Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Saturday, November 22, 2014

Merasa cukup, tak ke mana.

Adakah kita patut bersyukur dengan apa yang diberikan kepada kita? Sudah semestinya, apatah lagi semua yang ada pada kita hanyalah suatu pinjaman yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wa taala. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya semula. Namun, adakah patut kita merasa cukup dengan apa yang telah kita berikan selama ini? Sudah tentu tidak. Sekiranya sesiapa yang merasa cukup dengan apa yang telah diberikan, memang tak akan ke mana-mana. Hebat sangatkah sumbangan kita sehingga kita "berhak" menjatuhkan air muka orang lain dengan cacian dan makian hanya disebabkan beberapa perlawanan bolasepak... perlawanan persahabatan pula tu. Cukup-cukuplah, bukankah kalah dan menang itu adat permainan. Yang lebih pelik lagi, sekiranya kejayaan yang dimiliki maka bukan main lagi bersorak meraikan kemenangan seolah-olah diri sendiri yang telah menjaringkan gol. Haru-biru dibuatnya. Entahlah, moga-moga kita tidak termasuk dalam golongan seperti ini. Buat seketika, cuba hargai sumbangan orang-orang yang benar-benar menabur jasa dan bakti kepada negara.

Semangat patriotik yang harus dicontohi. Walau bagaimanapun,
penggunaan suar di dalam stadium adalah satu isu lain.

Dua persoalan di atas seakan-akan serupa tetapi sebenarnya tak sama. Bersyukur dan merasa cukup adalah dua perkara yang berbeza. Perbezaan tersebut hanya boleh disedari oleh orang-orang yang mahu berfikir. Dilahirkan sebagai rakyat Malaysia, bukan Brazil atau England maka kita patut bersyukur. Bersyukur dengan apa yang sudah ditentukan oleh Allah. Kalau tak bersyukur, sebab itulah ada yang menukar kewarganegaraannya. Terpulanglah, pilihan terletak di tangan masing-masing samada mahu bersyukur atau tidak. Berbeza dengan merasa cukup. Contoh, merasa cukup bangga menyokong kelab-kelab bolasepak ternama seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal, Chelsea, atau Manchester City tapi memandang lekeh pasukan bolasepak kebangsaan seolah-olah semangat patriotik hanya sekali-sekala muncul itupun kalau skuad kebangsaan sudah berada di ambang kemenangan (atau pada Hari Kemerdekaan sahaja). Yang lebih perit lagi, merasa cukup dengan gelaran jaguh kampung apabila menang bersaing sesama sendiri tapi amat mudah patah semangat hanya disebabkan perlu bermain di atas padang berumput tiruan. In shaa Allah, bersyukur akan membawa kita jauh ke hadapan. Namun, berhati-hatilah dengan merasa cukup kerana sifat negatif tersebut hanya akan menyebabkan kita semakin mundur ke belakang.

Untuk memenangi mana-mana perlawanan, gol yang
dijaringkan mestilah melebihi gol yang dibolosi. Jangan
cepat putus asa kalau baru satu, dua perbezaan gol.

Oleh yang demikian, peringatan buat diri dan semua, sokonglah skuad kebangsaan seperti mana kita mahu para pemain serta jurulatih mempertahankan maruah tanah air kita. Sokongan yang tak berbelah bagi bukan sahaja sebelum sesuatu perlawanan tapi sokongan harus terus diberikan walaupun wisel penamat sudah ditiupkan. Semua pihak samada para pemain, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, media cetak dan elektronik, penonton, serta penyokong disaran membantu di antara satu sama lain secara positif dan bukannya membantu menjatuhkan sesama sendiri. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tak perlu lagi menganjing orang lain. Kalau sudah sakit hati sangat, jangan ambil peduli lagi pasal bolasepak Malaysia. Tengok sajalah EPL, La Liga, Bundesliga, Serie A, UEFA Champions League atau yang lain-lain di kaca-kaca televisyen, komputer, atau telefon pintar anda. Orang Malaysia yang sejati sahaja yang berbangga dengan tanah tumpah darahnya sendiri. Kalau malu dengan negara sendiri, atau lebih teruk lagi memalukan negara sendiri, rasanya PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) pun malu dengan orang-orang yang macam ini.

Negaraku: Tanah Tumpahnya Darahku

Jadi, bagi yang tak segan silu menyokong pasukan bolasepak kebangsaan 'Harimau Malaya', berikut adalah jadual perlawanan peringkat kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2014:
  • MALAYSIA lwn. Myanmar (23 November 2014, Ahad, Stadium Jalan Besar, Singapura) - 5 petang [ditunda] {keputusan: seri 0-0}
  • MALAYSIA lwn. Thailand (26 November 2014, Rabu, Stadium Jalan Besar, Singapura) - 5 petang [ditunda] {keputusan: kalah 2-3}
  • Singapura lwn. MALAYSIA (29 November 2014, Sabtu, Stadium Nasional Kallang, Singapura) - 8 malam {keputusan: menang 1-3, mara ke peringkat separuh akhir}
Yang berikut pula adalah jadual perlawanan peringkat separuh akhir, Piala Suzuki AFF 2014:
  • MALAYSIA lwn. Vietnam (7 Disember 2014, Ahad, Stadium Shah Alam, Selangor) - 8 malam {keputusan: tewas 1-2, agregat 1-2}
  • Vietnam lwn. MALAYSIA (11 Disember 2014, Khamis, Stadium Nasional Mỹ Đình, Hanoi, Vietnam) - 8 malam {keputusan: menang 2-4, agregat 4-5, mara ke perlawanan akhir}
Perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2014!
  • Thailand lwn. MALAYSIA (17 Disember 2014, Rabu, Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand) - 8 malam {keputusan: tewas 2-0, agregat 2-0}
  • MALAYSIA lwn. Thailand (20 Disember 2014, Sabtu, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur) - 8 malam {keputusan: menang 3-2, agregat 3-4, muncul sebagai naib juara}

Senarai penjaring gol skuad kebangsaan:
- Safiq Rahim [6 gol, pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak kejohanan)]
- Indra Putra Mahayuddin [2 gol]
- Mohd Amri Yahyah [1 gol]
- Safee Sali [1 gol]
- Norshahrul Idlan Talaha [1 gol]
- Mohd Shukor Adan [1 gol]

Teruskan berjuang, HARIMAU MALAYA!


No comments: