Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, April 17, 2015

Memandang ke hadapan, bukan lagi bernostalgia.

Setakat ini (sebelum berlangsungnya Piala Dunia 2018 di Rusia) hanya 8 buah negara yang pernah memenangi Piala Dunia FIFA. Negara-negara tersebut adalah Brazil (juara 5 kali), Itali (4 kali), Jerman (4 kali), Uruguay (2 kali), Argentina (2 kali), England (sekali), Perancis (sekali), dan Sepanyal (juga sekali). Dua buah negara yang melahirkan banyak pemain bintang dan kelihatan seperti bakal menjadi juara suatu hari nanti kemungkinan besar adalah Belanda dan Portugal. Selain daripada Belanda, terdapat beberapa buah negara yang pernah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Dunia. Namun, seperti mana biasa yang berlaku dalam peristiwa sejarah, yang kalah jarang sekali akan diingati. Sekadar untuk disebutkan di sini, negara-negara yang pernah ke pentas final adalah Czechoslavakia (kini Republik Czech), Hungary, dan Sweden.

Sejarah telah merakamkan bahawa bukan Eric Cantona, tetapi
Zinedine Zidane yang berjaya membawa Perancis ke persada dunia.

Selain daripada itu, ada beberapa negara yang pernah menjadi tuan rumah bagi kejohanan bolasepak terkemuka ini. Umum mengetahui bahawa Piala Dunia merupakan salah satu acara sukan yang terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, menjadi tuan rumah sahaja belum tentu lagi mencukupi syarat untuk menjadi juara. Negara-negara yang pernah menjadi tuan rumah tetapi tidak tersenarai sebagai juara adalah Switzerland, Sweden, Chile, Mexico, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, dan Afrika Selatan. Begitu juga dengan dua negara yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia yang akan datang iaitu Rusia dan Qatar (inshaaAllah, masing-masing akan diadakan pada tahun 2018 dan 2022 nanti).

Kemudian, dewasa ini juga muncul beberapa negara yang seolah-olah mampu mencabar negara-negara bekas juara yang sering menjadi pilihan ramai. Negara-negara pencabar yang dimaksudkan tersebut adalah seperti Belgium, dan Colombia. Jadi, bagaimana pula peluang negara-negara lain yang tidak disebutkan langsung? Jawapannya, semua orang boleh mengagak. Peluang yang paling tinggi pun bagi negara-negara lain hanyalah tidak lain dan tidak bukan adalah layak ke peringkat akhir Piala Dunia selepas melepasi peringkat kelayakan benua masing-masing. Walaupun perlawanan akhir kelihatan begitu jauh sekali, pencapaian mara ke peringkat kumpulan akhir sudah cukup membanggakan bagi kebanyakan negara.

Omar Abdulrahman menjadi sandaran buat Emiriah Arab Bersatu.

Persoalan yang hendak dilontarkan di sini ialah, apakah signifikannya jika dapat bertanding di dalam Piala Dunia? Adakah penting untuk mana-mana negara dan warganegaranya mempunyai hasrat supaya dapat melakar nama sebagai juara? Perlu sangatkah ditabalkan sebagai juara dunia?

Jawapan bagi soalan-soalan tersebut sebenarnya sudah pun berada di dalam benak dan sanubari individu-individu yang mahu bertanya. Bagi yang meminati bolasepak tetapi tidak mahu bertanya, mereka akan terus leka dalam buaian mimpi, hanyut dalam lautan angan-angan. Mengapa, jika anda bertanya? Mudah sahaja, perhatilah situasi dan keadaan di sekeliling anda. Apa yang anda nampak? Adakah sepasang mata yang dianugerahkan oleh Allah digunakan untuk menengok atau melihat? Apakah bezanya antara tengok dan lihat? Bukankah macam sama, tapi tak serupa? They look but don't see, and they listen but don't hear.

Zinedine Zidane a.k.a. Zizou, contoh seorang
Muslim yang melakar sejarah di peringkat dunia.

Mohon maaf sekiranya ada yang terkeliru. Mengelirukan bukanlah tujuannya. Harap jangan pula ada yang tersalah sangka dan membuat penilaian atau kesimpulan yang membabi buta. Baiklah, diringkaskan apa yang ingin dipesankan di sini ialah sama-samalah kita bermuhasabah diri. Bak kata pepatah Melayu, "Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan" (maksudnya, setiap insan sudah pasti tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan). Kita semua tidak tahu berapa lama lagi kesempatan yang ada untuk berbuat baik sebanyak-banyaknya. Kemudian, tidak tahulah juga samada segala salah silap kita selama ini dapat ditebus. Namun begitu, memandangkan 'dunia ini adalah jambatan ke akhirat', sama-samalah berdoa serta berusaha agar Allah subhanahu wa taala memberi kita rahmatNya.


No comments: