Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk menceritakan tentang kelebihan atau kekurangan sesuatu perkara, tetapi hanyalah semata-mata untuk berkongsi pandangan. Setiap manusia mempunyai pendapat masing-masing namun tak perlulah sampai berbalah kerana akhirnya, kita ini hakikatnya adalah ciptaan Allah jua. Di dalam dunia bolasepak zaman kini, sesiapa pun boleh bermain atau paling kurang pun menonton tanpa mengira pangkat, keturunan, mahupun rupa. Falsafah sukan bolasepak di peringkat antarabangsa mahupun setempat adalah untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan, serta persaingan secara sihat di kalangan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.
Mesut Özil merupakan generasi ketiga Jerman yang berdarah Turki. |
Orang Melayu sebagai salah satu bangsa di dunia ini secara umumnya menganggap ajaran Islam mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian mereka termasuklah apabila melibatkan aktiviti sukan. Sebahagian besar orang Melayu beranggapan begitu dan demikian juga bagi bangsa-bangsa lain yang berpegang kepada ajaran Islam. Namun begitu, adakah realiti turut menggambarkan anggapan mereka yang sebenar? Oleh itu, tulisan ini adalah suatu usaha untuk cuba membincangkan tentang kehidupan orang Melayu dan Muslim khasnya dalam dunia bolasepak di samping kekal menghormati sudut pandang orang lain.
Kesihatan
Kegiatan beriadah, berekreasi, bersenam, atau bersukan adalah sangat baik bagi menjaga kecergasan dan kesihatan tubuh badan. Selain itu, bersukan juga boleh membantu dari segi kesihatan mental dan emosi sekiranya dilakukan dengan langkah-langkah yang betul. Bagi kebanyakan orang, permainan bolasepak lebih banyak dilihat dimainkan di dalam stadium. Akan tetapi, sukan bolasepak sebenarnya boleh juga dimainkan di tempat-tempat lain. Sebab itulah, terdapat pelbagai versi bolasepak seperti futsal yang dimainkan di dalam gelanggang futsal, bolasepak pantai di tepi pantai, bolasepak jalanan yang boleh dimainkan hampir di mana-mana sahaja, malah foosball dan soccer video game pula boleh sahaja dimainkan di dalam rumah. Sayangnya, tatkala ramai yang sibuk bersukan untuk menjaga kesihatan, lebih ramai lagi yang lupa untuk mengelak penyakit atau kecederaan.
Bersukan pada waktu malam dan mandi malam adalah antara perkara pantang untuk dilakukan seperti mana nasihat orang-orang tua dahulu kepada anak-anak. Namun, adakah nasihat ini masih relevan? Berdasarkan contoh situasi semasa, perlawanan bolasepak Liga Malaysia biasanya diadakan pada waktu malam iaitu lebih kurang pada pukul 8.45 malam. Memandangkan satu perlawanan mengambil masa 90 minit, ini bermakna perlawanan akan tamat kira-kira jam 10.30 malam dan ke atas jika termasuk waktu rehat separuh masa serta tambahan masa. Jadi, pukul berapa pula para pemain akan tidur setelah mereka membersihkan diri dan merehatkan badan? Adakah tidur lewat selepas bersukan itu dikira sebagai menjaga kesihatan? Mungkin negara Malaysia memerlukan lebih ramai pakar kesihatan yang mempunyai kepakaran serta kejujuran untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut.
Selain itu, tidak dapat dipastikan pula sebab apa perlawanan bolasepak peringkat negara tidak dilakukan pada waktu pagi ataupun petang. Sekiranya perlawanan dilakukan pada sebelah malam hanya kerana faktor komersial, kenapa pula penonton tidak akan hadir ke stadium pada waktu pagi atau petang jika perlawanan masih diadakan pada hari minggu? Adakah nilai komersial lebih diutamakan berbanding isu-isu yang lain termasuklah faktor kesihatan? Jawapannya ada pada diri masing-masing.
Kemudahan
Alhamdulillah, negara Malaysia boleh dikatakan tidak kurang hebatnya dari segi infrastruktur dan kemudahan-kemudahan bagi program-program sukan. Tidak kiralah samada di sekolah, universiti, apatah lagi di peringkat kebangsaan, kemudahan sukan yang disediakan boleh jugalah dibanggakan. Walaupun begitu, pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya leka atau terlepas pandang untuk terus melakukan penyelenggaraan dan penaiktarafan dari masa ke semasa. Jika ini dijaga, lebih mudah bagi ahli-ahli sukan untuk menyajikan persembahan mereka yang terbaik untuk dinikmati pula oleh masyarakat awam yang memberikan sokongan.
Salah satu kemudahan bagus yang disediakan di stadium-stadium bolasepak Malaysia ialah surau atau ruang solat. Umum mengetahui bahawa setiap Muslim wajib mendirikan solat 5 waktu sehari semalam. Andainya tiada kemudahan ini, sudah tentulah membawa pelbagai implikasi yang kurang enak seperti ramai Muslim yang akan bersolat di merata tempat dan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan serta kesesakan, atau lebih teruk lagi boleh menyebabkan ramai yang tidak dapat mendirikan solat. Kesannya, umat Islam yang tidak menjaga solat mana mungkin mampu atau berupaya untuk menjaga adab atau nilai-nilai murni yang dianjurkan dalam Islam kerana solat itu merupakan antara perkara yang paling asas bagi seorang Muslim. Jikalau tempat dan waktu solat mampu dijaga dengan baik maka kebarangkalian untuk perkara-perkara negatif seperti vandalisme atau hooliganisme sudah pasti lebih mudah dielakkan dengan izin Allah taala.
Gambar Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman semasa kejohanan Pesta Bola Merdeka. |
Sebenarnya, terdapat beberapa perkara lagi yang belum dibincangkan dalam topik besar ini. Perkara-perkara seperti pakaian yang menutup aurat, makanan yang halal lagi berkhasiat, bolasepak wanita, dan pergaulan di dalam dunia sukan umpamanya mungkin boleh dibincangkan pada masa lain, in shaa Allah. Sebagai penutup, "Buang yang keruh, ambil yang jernih". Sehingga pada lain kali pula.
No comments:
Post a Comment