Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Tuesday, May 6, 2008

Kebuluran warga bola sepak tanah air

Kemiskinan dan kedaifan bukanlah sesuatu yang baik. Ia boleh membawa kepada kelaparan. Orang yang lapar mudah marah. Itu adalah perkara yang lumrah. Namun, warga bola sepak tanah air termasuklah para pemain, jurulatih, pegawai, peminat, penonton dan budak sekolah kini bukan lagi dalam keadaan kelaparan tetapi sudah kebuluran. Bayangkan jika orang yang lapar sedikit pun cepat marah dan melatah, apatah lagi orang yang tengah kebuluran..? Kemungkinan juga golongan ini sudah pun berputus asa dan hanya sedang menantikan detik-detik yang terakhir bagi menamatkan kesengsaraan.

Walau bagaimanapun, selagi ada kesempatan dan berbekalkan secebis kudrat sekalipun, masih ada yang boleh ditangani. Begitu jugalah dengan situasi semasa di negara ini. Pasukan bola sepak kebangsaan yang pernah digeruni lawan sehinggakan diberi gelaran 'Harimau Asia' kini hanyalah spesis pemangsa yang hampir pupus malah tercedera teruk akibat "terpeleot" (terkehel) semasa mengejar mangsa yang tak dapat. Pertandingan antarabangsa terakhir yang dimenangi adalah hampir 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1989 dalam Sukan SEA. Walaupun pasukan kebangsaan telah memenangi Pesta Bola Merdeka edisi ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, kejohanan antara yang paling tua di Asia tersebut hanyalah memberi nilai simbolik semata. Andaikata pasukan kebangsaan dapat memenangi Sukan SEA yang akan datang pun, sudah tidak sama lagi dengan kejayaan tahun '89 memandangkan bola sepak Sukan SEA kini sudah diterhadkan untuk pasukan bawah-23.


Oleh yang demikian, pasukan senior sebagai pasukan utama perlu mencari kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang jauh lebih bermakna. Permainan bola sepak yang dibawa ke bumi bertuah ini oleh bekas penjajah British dahulu telah pun sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan sesetengah orang dalam masyarakat sekarang. Alangkah seronoknya jika membayangkan pasukan kebangsaan yang menjadi kesayangan sebilangan rakyat Malaysia dapat menewaskan pula pasukan yang mempelopori permainan bola sepak moden dalam perlawanan akhir Piala Dunia, dan seterusnya menjadi juara dunia pada suatu hari nanti. Akan tetapi, angan-angan untuk menumbangkan ego lawan dalam permainan ciptaan mereka sendiri tampak terlalu sukar dan di luar jangkaan walaupun tidak mustahil. Oleh itu, sasaran yang lebih realistik adalah seperti Kejuaraan Bola Sepak Asean anjuran AFF merupakan tanda aras permulaan yang baik dalam misi mengejar kemajuan sukan nombor satu negara ini.


Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium bolasepak yang ke-9 terbesar di dunia dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 87,411

No comments: