telah memperbaharui iltizam, komitmen mereka apabila bakal bersaing dalam Liga Super Malaysia pada musim hadapan setelah sekian lama sekadar menjadi pasukan bawahan yang sering menjadi mangsa belasahan.

Di sebalik cemuhan orang ramai apatah lagi tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap kemampuan para pemain bolasepak profesional di dalam negara, Liga-M lantas turut dikecam kerana dilihat akan menjadi tidak releven sebagaimana anggapan bahawa tidak relevannya pencetakan surat khabar dek kemajuan Internet serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat. Namun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya yakni Liga-M yang membawa nama Malaysia nampaknya menjadi lebih relevan apabila bukan sahaja sudah mulai mendapat tempatnya semula di rantau Asia Tenggara tetapi juga mula disegani di benua Asia.

Pengulas sukan terkemuka negara, Zainal Abidin Rawop semasa
 zaman kerancakan bolasepak tempatan pada suatu ketika dahulu.
(sumber: youtube.com)

Sekiranya dahulu Liga-M gah dengan tajaan lumayan syarikat produk tembakau di samping pasukan Red Giants iaitu Selangor mendominasi peringkat nasional sehingga sangat dicemburui oleh semua pasukan lain, kini Liga-M kembali gah dengan menumpang hasil pelaburan kerabat diraja yang berperanan besar dalam merintis JDT sebagai satu-satunya pasukan kelab yang boleh mengatasi malah mengetuai pasukan-pasukan negeri ke arena antarabangsa.

Menyedari hal ini, ingin ditegaskan berkali-kali bahawa Liga-M sebagai liga kebangsaan adalah berkait rapat secara langsung dengan pembentukan skuad kebangsaan. Tanpa adanya pengurusan liga kebangsaan yang baik ibarat menempah kegagalan untuk skuad kebangsaan sebelum menyertai sebarang pertandingan. Lebih-lebih lagi apabila pada saat ini tiada seorang pun pemain tonggak kebangsaan yang berkelana di tempat orang atau bermain di perantauan. Selagi mana istilah 'pemain eksport' kurang digunakan berbanding pemain import, selagi itulah liga kebangsaan kita menjadi lebih kritikal.

Kelihatan Zainal Abidin Hassan sewaktu Malaysia menentang
Indonesia pada 1984 dalam Pesta Bola Merdeka, satu
pertandingan yang patut dianjurkan kembali.
(visual: Arkib RTM)

Liga-M dan Harimau Malaya (atau "Harimau Malaysia" menurut golongan tertentu), Harimau Malaya dan Liga-M, memang berpisah tiada. Kedua-duanya diikat oleh satu perkara, iaitu para pemain bolasepak tempatan. Sungguhpun para pemain naturalisasi juga mempunyai hak mewakili negara mengikut undang-undang yang termaktub, anak watan pula tidak seharusnya diketepikan memandangkan mereka adalah tulang belakang yang sentiasa menjadi tunjang buat pasukan negara sejak zaman-berzaman. Oleh itu, skuad kebangsaan selaku pengibar panji negara hanya boleh maju ke hadapan sekiranya pemain tempatan diletakkan pada tempat yang selayaknya.

Pemilihan pemain veteran, Amri Yahyah sebagai kapten negara
yang baharu adalah yang terbaik pada waktu ini tetapi jurulatih
Malaysia perlu meneliti siapa penggantinya mulai sekarang.
(gambar: goal.com)

Maka, hanya ada satu cara untuk memasuki era baru skuad kebangsaan dengan jayanya, yakni bersedia untuk melakukan perubahan dari atas hinggalah ke bawah. Jalannya mungkin berliku, tetapi ianya bukan menjadi penghalang bagi kita semua untuk memastikan cita-cita kegemilangan yang diimpikan selama ini mampu dicapai dengan usaha yang sedaya upaya. Setakat mana yang termampu, marilah menggembleng tenaga untuk menjana kekuatan dan memacu kejayaan demi negara yang dicintai.


#Merdeka   #BerjayaMalaysia   #MalaysiaBoleh   #Wawasan2020


No comments: