Muhamad Nazmi Faiz Mansor - Ubi muda Malaysia yang telah menandatangani kontrak bersama sebuah kelab Portugis iaitu Sport Clube Beira-Mar |
Jika difikirkan sejenak, bola sepak Malaysia tidak perlu menjadi seperti sebilangan negara luar hingga menjadikan sukan atau pasukan bola sepak itu seolah-olah seperti satu agama. Memandangkan banyak lagi perkara yang harus diberikan tumpuan dalam hidup ini, maka cukuplah rasanya andai pasukan bola sepak kebangsaan negara Malaysia yang mewakili seluruh negara mencapai kejayaan yang selayaknya. Kejuaraan menjadi titik tolak yang penting tetapi yang lebih penting daripada itu adalah semangat juang yang boleh ditunjukkan sehingga wisel penamat ditiupkan setiap kali berlangsungnya perlawanan. Berkerja dengan ikhlas bukan sahaja menyenangkan hati ramai pihak tetapi turut memberikan satu ingatan yang berkekalan untuk disampaikan pula kepada generasi-generasi yang berikutnya supaya mereka juga boleh mengerti apa makna sebenar slogan "Malaysia Boleh!" yang sering dilaung-laungkan sebagai pemangkin semangat.
Ingin dilontarkan cadangan spontan di sini. Antaranya ialah berkenaan dengan badan induk bola sepak negara iaitu FAM. Pernah sebelum ini ada pihak mahu badan tersebut dibubar secara besar-besaran dan digantikan dengan orang-orang yang benar-benar arif dan ahli sahaja tanpa apa-apa kepentingan peribadi semata. Walau bagaimanapun, perkara tersebut mungkin sukar untuk dilaksanakan dan dalam sedar tak sedar ia dibiarkan begitu sahaja. Jikalau begitu, mungkin apa yang boleh dibuat oleh semua penyokong Malaysia adalah merayu supaya golongan yang berkuasa untuk membuat keputusan agar sekurang-kurangnya mendengar dan menilai apa yang orang-orang biasa yang terdiri daripada peminat bola sepak tempatan ingin suarakan dahulu kemudian buatlah sedikit penyelidikan. Seterusnya, supaya tidak menjadi manusia yang angkuh maka ambillah yang baik dan buang yang buruk.
Berdiam diri sambil berpeluk tubuh dan menggoyangkan kaki atau buat sesuatu pun tanpa keikhlasan di hati hanyalah membawa padah. Sebab itulah tanahair tercinta ini tidak pernah lagi mengecapi kemajuan bola sepak seperti zaman-zaman kegemilangan dahulu kala walaupun mempunyai pemain-pemain hebat seperti Hassan Sani, James Wong, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azizol Abu Haniffah, Hashim Mustapha, Khairul Azman Mohamed, Azman Adnan, Khalid Jamlus, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mahupun Titus James Palani. Bakat mereka yang terpahat dalam sejarah sekadar jaguh kampung merupakan satu kerugian yang amat besar bagi seluruh rakyat Malaysia. Angan-angan hanya tinggal sebagai angan-angan andai tiada usaha yang dilakukan untuk merealisasikannya. Usaha pula mestilah betul dan disandarkan pada jiwa yang bersih barulah kebarangkalian untuk berjaya menjadi semakin besar. Bak kata orang, kita hanya merancang yakni berusaha dan bertawakal tetapi Yang Maha Esa jualah yang menentukan.
No comments:
Post a Comment