Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Saturday, August 2, 2014

Sukan nombor satu dunia


Sekiranya kita mengkaji sejarah sukan bolasepak, boleh dikatakan hampir semua negara mempunyai kaitan (samada banyak ataupun sikit) dengan kedatangan orang Inggeris. Ini kerana, orang Inggerislah yang mula-mula mempopularkan permainan yang menggunakan kaki ini sehingga pengaruhnya mampu merebak ke seluruh pelosok dan segenap penjuru dunia. Sebab itulah persatuan bolasepak Inggeris hanya dikenali dengan nama 'The FA' (The Football Association). Negara-negara lain pula perlu meletakkan nama negara masing-masing sebelum atau selepas diletakkan perkataan 'FA' bagi membezakannya dengan persatuan bolasepak Inggeris sebagai negara pelopor. Sebagai contoh, FAM adalah singkatan bagi Football Association of Malaysia.

Walaupun terdapat banyak kesan sejarah bahawa permainan zaman purba yang seakan-akan bolasepak telah pun muncul di Mexico (permainan yang dinamakan sebagai Tlachtli atau Tlachco), China (Tsu' Chu), Bahamas (Tainos), Jepun (Kemari), Korea (Chuk-guk), Greenland (Aqsaqtuk), Amerika (Pahsaheman), Australia (Marn Grook), Aotearoa (Ki-o-rahi), Yunani (Phaininda atau Harpastron), Romawi (Harpastum), Norman Britain (Shrovetide Football), malahan juga Tanah Melayu (Sepak Raga dan Sepak Bulu Ayam), namun permainan moden yang dimainkan pada hari ini adalah hasil daripada undang-undang bolasepak yang diperkenalkan oleh orang Inggeris. Selaras dengan peredaran masa, undang-undang tersebut telah menjadikan bolasepak berkembang sebagai sukan yang lebih tersusun serta sistematik. Acara kemuncak yang diadakan empat tahun sekali yakni kejohanan Piala Dunia FIFA juga kerap kali menjadi tumpuan seluruh dunia tanpa mengira perbezaan warna kulit mahupun latarbelakang bangsa.


Kini, tidak ada satu pun negara yang tidak terkesan dengan tarikan sukan bolasepak. Sekiranya ada pengecualian, mungkin hanya Amerika Syarikat sahaja yang cuba mengecilkan pengaruh bolasepak. Orang Amerika sering menyebut istilah 'American exceptionalism' apabila menerangkan sebab mereka tidak berapa cenderung kepada bolasepak. Mereka merasakan bahawa mereka berbeza (atau pelik berbanding) dengan negara-negara lain, tidak kiralah samada ianya baik mahupun tidak. Malah, mereka lebih gemar menggunakan perkataan "soccer", padahal seluruh dunia menyebut "football" (nama sukan bolasepak dalam Bahasa Inggeris). Bagi mereka, "football" adalah 'American Football' atau pertandingan 'Super Bowl' iaitu satu sukan hampir lebih kurang sama dengan sukan ragbi cuma para pemain dikehendaki memakai helmet dan bermacam-macam pelapik keselamatan. 'American Football' atau 'Gridiron Football' pada dasarnya lebih banyak menggunakan tangan tetapi namanya sahaja yang menggunakan kaki. Di Amerika, "soccer" adalah permainan yang biasanya dimainkan oleh kaum hawa walaupun jelas kelihatan kurang manis (lebih-lebih lagi jikalau batas-batas tidak dijaga) apabila seorang wanita mengangkat kaki untuk menendang, dan kadang kala ada yang sampai terkangkang-kangkang sewaktu menyepak bola. Kemudian, samada sengaja ataupun terlepas pandang, ramai yang lupa bahawa sebenarnya adalah lebih mudah bagi pemain-pemain bolasepak lelaki menutup aurat berbanding perempuan. Jadi, mengapa aurat masih tidak dijaga serta diabaikan?


Fenomena luarbiasa yang terhasil daripada minat (atau kegilaan) terhadap bolasepak ini boleh diperhatikan hampir di mana-mana sahaja. Bolasepak seolah-olah berfungsi sebagai 'bahasa universal' yang boleh difahami semua. Bolasepak mampu merentasi jurang bahasa dan budaya. Lihat sahajalah gelagat penonton-penonton bolasepak di beberapa negara Arab. Di Malaysia, jubah selalunya dipakai oleh para imam dan barangkali juga pengikut jemaah tabligh. Namun, orang Arab memakai jubah sebagai pakaian harian mereka. Maka, walaupun nampak pelik untuk memakai jubah selain daripada ke masjid bagi penganut Islam di Malaysia tetapi tidaklah pula asing bagi orang Arab untuk memakainya sekalipun semasa menonton perlawanan bolasepak di stadium. Apa yang lebih pelik, surau yang dibina (di Malaysia khususnya) adalah terlalu kecil berbanding kapasiti stadium sehingga menimbulkan satu persoalan: Adakah peminat bolasepak jumlahnya lebih ramai daripada orang yang bersolat? Tepuk dada tanya selera. Rasanya memanglah tidak salah untuk meminati 'bola' tetapi seperti mana sukan-sukan yang lain, manfaat hanya diperoleh sekiranya bukan mudarat yang dicari.


Kebaikan sukan bolasepak bukan hanya untuk kesihatan (sudah tentu bagi para pemain sahaja), perniagaan, dan hiburan, malah boleh juga diaplikasikan sebagai alat perpaduan rakyat yang berkesan. Dua gol yang dijaringkan oleh Zinedine Zidane ketika dalam perlawanan akhir Piala Dunia tahun 1998 yang membantu negara tuan rumah menewaskan juara bertahan Brazil telah mengubah haluan serta laluan sejarah buat selama-lamanya. Perancis sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa kini tidak lagi memandang serong terhadap sebahagian daripada rakyatnya sendiri (yakni golongan pendatang imigran). Jika dahulu mereka sering mencari alasan untuk berpecah belah, sekarang mereka cuba untuk bersatu padu. Inilah perubahan yang boleh dilakukan andainya sukan bolasepak tidak dijadikan sekadar hiburan semata-mata. Pengaruh bolasepak kepada individu, keluarga, mahupun masyarakat tidaklah sehebat agama (agama adalah yang tertinggi), namun tetap mempunyai kesan yang tertentu dari segi politik, ekonomi, dan sosial secara keseluruhannya (di dunia ini).


#PrayForPalestine

No comments: